Sabtu, 27 Februari 2010

bharian: Universiti Penyelidikan mampu pertingkat pembangunan negara

Oleh Dr Ibrahim Komoo

IPT tempatan perlu tambah kepakaran R&D untuk kesejahteraan kehidupan masyarakat, perkukuh kedudukan ekonomi

SAYA diundang ke Universiti Kyoto, Jepun, baru-baru ini, untuk membentangkan kertas kerja mengenai 'peranan institusi penyelidikan dalam pembangunan pusat kecemerlangan dan pengajian pascasiswazah'.

Jemputan itu suatu penghormatan kepada ahli akademik universiti tempatan oleh sebuah universiti gergasi di Jepun yang menduduki ranking atas di kalangan universiti global. Di sana saya lebih banyak belajar daripada menyumbang. Mereka bergerak jauh ke depan, membuat persediaan untuk menyahut cabaran dunia yang pantas berubah.

Dalam gagasan penyelidikan, mereka membina pasukan penyelidikan bersifat holistik, bertaraf 'Pusat Kecemerlangan Global' dan bekerja sebagai pasukan yang melampaui batas universiti dan negara. Mereka berhasrat menjadi pemimpin akademik global dengan menerajui isu dan persoalan yang berkaitan pembangunan di rantau Asia Pasifik dan Afrika.

Pada 2007, negara memperkenalkan konsep Universiti Penyelidikan dan mengangkat martabat empat universiti tempatan terbaik - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) - menjadi Universiti Penyelidikan. Pada prinsipnya, Universiti Penyelidikan diharapkan dapat melaksanakan perubahan dan melaksanakan objektif barunya iaitu;

•Menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan terfokus;


•Memimpin pembangunan inovasi di peringkat negara;


•Membangun output akademik bertaraf dunia;


•Menarik pelajar siswazah berkualiti; dan


•Membina sekitaran kondusif untuk penyelidikan dan inovasi.

Kini, selepas tiga tahun pelaksanaan dasar Universiti Penyelidikan, apakah sudah nampak perubahan ketara terhadap keempat-empat universiti ini? Mungkin, setiap universiti terbabit perlu membuktikan kepada masyarakat mengenai tindakan perubahan dan pencapaian mereka setakat ini.

Suatu yang jelas, pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan suatu tanggungjawab sosial dan amanah rakyat yang sangat berat. Bagaimanapun, pemimpin universiti yang diberikan tanggungjawab ini akur dan menyahut cabaran ini dengan gigih dan berpandangan jauh ke depan. Mereka membuat pelbagai persediaan dan tindakan pelaksanaan untuk menjayakan hasrat murni ini.

Beberapa perubahan penting yang perlu dilakukan oleh pemimpin universiti, tenaga akademik dan pegawai sokongan ialah mengubah set minda, dan berani menerima hakikat 'urusan teras' institusi mereka ialah penyelidikan, bukan lagi pengajaran atau pendidikan.

Ini bererti dasar, perancangan dan sistem sedia ada perlu mengalami perubahan daripada menyokong proses pengajaran kepada sistem yang menyokong urusan penyelidikan. Sememangnya, pengajaran masih perlu diteruskan, tetapi ia kini berada di kerusi kedua.

Dalam konteks ini, beberapa perkara perlu berubah. Pertama, pengurusan dan pentadbiran universiti perlu memberi perhatian untuk membina 'sistem pengurusan' penyelidikan yang baru - ia membabitkan penyediaan prasarana, sumber manusia dan dana khusus untuk urusan penyelidikan.

Pada masa ini, penyelidikan adalah kerja sampingan, tidak ada bebanan yang diperlukan, tidak diperlukan unit sokongan untuk melaksanakan penyelidikan berkumpulan, dan tiada dana yang disalurkan secara berterusan untuk menjayakan program dan projek penyelidikan.

Urusan universiti masih tertumpu kepada pengurusan pengajaran berasaskan sistem 'fakulti' atau 'pusat pengajian' sebagai pihak tanggungjawab yang menguruskan aktiviti universiti. Walaupun institut atau pusat penyelidikan mulai diwujudkan - ia masih belum mendapat sokongan pengurusan dan pentadbiran yang memuaskan untuk memastikan kelestarian penyelidikan.

Kedua, sebagai Universiti Penyelidikan, anjakan kepentingan daripada pengajaran kepada penyelidikan perlu dilaksanakan secara bersistematik. Umpamanya, dengan keterbatasan sumber manusia, bagaimana universiti perlu 'mengecilkan' program pengajian, khususnya pengajian prasiswazah.

Ini perlu diunjurkan untuk lima hingga 10 tahun akan datang. Penilaian semula semua program prasiswazah dan memberikan keutamaan program yang perlu dikekalkan, seharusnya dijadikan agenda utama transformasi program pengajian prasiswazah. Sebetulnya, jika proses ini dilakukan dengan penuh strategi, pengukuhan dan peningkatan kualiti pengajian prasiswazah dapat dijayakan.

Pada masa sama, penyusunan semula tugasan ahli akademik membolehkan proses anjakan tugasan daripada pengajaran kepada penyelidikan dan pengajaran dapat dilaksanakan secara optimum. Sebagai Universiti Penyelidikan, urusan penyelidikan individu akademik tidak boleh lagi tertumpu kepada 'penyelidikan untuk menjana ilmu' dan ilmu hanya untuk dikongsi sesama 'rakan kesepakaran' dan pelajar.

Universiti Penyelidikan menuntut, aktiviti penyelidikan digunakan untuk pembangunan negara. Hasil penyelidikan perlu disalurkan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan membantu meningkatkan kekayaan negara. Penyelidikan tidak boleh dilihat hanya sebagai kerja individu, sebaliknya ia urusan berpasukan dengan objektif yang menyeluruh.

Universiti perlu mewujudkan kelompok dan kumpulan penyelidikan, dan setiap kumpulan perlu memberikan perhatian yang berintegrasi terhadap pembinaan keseluruhan 'rantaian penyelidikan', daripada penyediaan cadangan penyelidikan hingga ke tahap mengkomersialkan hasil penyelidikan. Pasukan pelbagai kepakaran dan kemahiran untuk menjayakan penyelidikan. Penyelidikan juga memerlukan rakan kongsi strategik di kalangan ahli industri, komuniti dan agensi pelaksana kerajaan.

Universiti Penyelidikan juga perlu mempunyai sistem penilaian dan pemantauan mantap. Ini bukannya suatu urusan mudah, di samping kepakaran dan pengalaman, sistem ini harus cukup fleksibel dan boleh diterima pakai untuk pelbagai bentuk penyelidikan.

Sistem yang baik perlu memberi penekanan kepada beberapa perkara asas, antaranya potensi penyelidikan untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara; kesediaan sumber manusia pakar yang dapat menjalankan penyelidikan yang berkualiti; sokongan infrastruktur, kewangan dan pengurusan yang bersesuaian; dan penghasilan output penyelidikan yang ditetapkan penerbitan ilmiah, pelajar pascasiswazah serta inovasi penyelidikan.

Sistem penilaian dan pemantauan perlu dijadikan alat asas untuk memupuk dan memperkukuhkan 'budaya penyelidikan' dan 'budaya akademik cemerlang'. Kepemimpinan universiti mesti berani menggunakan sistem ini untuk tujuan ganjaran dan kawalan. Bagi penyelidik dan kumpulan penyelidikan yang menunjukkan prestasi tinggi, mereka perlu diberikan ganjaran setimpal, umpamanya kenaikan pangkat, pengiktirafan, penyediaan dana penyelidikan tambahan.

Sebaliknya, bagi kumpulan penyelidikan yang menunjukkan prestasi lemah, perhatian perlu diberikan kepada meneliti punca kelemahan dan intervensi bersesuaian perlu dilakukan segera untuk meningkatkan prestasi.

Satu hambatan paling ketara untuk menjayakan gagasan Universiti Penyelidikan ialah sistem sokongan pelbagai pihak, terutama agensi berkepentingan di peringkat kerajaan yang mengawal pengambilan sumber manusia dan sokongan kewangan. Oleh kerana keempat-empat Universiti Penyelidikan ini adalah institusi awam, pengurusan dan pentadbirannya masih dikawal oleh prosedur perkhidmatan awam dengan pelbagai birokrasi kawalan yang membantutkan usaha kreativiti dan inovasi.

Walaupun keadaan sudah bertambah baik, tanpa 'autonomi' melalui kepercayaan, kepemimpinan universiti penyelidikan tidak mungkin dapat menjalankan tugas mereka dengan cemerlang. Bagaimanapun, hambatan paling serius dihadapi negara umumnya, dan Universiti Penyelidikan khususnya ialah kita ketandusan pemimpin penyelidikan dan penyelidik yang berkaliber.

Sejak negara mewujudkan universiti, kita sudah melatih ramai tenaga pengajar (pensyarah) dan bukannya penyelidik. Sebahagian kecil penyelidik yang ada di universiti ketika ini, terhasil atas inisiatif, minat dan kecenderungan tersendiri, dan sering mengharungi ranjau ketika melaksanakan penyelidikan mereka. Perancangan berstrategi membina sumber manusia penyelidik dan sistem sokongan pengurusan sangat diperlukan jika wawasan Universiti Penyelidikan ingin dijayakan.

Kembali kepada situasi Universiti Kyoto, mereka membina budaya penyelidikan dan kecemerlangan sekian lamanya, kini mereka mula memikirkan untuk menjadi peneraju penyelidikan menggunakan konsep 'Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Global'.

Bagi Universiti Penyelidikan di Malaysia, kita perlu menerima hakikat, kita masih perlu membina budaya penyelidikan memperkukuh sumber manusia penyelidik, kepemimpinan penyelidikan dan sistem sokongan pengurusan penyelidikan. Apakah usaha membina semua ini boleh dilaporkan kepada masyarakat? Atau mereka lebih berminat hasil segera yang dapat dimanfaatkan untuk menjana kekayaan negara?

Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo ialah Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) UKM

(Sumber dari Berita Harian, 23/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...