Perdana Menteri berkata, perkhidmatan berasaskan 1Malaysia seperti klinik, Dana Penyelenggaraan, Skim Simpanan Persaraan, kad diskaun pelajar dan pakej jalur lebar Streamyx Cool UNI adalah antara yang digariskan.
"Kemudahan yang akan ditawarkan tidak berakhir di sini. Bagaimanapun, buat masa ini, saya ingin mendengar daripada anda. Pernahkah anda menggunakan mana-mana inisiatif yang dijelaskan di atas? Harap dapat anda berkongsi pemikiran dengan mengemukakan komen anda," katanya menerusi laman blognya, semalam.
Mengenai Klinik 1Malaysia, Perdana Menteri berkata, setakat ini lebih 100,000 orang yang mempunyai aduan kesihatan asas menerima rawatan daripada 50 klinik seumpama itu.
Beliau berkata, menerusi klinik berkenaan, rawatan boleh diperoleh dengan hanya RM1 dan dapat memberikan kemudahan segera untuk penjagaan kesihatan yang mampu dibiayai terutama di kalangan golongan miskin di bandar.
"Selain kesihatan diri, penyelenggaraan bangunan membabitkan sejumlah RM37.6 juta menerusi Dana Penyelenggaraan 1Malaysia disediakan untuk membiayai penyelenggaraan rumah kos rendah yang dibina sektor swasta di Kuala Lumpur.
"Kerja itu termasuk kerja baik pulih umum, mengecat bangunan dan penyelenggaraan lif," katanya.
Beliau berkata, bagi yang tidak mempunyai skim simpanan persaraan biasa kini boleh mengambil peluang pada Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang bermula Januari 2010 untuk memudahkan individu yang tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap, daripada petani hingga pemandu teksi, mempunyai jaminan kewangan yang lebih baik pada hari kemudian.
Selain itu, katanya generasi muda yang berusaha mencapai tahap kecemerlangan dalam pengajian boleh mendapatkan kad diskaun pelajar 1Malaysia daripada KTM Berhad (KTMB) yang menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang perjalanan jarak jauh.
"Siswa universiti boleh juga memohon mendapatkan pakej jalur lebar Streamyx Cool UNI, termasuk satu netbook yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia secara usaha sama dengan kerajaan," katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 20/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan