Sabtu, 27 Februari 2010

bharian: Khidmat hantar ubat ke rumah

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Pesakit memerlukan ubat secara berkala tidak perlu lagi menunggu lama di hospital untuk mendapatkan bekalan ubat masing-masing apabila Pos Malaysia melancarkan khidmat penghantaran ubat terus ke pintu rumah tidak lama lagi.

Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata sistem penghantaran ubat ke rumah pesakit itu bakal menjimatkan masa pengguna seperti pesakit kencing manis dan darah tinggi, yang pada masa ini terpaksa menanti lama di hospital semata-mata untuk mendapatkan bekalan ubat.

“Dua hari lalu kita sudah jalankan projek perintis

di sekitar Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan menghantar ubat terus ke rumah pesakit. Jika didapati berkesan, ia akan dijalankan di seluruh negara.

“Menerusi perkhidmatan ini, pesakit boleh memohon bekalan ubat daripada hospital menerusi sistem pesanan ringkas, telefon atau e-mel kepada pihak hospital. Pihak Pos Malaysia akan menghantar ubat yang ditempah ke rumah pesakit dengan caj bayaran hanya RM5 bagi Semenanjung Malaysia dan RM8 untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang media Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri, berkata projek berkenaan adalah satu usaha transformasi perkhidmatan disediakan Pos Malaysia dalam mengembangkan modul urus niaganya.

Selain itu, katanya, Pos Malaysia turut memperkenalkan pelbagai perkhidmatan lain seperti meningkatkan peranan Pos Niaga dengan menawarkan khidmat pembayaran perbankan secara elektronik dengan meletakkan kiosk di tempat tumpuan orang ramai.

“Perkhidmatan baru lain seperti menyediakan khidmat membeli belah dengan Pos Malaysia yang membolehkan orang ramai membuat tempahan menerusi laman web disediakan dan Pos Malaysia akan menghantar sendiri barangan yang mereka beli.

“Kita juga akan bekerjasama dengan syarikat lain untuk mempromosikan barangan mereka menerusi risalah dan brosur yang dihantar Pos Malaysia. Pada masa ini, Pos Malaysia sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat jualan langsung untuk perkhidmatan ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, Pos Malaysia menerima lebih 30,000 surat yang ditulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh pelajar sekolah seluruh negara sempena Pertandingan Menulis Surat Kepada Perdana Menteri yang dilancarkan pada 29 Disember 2009.

Dijangkakan jumlah surat yang diterima mampu mencecah antara 40,000 sehingga 50,000 apabila penyertaan dilanjutkan sehingga 19 Mac 2010 ini berbanding tarikh tutup penyertaan yang sepatutnya jatuh pada 19 Februari lalu.

Pertandingan berkenaan menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai dan hadiah sampingan seperti komputer dan kamera digital. Kategori A (sekolah rendah) menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah berjumlah RM3,000 manakala kategori B (sekolah menengah) pula menawarkan hadiah wang tunai RM4,000.

Borang boleh didapati di pejabat pentadbiran sekolah masing-masing atau memuat turun daripada laman sesawang www.skmm.gov.my dan www.pos.com.my.

(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...