Kita kini lebih suka berpecah dan dipecahkan kepada kelompok dan ideologi masing-masing. Lebih mendukacitakan apabila kepentingan peribadi mendahului agenda perjuangan, berterusan mempolitikkan semua isu agama, terus melarat sehingga menjadi pergeseran emosional yang mencairkan kemantapan ukhuwah dan memecah kekuatan ummah. Seharusnya, umat Islam mencontohi dan mengambil teladan empat sifat Nabi Muhammad iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) kerana ia adalah ciri penting untuk mencapai kecemerlangan. Empat sifat itu hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasikan bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif. Agenda Rasulullah yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman. Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya adalah masyarakat jahil, bersengketa dan berpecah-belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati. Perpaduan yang kukuh perlu dibentuk bukan saja di kalangan umat Islam, malah juga di kalangan bukan Islam. Segala unsur yang boleh membawa kepada perpecahan perlu dielakkan dan sifat tolak ansur hendaklah dititikberatkan agar menjamin sebuah negara yang aman dan maju. Inilah asas yang dibentuk oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya menyatupadukan penduduk di Makkah dan Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, kabilah serta agama yang berlainan.
(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan