Khamis, 25 Ogos 2011

Sabda Rasulullah Salallahualaihi Wassalam

Rasulullah Salallahualaihi Wassalam bersabda: "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

0 ulasan

Rabu, 24 Ogos 2011

~Imam Ibn Ata’illah As-Sakandari~

“Tanamlah kewujudanmu (kemasyhuranmu) di bumi yang tidak terkenal (di sisi manusia) kerana sesuatu yang tumbuh sendiri tanpa ditanam tentu hasilnya tidak sempurna”.

~Imam Ibn Ata’illah As-Sakandari~

0 ulasan

Isnin, 22 Ogos 2011

~Ibnu Sammak~

“Menggemari dunia itu akan meletihkan penggemarnya di dunia dan akhirat, sedangkan yang zuhudkan dunia itu akan merehatkan tuannya di dunia dan akhirat”.

~Ibnu Sammak~

0 ulasan

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil

Utusan Online|Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil
20/08/2011

SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Katanya, ia berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,000 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

"Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Satu-satunya Ketua Pegawai Eksekutif bumiputera selain daripada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di Shell," katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mat Noor memetik pelbagai kajian dan laporan bebas antaranya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik pula katanya, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Menurutnya, untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

"Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561," jelasnya.

0 ulasan

PEMANDU kaji langkah bantu golongan pendapatan bawah RM3,000

Utusan Online|Pemandu kaji langkah bantu golongan pendapatan bawah RM3,000
21/08/2011 4:51pm


IPOH 21 Ogos - Kerajaan mengarahkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mengkaji langkah membantu golongan berpendapatan di bawah paras RM3,000 untuk berdepan masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, keputusan itu diambil pada perbincangan Kabinet baru-baru ini, yang berpendapat satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membantu golongan tersebut.

"Sehingga kini Pemandu sedang memperincikan kajian ini untuk dirumuskan dalam satu pangkalan data menerusi sebuah makmal khusus yang ditubuhkan bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Teman 1Azam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta penyampaian bantuan sempena Aidil Fitri hari ini.

Beliau berkata makmal itu akan mengemukakan rumusan kajian dalam tempoh dua minggu, dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum diperincikan semula untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2012.

Katanya, apa yang penting, inisiatif itu akan mencapai matlamat membantu golongan sasar mengurangkan beban mereka, dan kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana Kabinet mendapati rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 menerima kesan besar ekoran kenaikan harga barang. – Bernama

0 ulasan

Khamis, 18 Ogos 2011

UM alami krisis kemerosotan?

Utusan Online|UM alami krisis kemerosotan?

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Universiti Malaya (UM) didakwa sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar berikutan peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon (gambar).

Mereka yang meletak jawatan melibatkan profesor, profesor madya, pensyarah dan ahli akademik dari pelbagai fakulti yang sudah lama menabur bakti dan berkhidmat di universiti itu.

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom semasa mendedahkan perkara itu berkata, antara yang meletakkan jawatan ialah 52 orang dari Fakulti Perubatan, 12 dari Fakulti Perakaunan, 10 Fakulti Sains dan 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan.

Pada tahun ini sahaja, katanya, kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan yang sama.

"Berikutan itu, pihak pengurusan universiti telah melantik 576 pensyarah baru dengan 80 peratus daripada mereka dari negara lain seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India dan Jordan.

"Pelantikan dibuat bagi tujuan penerbitan jurnal bahasa Inggeris demi mengejar rangking sehingga menganaktirikan pensyarah tempatan yang telah lama berkhidmat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Naib Canselor UM itu pernah mengeluarkan kenyataannya Mac lalu yang mengakui 'kegilaannya' meletakkan universiti tersebut dalam rangking 100 terbaik di dunia.

Usaha tersebut bagaimanapun kurang berkesan kerana rangking universiti tertua di Malaysia itu jatuh ke tangga 207 pada 2010 berbanding kedudukan 180 pada 2009.

Azmi mendakwa Ghauth turut memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat dengan memfokuskan penerbitan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data ISI dan Scopus yang kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu.

"Tindakan ini menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia.

"Beliau hanya memberi tumpuan kepada penerbitan jurnal antarabangsa tanpa mengira kualiti penyelidikan dan mutu jurnal semata-mata untuk mengejar rangking sehingga mengabaikan fungsi teras universiti untuk menyebarkan ilmu dan melahirkan graduan berkualiti," katanya.

Ghauth dilantik menjadi Naib Canselor pada 2008 menggantikan Tan Sri Dr. Rafiah Salim.

0 ulasan

Kisah 3 lelaki di majlis ilmu (Tiada batas usia untuk perbaiki kelemahan diri)

Berita Harian Online|Kisah 3 lelaki di majlis ilmu
Oleh Amran Zakaria

2011/08/15
Tiada batas usia untuk perbaiki kelemahan diri

ADA kala berlabuh juga perasaan malu di hati kerana memaksa diri untuk mendalami ilmu agama pada usia senja. Sebenarnya dalam agama tidak ada istilah malu atau seumpamanya jika kita bertekad untuk mempelajarinya.

Sikap yakin mesti ditanam sepenuhnya dalam diri bahawa inilah masa terbaik untuk melaksanakan niat setelah sekian lama tertangguh. Faktor umur usah dijadikan alasan untuk mengelak diri daripada mempelajari ilmu agama.

Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya. - Surah An-Nahl, Ayat 43

Ingatlah bahawa tempoh untuk kita tidak terhad dan terbatas. Islam menetapkan untuk kita bertanyakan sesuatu yang kita tidak tahu dalam hal agama kepada mereka yang lebih tahu.

Firman Allah yang bermaksud: “Bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya.” (Surah An-Nahl, ayat 43).

Apa yang lebih utama ialah perbetulkan niat untuk mempelajari ilmu agama seikhlasnya demi kerana Allah dan Rasul-Nya. Ingat tujuan sebenar kita menuntut ilmu untuk keluar daripada kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya.

Kisah tiga lelaki dalam majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah SAW boleh dijadikan pengajaran kepada sesiapa yang berminat mendalami ilmu agama dan khabar dibawa Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dalam proses pencarian ilmu keagamaan.

Daripada Abi Waaqid Allaithy menceritakan, sewaktu Rasulullah SAW berada dalam majlis ilmu di masjid bersama sahabatnya, datang tiga lelaki, lalu dua orang terus menyertai majlis ilmu itu manakala seorang lagi berlalu begitu saja (tanpa menyertainya).

Sewaktu kedua-dua orang itu berada dekat halaqah, salah seorang daripada mereka terlihat ruang kosong lalu dia duduk di situ, manakala seorang lagi duduk jauh di belakang. Lelaki yang ketiga beredar.

Apabila Rasulullah SAW selesai mengendalikan pengajian lalu Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku khabarkan mengenai hal orang bertiga itu? Yang pertama itu dia bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu, maka Allah melapangkan tempat untuknya, manakala yang kedua itu dia berasa malu (tidak bersungguh-sungguh) maka Allah juga malu daripadanya (yakni tidak memberinya ilmu yang banyak) dan yang ketiga itu dia berpaling dari Allah, maka Allah juga berpaling daripadanya (tidak mengendahkannya).”

Daripada Abi Musa, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan mengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya).”

Itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah, dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku.” (Hadis sahih, Muttafaq ‘Alaihi).

Antara ilmu yang utama ialah ilmu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya. Ilmu agama ini diturunkan Allah Taala dengan dua tujuan iaitu mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah Taala.

Keduanya, dengan ilmu agama ini diajarkan adab dan peraturan yang mesti diamalkan seseorang dalam hubungannya dengan Allah demi mencapai keredaan-Nya. Matlamatnya jelas untuk kebahagiaan di dunia dan mendapat balasan sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Letakkan niat yang baik supaya dapat memperbaiki diri dengan menambah pengetahuan dalam ilmu agama bagi memudahkan urusan amal ibadah.

Daripada Ka’ab bin Malik, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) bertujuan untuk menyaingi ulama atau berbahas dengan orang jahil atau supaya dengan ilmu itu wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah).

0 ulasan

Selasa, 16 Ogos 2011

~Wabishah bin Ma’bad Radiyallahu Anhu~

Dan dari Wabishah bin Ma’bad Radiyallahu Anhu dia berkata: Aku datang kepada Rasulullah Salallahualaihi Wassalam , beliau bersabda:  “Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata,” Ya.” Beliau bersabda, “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang terus membenarkanmu.”

0 ulasan

Jumaat, 12 Ogos 2011

~HR. Abu Daud~

“Barangsiapa sentiasa beristighfar, nescaya Allah menjadikan untuk setiap kesedihannya kelapangan dan untuk setiap kesempitannya jalan keluar, dan akan diberi-Nya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.”

~HR. Abu Daud~

0 ulasan

Khamis, 11 Ogos 2011

Puasa, baca al-Quran peroleh syafaat Allah

Berita Harian Online|Puasa, baca al-Quran peroleh syafaat Allah
Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com
2011/08/11

DI SEBALIK Ramadan yang bertandang saban tahun dengan seribu janji pengampunan buat insan yang mengambil manfaat, ada lagi yang istimewa dan bersejarah iaitu kitab suci Al-Quran. Turunnya kalam Allah ini mengubah hidup manusia dari kufur kepada cahaya, dan menjadi pegangan umat Islam hingga hari ini.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab al-Quran yang jelas nyata keterangannya, dengan al-Quran itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izin-Nya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 15-16).

Al-Quran sarat dengan panduan dan pengajaran untuk setiap insan yang inginkan pedoman dalam hidup. Akidah dan syariah mengajar manusia cara melandasi dunia dengan sebaik-baiknya sebelum tiba di akhirat yang kekal abadi.

Kisah mengenai azab dan nikmat juga tidak ketinggalan memberi peringatan buat kita yang ingin berfikir, bahawa dunia adalah fana dan tidak menguntungkan apa-apa melainkan nikmat yang sementara.

Namun, dunia jugalah yang menjayakan kehidupan di akhirat kelak jika kita mampu melaluinya dengan perintah dan suruhan al-Quran. Sebab itulah membaca al-Quran menjadi rutin bibir yang melazimi sunnah Rasulullah SAW, supaya mendapat syafaat di akhirat kelak.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abu Amamah Al-Bahali berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah oleh kamu al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya.”

Sebab itulah Rasulullah bersungguh-sungguh mengerjakan amal ibadat pada 10 terakhir Ramadan, apa yang Baginda tidak kerjakan pada 10 hari terakhir bulan lain. Ini juga kerana lailatul qadar, iaitu malam turunnya al-Quran yang akan muncul antara hari-hari itu.

Setiap mukmin perlu mengambil kesempatan Ramadan mengakrabkan diri dengan al-Quran. Tidak cukup dengan membaca, al-Quran perlu difahami dan dihayati supaya pengamalan dilakukan selaras pesanan Allah SWT kerana al-Quran jugalah yang akan memberi syafaat kepada kita di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dari Abdullah bin Amru, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Bahawa puasa dan al-Quran itu meminta syafaat kepada Allah SWT untuk seseorang hambanya pada hari kiamat. Berkata puasa: Ya Allah, aku telah menahan daripada makan dan minum pada siang hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya. Dan berkata al-Quran: Ya Allah, aku telah menahannya daripada tidur (kerana membaca al-Quran) pada malam hari, maka jadikanlah aku syafaat kepadanya, maka Allah memberi syafaat kepadanya dengan sebab permohonan keduanya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Ramai kalangan kita yang tidak cuba mengambil kesempatan di sebalik keistimewaan ini kerana tidak tahu betapa besarnya pertolongan al-Quran kepada setiap manusia yang beriman.

Inilah segelintir manusia yang malang di dunia dan akhirat, kerana mengejar keuntungan akhirat yang tidak mampu dilabur di mana-mana melainkan dalam Ramadan singkat ini.

Sedangkan Allah SWT telah meyakinkan kita bahawa hanya al-Quran satu-satunya kitab yang mengutuskan nasihat dari-Nya, yang memberi panduan supaya kita tidak tersesat seperti sebelum datangnya nur di sebalik Ramadan.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hadiah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57).

Al-Quran menjadi penawar kepada penyakit jiwa, ia mengubat sengketa sesama kita, mengamalkan al-Quran bukan dengan akidah atau syariahnya semata, tetapi menghayati semua perintah-Nya supaya seluruh umat Islam kembali bersilaturahim sehingga ke syurga.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

0 ulasan

~Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah~

"Jangan kamu menjadi hamba kepada orang lain kerana Allah menjadikan kamu orang yang merdeka.”

~Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah~ 

0 ulasan

Rabu, 10 Ogos 2011

~Imam Syafie Rahimahullah~

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

~Imam Syafie Rahimahullah~

0 ulasan

Selasa, 9 Ogos 2011

~ Hamka ~

Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa.

Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.

- Hamka -

0 ulasan

~Imam Ali~

Imam Ali berkata: “Allah menyayangi orang-orang yang mengetahui kadar dirinya dan tidak melewati batas perjalanannya; menjaga lisannya dan tidak mensia-siakan umurnya”.

0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...