Khamis, 28 Julai 2011

BAGAIMANA UNTUK MEMBUAT TUNTUTAN KECIL DI MAHKAMAH

(sumber: http://www.kehakiman.gov.my/html/faq.shtml#BAGAIMANA  UNTUK MEMBUAT  TUNTUTAN KECIL  DI MAHKAMAH)

(Prosidur Tuntutan Kecil) Mahkamah Majistret

    • Mahkamah Tuntutan Kecil diwujudkan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membuat tuntutan yang berupa hutang, perkhidmatan dan lain-lain di mana jumlah tuntutan ialah tidak melebihi RM5,000.00.
    • Mahkamah ini diwujudkan bagi membicara kes di mana hanya pihak menuntut dan pihak kena tuntut sahaja yang terlibat tanpa menggunakan peguam, mengurangkan kos perbicaraan.

Apakah Perkara-Perkara Yang Boleh Dituntut

1. Mendapatkan kembali hutang }
2. Tuntutan barangan melibatkan nilai }
Wang tidak lebih RM5,000.00 } Jumlah nilai
3. Upah sesuatu perkhidmatan yang tak dibayar } tuntutan tidak
4. Sewa menyewa } tidak melebihi
5. Tuntutan atas barangan yang rosak. } RM5,000
6. Tuntutan persembahan yang tidak dilaksanakan }

Di Mana Tuntutan Perlu Dibuat
Tuntutan (saman) ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran.
Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dibuka pada waktu pejabat.

Bagaimana Anda Hendak Memulakan Saman
Anda perlu mendapatkan Borang 164 yang telah disediakan di Mahkamah dan mengisi borang tersebut mengikut mana-mana bersesuaian.
Terdapat beberapa jenis borang yang mempunyai tujuan masing-masing yang akan digunakan selepas penghakiman diperolehi.
Bagi memulakan saman anda dikehendaki mengisi Borang 164 dalam 4 salinan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutan.
Tandatangan di borang tersebut atau cap jari.

Kehadiran Ke Mahkamah Pada Tarikh Yang Ditetapkan
Apabila peringkat di atas telah selesai anda dikehendaki hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Sekira defendan hadir dan menafikan tuntutan maka Mahkamah akan tetapkan satu tarikh untuk bicara. Sekira defendan hadir dan bersetuju dengan tuntutan maka Mahkamah akan memberi penghakiman kepada plaintif dan mengarahkan defendan membayar sama ada di Mahkamah ataupun pada tarikh yang disetujui oleh kedua pihak.
Sekira defendan tidak hadir maka anda kenalah membuktikan kepada Mahkamah bahawa anda telah menyerahkan saman sama ada melalui penyerahan sendiri atau pun melalui pos. Selepas itu anda berhak memohon Penghakiman Ingkar (tampa kehadiran defendan).
Sekiranya anda tidak hadir tanpa sebab dan defendan hadir maka saman anda boleh dibatalkan oleh Mahkamah.

Perkara Lain Yang Boleh Dituntut
Selain dari penghakiman anda juga boleh menuntut kos iaitu perbelanjaan yang boleh anda lakukan tidak melebihi RM100.00 dari defendan.

Peguam
Kedua-dua ihak di dalam kes tuntutan kecil tidak dibenarkan menggunakan khidmat peguam dan perbicaraan adalah di antara pihak-pihak.

Majistret
Orang yang akan membicarakan kes anda. Majistret akan memastikan bahawa pihak-pihak mengemukakan bukti-bukti bagi menyokong kes masing-masing mengikut peruntukan undang-undang . Pihak-pihak yang terlibat akan dibantu oleh Majistret di dalam perbicaraan.

Jurubahasa Mahkamah
Jika anda tidak memahami Bahasa Malaysia dengan baik anda perlu memberitahu Mahkamah sekiranya anda memerlukan bantuan jurubahasa sama ada Cina, India atau bahasa-bahasa lain.

Perhatian:
RISALAH INI DIKELUARKAN SEBAGAI PANDUAN DAN UNTUK MAKLUMAN SAHAJA. IA TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI BAHAN RUJUKAN ATAU KETERANGAN DI MAHKAMAH.

ARAHAN KEPADA PLAINTIF:

1. Plaintif mestilah mengisikan namanya dengan penuh dan nombor kad pengenalannya dalam bahagian pertama.  Jika plaintif adalah suatu syarikat atau firma, nama penuh syarikat atau firma itu hendaklah dinyatakan.

2. Dalam bahagian kedua plaintif  mestilah mengisikan nama defendan dengan penuh dan alamatnya yang terakhir diketahui.

3. Dalam bahagian ketiga plaintif mestilah menyatakan amaun tepat yang dituntut.  Amaun yang dituntut itu tidaklah boleh melebihi RM5,000,000.  Jika amaun itu melebihi RM5,000.00 maka tuntutan itu hendaklah difailkan di Mahkamah Majistret Kelas Satu dan tidaklah boleh dibuat dalalm borang ini.

4. Dalam bahagian yang sama, plaintif mestilah menyatakan butir-butir tuntutannya.  Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimana tuntutan itu telah berbangkit atau apakah asas tuntutan itu.

5. Setelah mengisi butir-butir, plaintif mestilah menandatangani borang secara sendiri.  Jika plaintif adalah suatu syarikat, borang mestilah ditandatangani oleh seorang pegawai syarikat itu yang diberikuasa dengan sempurnanya untuk bebuat demikian.  Jika ia adalah suatu perkongsian, maka ia bolehlah ditandatangani  oleh seorang daripada pekongsi.

6. Setelah menyiapkan borang, plaintif mestilah memfailkan borang dalalm 4 salinan di Pejabat Pendaftaran bagi Mahkamah Majistret Kelas Dua.  Dia mestilah membayar fee pemfailan sebanyak  RM10.00 .  Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran.  Satu salinan borang akan dikembalikan kepada plaintif.

7. Kamu boleh berunding dengan peguam tetapi tidak boleh  diwakili oleh peguam di pendengaran itu.

ARAHAN-ARAHAN KEPADA DEFENDAN:

1. Apabila kamu menerima borang ini yang dimeteraikan dengan meterai Mahkamah, kamu adalah didakwa oleh plaintif.

2. Jika kamu mempertikaikan tuntutan itu kamu mestilah menyatakan pembelaan anda, dengan butir-butir, dalam Borang 165.

3. Kamu mestilah memfailkan pernyataan pembelaan kamu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah.

4. Jika kamu gagal memfailkan pembelaan kamu dalam masa yang ditetapkan atau jika kamu gagal hadir di Mahkamah pada tarikh pendengaran, maka Mahkamah akan memberikan penghakiman untuk plaintif berserta dengan kos.

5. Kamu boleh berunding dengan peguam tetapi tidak boleh diwakili oleh peguam di pendengaran itu.

Cara Mengisi Borang Saman (Borang 164)
Di bawah ini ditunjukkan cara Borang 164 diisi.  Terdapat juga penjelasan bagi perkataan yang belum anda ketahui.

image

image

11 ulasan

Formula 1:3:7 (Enam langkah tindakan dan penyelesaian kes disiplin di sekolah)

Berita Harian Online|Formula 1:3:7
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/07/15

Pelajar wajib selesai dalam seminggu di semua peringkat

KUALA LUMPUR: Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.

Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.

Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

“Selain itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian.

“Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini,” katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

“Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan,” katanya.

Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu pertama membabitkan sekolah - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.

0 ulasan

NKRA kos hidup (NKRA ke-7)

Berita Harian Online|NKRA kos hidup

2011/07/28
Kerajaan sedia pelan penyelesaian kos mengurangkan beban rakyat, pengguna

PUTRAJAYA: Kenaikan harga barang terutama makanan, fenomena global yang kini menjadi bebanan rakyat dijadikan satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu pelan penyelesaian akan disediakan bagi mengurangkan beban rakyat dan pengguna.
"Sewaktu NKRA diputuskan kira-kira dua tahun lalu, ia berdasarkan kajian dan penelitian mengenai apa yang dikehendaki rakyat dan yang perlu dilakukan kerajaan dan ketika itu tidak terdapat fenomena global mengenai kenaikan harga barang, terutama makanan.
“Namun, selepas mendapati fenomena ini menjadi isu utama di kalangan rakyat, kerajaan berpendapat perlu menyediakan satu penyelesaian yang mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan dengan itu kita (Kabinet) memutuskan menambah satu lagi NKRA,” katanya kepada media selepas mempengerusikan majlis dialog bersama pakar bidang yang menyertai perbincangan ‘online’ Meja Bulat 1Malaysia’ di pejabatnya di sini, semalam.

Najib berkata, NKRA ketujuh itu akan diketuai Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dan kementerian berkaitan.

Enam NKRA lain ialah memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan; mengurangkan kadar jenayah; memerangi rasuah; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam.

Najib berkata, bagi memastikan NKRA itu mencapai matlamat, kerajaan akan meneruskan langkah yang sudah dilaksanakan sebelum ini seperti mengawal harga barang dan mengekalkan sistem subsidi barang keperluan, selain mengembangkan lagi inisiatif Klinik 1Malaysia serta Kedai Rakyat 1Malaysia.
Mengulas hasil dialog meja bulat itu, beliau berkata, ia bertujuan mendapatkan pandangan pakar dalam bidang tertentu seperti ekonomi, teknologi maklumat, hiburan, sukan dan pengguna. Cadangan dan saranan yang diluahkan dalam dialog itu akan diambil kira dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan Oktober ini.

“Saya berharap perbincangan ‘online’ ini akan memberi peluang kepada rakyat menyatakan pandangan mereka dalam pelbagai isu dan kerajaan akan mengambil kira hasil perbincangan mereka dengan pakar terbabit ketika merangka polisi tertentu,” katanya.

Antara pakar terbabit ialah pereka Pendrive, Pua Khein-Seng; Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS), Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin; pemuzik, Amy Search; Presiden FOMCA, Datuk N Marimuthu; Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation, Johan Mahmood Merican dan pemain skuash kebangsaan, Azlan Iskandar.

1 ulasan

Isnin, 18 Julai 2011

-Imam Sufian At-Tsauri-

“Engkau mesti bersifat zuhud supaya Allah menampakkan kepada engkau keburukan dunia.

Engkau mestilah bersifat warak agar Allah memudahkan kepada engkau ketika hisab.

Tinggallah apa yang meraguimu kepada apa yang tidak meraguimu.

Hilangkanlah perasaan syak dengan keyakinan agar ia menyelamatkan agama engkau.”

-Imam Sufian At-Tsauri-

0 ulasan

Sabtu, 16 Julai 2011

Leka keseronokan dunia punca manusia lalai mengingati mati

Berita Harian Online|Leka keseronokan dunia punca manusia lalai mengingati mati
Oleh Hizbur Rahman

2011/07/12

imageALAM barzakh adalah suatu kerehatan yang damai bagi jenazah beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan.

Alam barzakh episod ngeri bagi umat ingkar suruhan Allah

INILAH saat dinanti-nantikan setiap manusia, tidak kira agama apa yang dianuti, pastinya mati akan datang menjemput kita. Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati wajib dilalui semua manusia.

Bagaimana sihat seseorang, kuasa dan kekayaan, manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah, nabi dan rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan yang menjadi kekasih Allah pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.

Firman Allah yang bermaksud: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)
 
Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur dan roh keluar dari badan manusia.

Kubur atau alam barzakh adalah tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh.

Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan berjalan pulang, maka suasana gelap, dua malaikat Munkar dan Nakir datang menghampiri serta mendudukkan jenazah.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah, alam barzakh adalah episod ngeri hingga datangnya hari kiamat.

Mereka berkeadaan seperti orang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan. Ingatlah wahai sekalian umat Islam bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang yang bercakap mengenai kematian, alam barzakh dan Mahsyar kerana sibuk dengan kelazatan kehidupan dunia.

Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Saidina Ali pernah berkata: “Manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”

Kesibukan mencari keseronokan dunia adalah penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Contohnya, penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan.

Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung seksaan hidup dengan penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian.

Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ada ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat daripada Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin.

Firman Allah bermaksud: “Tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya perit dan sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar ketika berdepan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab yang masih terkejut seraya berkata: “Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.”

0 ulasan

Jumaat, 15 Julai 2011

-Imam Syafie Rahimahullah-

"Aku mencintai orang-orang soleh, meskipun aku belum termasuk golongan mereka.

Aku harap semoga aku mendapat syafaat daripada mereka.

Aku membenci orang-orang derhaka (kepada Allah), meskipun sebenarnya, mungkin aku termasuk golongan mereka."

-Imam Syafie Rahimahullah-

0 ulasan

-maksiat dan kejahatan-

Rasulullah Salallahualaihi Wassalam bersabda maksudnya: “Barangsiapa membantu dalam kederhakaan (maksiat dan kejahatan) walaupun hanya melalui sepatah kata, maka ia turut terlibat di dalamnya”.

0 ulasan

Rabu, 13 Julai 2011

-Imam Sufian At-Tsauri-

“Orang alim itu merupakan doktor agama dan wang itu merupakan penyakit agama. Apabila doktor sendiri dijangkiti penyakit maka adakah dia mampu merawat orang lain?”

-Imam Sufian At-Tsauri-

0 ulasan

Ahad, 10 Julai 2011

Pembaharuan jana pendapatan, jimat kos RM13b (20 cadangan, 6 bidang utama)

Berita Harian Online|Pembaharuan jana pendapatan, jimat kos RM13b


2011/07/06

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam kewangan awam untuk menjana pendapatan dan penjimatan kos sebanyak RM13 bilion dalam tempoh lima tahun.

Untuk tujuan itu, kerajaan mensasarkan menguatkuasakan 20 cadangan yang dibahagikan kepada enam bidang utama iaitu meningkatkan pentadbiran cukai, merasionalkan insentif cukai korporat, pemerolehan telus, kawalan perbelanjaan dan perakaunan terakru, termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jika berjaya dilakukan, ia akan membolehkan kerajaan menguruskan kedudukan kewangan di luar jangkaan, membayar hutang negara serta melabur untuk masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala. 
 
“Ketika ini hanya sejuta rakyat Malaysia membayar cukai daripada 28 juta penduduk dan jurang cukai semasa iaitu beza antara pungutan sebenar daripada unjuran kira-kira 20 peratus, berbanding 10 hingga 15 peratus di negara maju. Justeru, ia mewakili potensi pendapatan sehingga RM20 bilion,” katanya ketika membentangkan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) di sini, semalam.

Idris berkata, sebanyak enam inisiatif akan dilaksanakan bagi meningkatkan pungutan cukai, termasuk meluaskan liputan siasatan dan audit, meningkatkan asas cukai serta mengukuhkan penguatkuasaan serta audit kastam.

Katanya, apabila GST diperkenalkan ia meluaskan lagi asas cukai susulan anggaran kesan positif ke atas kedudukan fiskal negara, yang mana saiznya adalah RM6 hingga RM10 bilion, bergantung kepada kadar cukainya empat hingga lima peratus.

Beliau menjelaskan, sebanyak 143 negara sudah melaksanakan GST dan Malaysia adalah antara beberapa negara yang masih belum melakukannya.

“Cukai itu tidak akan memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah kerana kebanyakan produk dan perkhidmatan asas seperti beras, daging mentah, ikan segar, sayur, pengangkutan awam domestik serta perkhidmatan kesihatan dikecualikan cukai, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diberikan insentif untuk mengurangkan kos bagi melaksanakan GST,” katanya.

Idris berkata, tindakan juga akan diambil untuk mengawal perbelanjaan kerajaan dalam empat bidang iaitu rasional subsidi, pemerolehan, perbelanjaan perjalanan dan pindahan bayaran ke badan berkanun di mana kerajaan kini sedang merasionalkan subsidi secara berperingkat.

Katanya, kerajaan juga komited meningkatkan ketelusan dalam proses pemerolehan, sebagai contoh nilai ambang bagi sebut harga dan tender menerusi ‘e-bidding’ dikurangkan kepada RM50,000 daripada RM200,000 sebelumnya.

“Pada masa sama, pembekal dan penyedia perkhidmatan berdaftar dengan Kementerian Kewangan yang gagal memberi prestasi baik akan dikeluarkan dari senarai itu.

“Metrik prestasi kewangan dan modal berbayar yang lebih ketat untuk pembekal akan turut diperkenalkan,” katanya.

0 ulasan

Martabat dua bahasa, sastera (MBMMBI)

Berita Harian Online|Martabat dua bahasa, sastera
Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my
2011/07/07

imageMUHYIDDIN menyampaikan hadiah johan kategori bercerita kepada Hong Li-Man Jeslyn, di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Muhyiddin mahu murid pertingkat kemahiran berbahasa, berkarya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha memperkasa bahasa Melayu dan sastera kebangsaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, fokus kementeriannya untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan berkarya di kalangan murid kerana yakin program sedemikian dapat membenih daya inovasi dan kreativiti murid dengan lebih berkesan.

“Dalam usaha memperkukuh keterampilan dan kemahiran guru Bahasa Melayu di sekolah menengah persendirian Cina, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Kursus Penataran Bahasa Melayu di semua sekolah menengah persendirian Cina sejak 2009.

“Saya difahamkan sambutan untuk kursus ini amat menggalakkan dan berharap semua guru sama ada yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu atau mata pelajaran lain di sekolah persendirian dapat menghadiri kursus yang ditawarkan ini bagi meningkat penguasaan bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah Festival Bahasa dan Sastera 2011 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin berkata, generasi muda perlu diberi ruang dan peluang secukupnya untuk meluahkan pemikiran mengenai masa depan negara dan mereka di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana mereka mempunyai idealisme tersendiri dan sekiranya digilap sudah pasti dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada kemajuan dan keamanan negara.

"Saya percaya, semangat patriotisme, perpaduan dan semangat ingin menyumbang kepada negara boleh disemai melalui aktiviti pidato, forum dan syarahan yang membincangkan secara khusus asas penting kewujudan sebuah negara bangsa maju dan bersatu padu.

"Dengan luahan fikiran generasi muda sendiri mengenai kepentingan semangat patriotisme dan perpaduan, saya yakin kita dapat melahirkan generasi yang mempunyai kesedaran tinggi mengenai peranan dan tanggungjawab 
mereka untuk memelihara perpaduan dan keamanan negara.

0 ulasan

Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi

Berita Harian Online|Kongres Profesor lulus 14 resolusi jayakan transformasi
2011/07/09

KUALA LUMPUR: Kongres Profesor Negara yang berakhir semalam meluluskan 14 resolusi berdasarkan setiap kluster ilmu untuk membantu kerajaan menjayakan usaha transformasi negara seperti berikut:

  1. Mengukuhkan dasar, proses perancangan dan tadbir urus sektor sumber asli dan alam sekitar; transformasi ekonomi yang disokong sistem pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berasaskan sasaran keberhasilan konkrit dan jelas.
  2. Kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan.
  3. Pembangunan modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi serta sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dicadang bagi memastikan ICT menjadi pemacu utama transformasi.
  4. Pengukuhan Polisi Inovasi Negara bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan iaitu membabitkan semua peringkat masyarakat bermula di sekolah hingga industri dan agensi kerajaan.
  5. Bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman penyusutan sumber dan krisis tenaga, pembangunan kecekapan penggunaan tenaga, pengoperasian perkakasan, perancangan bandar dan pemerkasaan penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dicadangkan.
  6. Sokongan padu terhadap penegasan dasar mengekalkan nisbah 60:40 bagi pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains yang merosot pada tahap 20:80 ketika ini bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
  7. Usaha menjana dan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains sosial disifatkan kritikal bagi membekalkan data sosial mencukupi untuk pelaksanaan transformasi negara.
  8. Menekankan kepentingan sistem pendidikan diperkukuhkan menerusi pendekatan kesepaduan bermula pendidikan dasar hingga tertiari yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berorientasikan bakat, bukan peperiksaan.
  9. Akses perkhidmatan kesihatan secara saksama dengan memberi keutamaan kepada aspek pencegahan penyakit secara menyeluruh dan berkesan.
  10. Menitikberatkan kesepaduan sosial sebagai prasyarat untuk menjamin transformasi negara yang seimbang.
  11. Bagi memartabat industri farmaseutikal, kerajaan dicadang mewujudkan keupayaan sebagai pengeluar ubatan halal bagi mengelak kebergantungan terhadap pasaran luar yang diragui kesesuaiannya dan boleh mengancam kesihatan rakyat.
  12. Turut diusul bagi bidang kesihatan adalah masalah ketagihan dadah dipertanggungjawabkan bersama Kementerian Kesihatan kerana ia dikenal pasti sebagai penyakit.
  13. Meminta kerajaan memastikan inti pati pembangunan dikawal sistem nilai budaya yang murni untuk mengelak penyelewengan, mengekalkan moral tinggi serta menegakkan prinsip keadilan sosial.
  14. Bagi memastikan sekuriti makanan, negara dicadang memberi perhatian khusus kepada isu penggunaan tanah, koordinasi antara pelbagai kementerian dan agensi, dasar insentif, kebergantungan kepada buruh asing, mekanisme pemasaran, pemindahan teknologi, perubahan iklim, sumber air dan dana pelaburan.
0 ulasan

PBS atasi keciciran murid

Berita Harian Online|PBS atasi keciciran murid
Oleh Rohaniza Idris, Mohd Anwar Patho Rohman, Rosniza Md Taha dan Khairunnisa Kamarudin

2011/07/09

imageMUHYIDDIN melihat murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kajang membuat pengiraan menggunakan abacus iaitu antara aktiviti simulasi Penilaian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) selepas majlis pelancaran buku Pengurusan dan Pengendalian PBS di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, semalam.

Sistem pentaksiran prestasi lebih sistematik kuasi 4M: Muhyiddin

BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap masalah keciciran murid dalam pembelajaran dapat diatasi dengan pelaksanaan sistem Pengurusan dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutama dalam menguasai kemahiran 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini kerana usaha memperkenalkan PBS dalam proses menilai dan mentaksir pencapaian murid adalah langkah penting untuk menentukan tahap penguasaan murid secara bersistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran.

“PBS penambahbaikan kepada sistem pentaksiran untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan mulai Tahun 1 pada tahun ini dan Tingkatan 1 pada 2012. Langkah ini bersesuaian dengan konsep tiada seorang pun kanak-kanak tercicir seperti diamalkan di Amerika Syarikat,” katanya. 
 
Berucap pada majlis pelancaran Buku PSP di Bandar Baru Bangi, di sini semalam, beliau berkata, maklumat yang dikumpul dalam pentaksiran yang dijalankan ketika proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan guru atau pihak sekolah memberi maklumat balas konstruktif.

Ia juga, katanya, membolehkan guru dan pihak sekolah mengambil langkah susulan yang bersesuaian bagi memastikan kelemahan setiap murid dapat diatasi agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Beliau berharap PBS akan menjadi satu daripada instrumen untuk menilai pencapaian murid dalam bidang lain selain akademik seperti sukan dan kokurikulum kerana dasar baru yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran seperti Dasar 1Murid 1Sukan akan membantu pihak sekolah mengenal pasti dan mengasah potensi setiap individu dalam pelbagai bidang.

“Pencapaian melalui ujian saringan dilaksanakan tahun lalu menunjukkan 85 peratus murid Tahun 1 berjaya dalam aspek membaca, manakala 91 peratus berjaya melepasi saringan dalam mengira. Saya amat berharap murid boleh membaca, menulis dan mengira menjelang 2012 akan mencapai 100 peratus," katanya.

Sementara itu, ketika berucap menutup Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara selepas itu, Muhyiddin mahu profesor di negara ini menyelidik sejarah kemajuan negara bagi mencari ramuan dan rahsia penting kejayaan yang sudah dicapai untuk dijadikan panduan menjadikan Malaysia lebih maju pada masa depan.

“Tidak mudah bagi negara berbilang kaum dan agama mencipta pelbagai kejayaan dalam ekonomi, politik dan sosial dalam masa singkat. Semestinya ada rahsia di sebalik pelbagai kejayaan ini yang boleh dijadikan pedoman untuk kita merangka pembangunan negara pada masa depan," katanya.

Beliau turut menerima 14 resolusi disampaikan Pengerusi MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid yang dirumuskan sepanjang tiga hari kongres berlangsung melalui perbincangan 14 kluster dalam MPN.

0 ulasan

Menu 1Malaysia dapat sambutan

Berita Harian Online|Menu 1Malaysia dapat sambutan
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim

2011/07/10

image

Program Jom Makan promosi keunikan juadah tempatan sebagai alat perpaduan

KUALA LUMPUR: Sapaan ‘sudah makan?’ yang sinonim dengan masyarakat tempatan yang berbilang kaum, kini berkemungkinan disusuli pelawaan ‘Jom Makan Menu Rakyat 1Malaysia!’

Mungkin kedengaran pelik pada awalnya, tetapi inilah keunikan inisiatif terbaru diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mahu mempromosikan makanan atau kulinari sebagai alat perpaduan.
Usaha ini pula ada rasionalnya kerana juadah seperti nasi lemak misalnya, tidak boleh dikaitkan sebagai hidangan popular kaum Melayu, sebaliknya turut digemari etnik lain termasuk Cina, India dan lainnya.
 
Lebih menarik lagi, program yang bakal diperluaskan kepada kira-kira 1,000 premis di seluruh negara, turut menawarkan makanan pada harga serendah RM2 bagi sarapan dan hidangan tengah hari RM4 bagi memastikan menu mampu dinikmati ramai.

Pada majlis pelancaran oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khamis lalu, Restoran Q Bistro Nasi Kandar di Bandar Sri Permaisuri, menjadi antara peneraju program Menu Rakyat 1Malaysia.

Antara menu Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan restoran itu ialah roti canai dan teh tarik bagi sarapan manakala nasi, sayur, telur dadar, sirap atau teh ‘O’ ais bagi makan tengah hari.

Pengarah Urusan Q Bistro, Riyasudin Mohamad Dunkif, berkata langkah itu sebagai komitmen pengusaha restoran bagi membantu pelanggan mengurangkan beban perbelanjaan dalam keadaan ekonomi tidak menentu, sekali gus menyumbang kepada usaha Kerajaan Malaysia menyatupadukan rakyat melalui makanan.
“Sesuai dengan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, harga makanan dan minuman di sini juga lebih murah serta mengikut kehendak dan selera pelanggan.

“Pada peringkat awal, kami menawarkan roti canai dan teh tarik pada harga RM2 untuk sarapan kerana ia menjadi pilihan utama pelanggan pelbagai kaum di negara ini.

“Boleh dikatakan hampir kebanyakan kedai makan yang menjual hidangan pagi ada menyediakan roti canai kerana permintaan tinggi,” katanya.

Mengenai pemilihan menu roti canai dan teh tarik untuk promosi harga RM2, Riyasudin berkata, ia adalah antara menu wajib yang tersenarai dalam juadah sarapan pagi rakyat Malaysia.

Sementara itu, pelanggan restoran, Nik Aslan Abdullah, 38, berkata inisiatif restoran itu memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat menikmati tawaran pakej makanan dengan harga yang amat berpatutan kepada semua peringkat masyarakat, sekali gus membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Biasanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur ini, roti canai dan teh tarik dijual pada harga yang lebih tinggi kerana kedua-dua menu ini sudah sebati dalam budaya tempatan. Jadi, dengan promosi harga RM2 bagi set sekeping roti canai dan segelas teh tarik tentunya berita gembira bagi pengguna,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Fong Chin Heng, 34, berkata dia memang menggemari menu Rakyat 1Malaysia yang disajikan dalam restoran itu.

“Misalnya pakej makanan roti canai dan teh tarik. Ia memang satu idea yang baik kerana ia menjadi makanan kegemaran kaum Melayu, Cina dan India,” katanya.
Sheena Subash, 28, pula memberitahu dia kebetulan menikmati makanan di kawasan itu bersama rakan-rakannya.

“Apabila melihat promosi ini, mula-mula sukar untuk mempercayainya. Tidak sangka, ada juga pengusaha di tengah-tengah kota ini berani menjual makanan pada harga serendah itu, manakala menu yang dipilih juga bersesuaian dengan selera masyarakat ,” katanya.

0 ulasan

Jumaat, 8 Julai 2011

'Perlu keyakinan jana masa depan'

Berita Harian Online|'Perlu keyakinan jana masa depan'

2011/07/05

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memerlukan kepercayaan rakyat untuk membina harapan bersama, sekali gus menggembleng tenaga menjana masa depan lebih baik bagi semua.

Perdana Menteri berkata, harapan adalah amat penting kerana ia memberi sinar ketika kecewa serta kejelasan kepada fikiran yang tidak pasti dan harus dibina dengan berasaskan kepercayaan teguh antara pemimpin dan rakyat.

“Bagi menjana kejayaan, kita perlu lihat masa depan. Kita mesti bina wawasan yang memberi tumpuan kepada harapan untuk masa depan lebih baik. Dalam perkataan lain, apa yang kita perlukan ialah ‘nambikei’ (harapan dalam bahasa Tamil).

“Generasi akan datang sukar mencapai kehidupan lebih baik jika yang sedia ada hidup tanpa harapan,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan baru Temple of Fine Arts (TFA) dan Auditorium Shantanand di sini, semalam.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Duta Khas Infrastruktur Ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu; dan Presiden TFA, V Kanagasivam.

Dalam konteks ini, Najib berkata bagi menyebarluaskan harapan kepada semua lapisan masyarakat India, harus ada kepercayaan terhadap pemimpin komuniti dan politik untuk membawa masa depan lebih cerah.

“Bagi membina kepercayaan ini, kerajaan dan pemimpin masyarakat dari komuniti India mesti bekerjasama. Kita mesti melakukan beberapa kemajuan nyata untuk menandakan permulaan inisiatif bersama serta mewujudkan satu  titik tumpuan yang rakyat boleh menghargainya,” katanya.

0 ulasan

Wujud guru BI bergerak - Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)

Berita Harian Online|Wujud guru BI bergerak
Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2011/07/06

Kementerian Pelajaran mahu perkasakan dasar MBMMBI

SEREMBAN: Guru Bahasa Inggeris (BI) berkelayakan yang mampu mengajar dengan baik mungkin diserap dalam kumpulan khas 'guru bergerak' yang akan dihantar ke sekolah tertentu yang memerlukan khidmat mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya mengkaji untuk mewujudkan kumpulan ‘guru BI dan guru mentor bergerak’ untuk memperkasakan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Kementerian Pelajaran ketika ini dalam proses melaksanakan penempatan semula guru bagi menampung kekurangan guru BI di sekolah berhampiran yang memerlukan khidmat mereka.

“Dalam usaha ini, kementerian turut mengkaji pilihan bagi mewujudkan kumpulan guru BI serta guru mentor bergerak,” katanya dalam ucapan perasmian dibacakan timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong, pada majlis perasmian Persidangan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC)– Bahagian Pendidikan Guru (TED) di sini, semalam.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang akan dimansuhkan tahun depan selepas didapati gagal mencapai matlamat meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar, sebaliknya menjejaskan pencapaian pelajar luar bandar dalam subjek itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada tahun ini juga, penempatan guru BI yang baru akan dilakukan dengan peraturan lebih ketat mengikut tahap keperluan di sekolah seluruh negara.

Bagi memastikan kejayaan dasar MBMMBI, beliau berkata, kementerian juga menawarkan kontrak tiga tahun kepada 600 bekas guru BI bersara dengan 168 daripada mereka sudah mula mengajar.

Katanya, kementerian juga akan membina makmal BI di 700 sekolah selepas melihat keberkesanan projek perintis di 20 sekolah tahun lalu.

“Sehingga kini 12,000 guru BI tidak terlatih mengikuti program latihan semula untuk meningkatkan kemahiran, manakala 10,000 guru lagi dijangka mengikuti program itu tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong pada sidang media berkata, kementeriannya sedang mengkaji kaedah jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan guru menggantikan guru bersalin di banyak sekolah di seluruh negara.

“Ini bukan masalah kecil, kita memandang serius perkara ini dan mahu satu kaedah berkesan untuk mengatasinya supaya proses pembelajaran tidak terjejas.

“Antara masalah utama dikenal pasti adalah kekurangan peruntukan menempatkan guru ganti dan kita sedang berusaha memohon Kementerian Kewangan menambah peruntukan berkenaan,” katanya.

0 ulasan

AIM garis 3 ketetapan transformasi Malaysia

Berita Harian Online|AIM garis 3 ketetapan transformasi Malaysia
Oleh Johari Ibrahim dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my
2011/07/06

image PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM), di Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Foto Bernama

Realisasi harta intelek nasional, jana pendapatan rakyat

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia (AIM) semalam, menggariskan tiga ketetapan dalam proses transformasi Malaysia menjadi negara inovasi untuk merealisasikan kekayaan harta intelek nasional dan menjana pendapatan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ketetapan pertama ialah menggabungkan pendekatan bagi membina sebuah ekosistem yang boleh mendukung hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara inovasi.

“Ini bererti, kita akan melihat pembangunan modal insan, khususnya suntikan pemikiran lebih inovatif dan kritikal dalam sistem pendidikan negara, terutama dari segi kemahiran berfikir dan sebagainya.

“Kedua, dana yang boleh mendukung usaha inovasi yang boleh kita jalankan dalam negara seperti memperbanyakkan penyertaan ekuiti modal swasta.

“Ketetapan ketiga pula menggabungkan pendekatan menentukan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang boleh kita komersialkan, umpamanya harta intelek milik universiti yang kini ada sekitar 1,000 penemuan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tadbir Urus AIM semalam.

Majlis 16 anggota diterajui Perdana Menteri itu boleh diumpamakan barisan lembaga pengarah yang memberi pandangan dan terbabit dalam pelaksanaan inisiatif AIM, yang ditubuhkan mengikut Akta AIM 2010.

Setakat ini, 113 projek berpotensi komersial sudah dikenal pasti dengan 49 sedang diproses melalui makmal pengkomersialan, manakala sehingga Jumaat lalu, 19 projek sudah mencapai tahap memeterai perjanjian komersial.

Najib berkata, AIM akan menilai berapa banyak daripada kira-kira 1,000 penemuan harta intelek oleh universiti tempatan itu dapat diterjemahkan dalam projek yang boleh dikomersialkan.

Katanya, mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus AIM turut merumus untuk menggabungkan pendekatan berdasarkan pembangunan ekosistem inovasi yang menekankan projek berasaskan hasil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Inovasi Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Kamal Jit Singh, berkata mesyuarat Majlis Tadbir Urus AIM semalam membincangkan draf dasar pelaksanaan transformasi Malaysia menjadi negara inovasi.

Beliau yang turut menganggotai majlis terbabit, berkata draf dasar itu selari dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

“Kami mendapat persetujuan Majlis Tadbir Urus AIM bahawa draf ini berada di landasan sepatutnya dan haluannya betul. Sekarang kita mahu membawa pelan ini kepada masyarakat akar umbi untuk mendapat maklum balas sebelum dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

“Cara kami menggubal dasar ini agak berbeza, kita tidak guna pakar perunding luar atau syarikat perunding, sebaliknya menggubal dasar ini berdasarkan pendapat pakar tempatan dalam bidang tertentu seperti pendidikan, pelbagai industri, kerajaan dan sebagainya.

“Kita menghabiskan kira-kira 2,500 jam masa rundingan bagi menyiapkan draf ini dan memerlukan kira-kira tiga bulan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai bagaimana dasar ini dapat mengubah kehidupan mereka seperti 
sepatutnya berlaku,” katanya.

0 ulasan

82 peratus EPP mula beroperasi: Idris

Berita Harian Online|82 peratus EPP mula beroperasi: Idris

2011/07/05

KUALA LUMPUR: Sebanyak 82 peratus daripada inisiatif projek permulaan (EPP) telah memulakan operasi dengan baki 18 peratus pada pelbagai peringkat pembangunan.

"Perkembangan keseluruhan ETP sehingga kini cemerlang. Sebanyak 65 Projek Permulaan telah diumumkan dengan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion. Unjuran Pendapatan Negara Kasar (PNK) ialah RM220 bilion manakala lebih 360,000 pekerjaan baru akan diwujudkan.

"Kita pada kedudukan yang tepat untuk mencapai PNK, pelaburan dan pewujudan sasaran pekerjaan baru menjelang 2020," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala dalam kenyataan mengenai pengumuman perkembangan terkini ketujuh Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini, hari ini.

ETP dipacu oleh 12 Bidang Ekonomi Utama Negara yang menumpukan kepada pelbagai industri dengan 131 EPP digariskan oleh kerajaan dalam usaha mengubah ekonomi negara. - BERNAMA

0 ulasan

Sijil Kelahiran kanak-kanak bukan warganegara warna merah mulai 1 Julai

Berita Harian Online|Sijil Kelahiran kanak-kanak bukan warganegara warna merah mulai 1 Julai

2011/07/01

PUTRAJAYA: Mulai hari ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan Sijil Kelahiran berwarna Merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara.

Menurut kenyataan JPN di sini hari ini, sebelum ini warna sijil kelahiran kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara adalah sama iaitu hijau.

Perbezaan warna itu adalah untuk memaklumkan bahawa sijil kelahiran berwarna hijau hanya dikeluarkan kepada kanak–kanak yang bertaraf warganegara Malaysia sementara sijil kelahiran berwarna merah untuk kanak–kanak bukan warganegara.

"Ia juga untuk mengelakkan ibu bapa atau warga asing yang melahirkan anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki sijil kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warganegara," kata kenyataan itu.

Selain itu ia bertujuan memberi makluman awal kepada ibu bapa akan status kewarganegaraan anak yang dilahirkan; mengelakkan sebarang kekeliruan kepada orang ramai dalam mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak–kanak; dan memudahkan agensi-agensi lain untuk mengenalpasti taraf kewarganegaraan seseorang kanak–kanak apabila berurusan.

Bagi kanak–kanak bertaraf bukan warganegara yang telah memiliki sijil kelahiran yang berwarna hijau sebelum ini, ia dikekalkan dan hanya berubah apabila pemohon membuat Cabutan Sijil Kelahiran di mana–mana pejabat JPN 
berhampiran. - BERNAMA

0 ulasan

Kerajaan naik taraf akses internet

Berita Harian Online|Kerajaan naik taraf akses internet

2011/07/05

KUALA LUMPUR: Pelbagai langkah sedang diambil oleh kerajaan bagi menaik taraf kelajuan dan kualiti akses internet di negara ini agar setanding dengan negara maju.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, berkata bagi meluaskan liputan internet di Malaysia, projek menara T3 di bawah Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) akan menyediakan liputan sehingga 97 peratus di kawasan berpenduduk dan boleh digunakan untuk menambah liputan 3G (jalur lebar mudah alih).

Menjawab soalan Dr Syed Husin Ali pada persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata setakat ini kadar liputan jalur lebar termasuk 3G adalah 80 peratus di kawasan berpenduduk.

"Pada masa ini, kelajuan akses internet dari aspek keperluan aplikasi semasa adalah setanding dengan negara-negara serantau seperti China, India dan Filipina," katanya.

Salang berkata, kelajuan jalur lebar pengguna yang ditawarkan oleh pemberi perkhidmatan adalah antara 384kbps dan 20Mbps manakala bagi kegunaan perniagaan adalah sehingga 1Gbps.

Katanya, antara usaha yang sedang diambil untuk menaik taraf kelajuan dan kualiti internet di negara ini ialah meningkatkan kapasiti dan kualiti teras iaitu rangkaian tulang belakang dan meningkatkan keupayaan rangkaian antarabangsa termasuk membangunkan infrastruktur baru seperti stesen pendaratan kabel dasar laut.

"Kerajaan juga menggalakkan pertukaran trafik internet dalam negara dengan mewujudkan lebih banyak pusat pertukaran trafik internet (MyIX) dan menggalakkan pemberi kandungan utama antarabangsa seperti Yahoo dan Facebook meletakkan pelayan laman web mereka di Malaysia bagi mengurangkan pengaliran trafik internet keluar  negara," katanya. - BERNAMA

0 ulasan

Muhyiddin lancar penambaikan kaedah atasi keciciran murid

Berita Harian Online|Muhyiddin lancar penambaikan kaedah atasi keciciran murid

2011/07/08

BANGI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap masalah keciciran murid dalam pembelajaran dapat diatasi dengan pelaksanaan sistem Pengurusan dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutamanya dalam menguasai kemahiran 4M -- membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini kerana usaha memperkenalkan PBS dalam proses menilai dan mentaksir pencapaian murid merupakan langkah penting untuk menentukan tahap penguasaan murid secara bersistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran.

Ketika melancarkan Buku PBS di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di sini hari ini, beliau berkata PBS, yang merupakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah, dilaksanakan mulai Tahun 1 pada tahun ini dan Tingkatan 1 pada 2012.

Muhyiddin berkata kangkah itu bersesuaian dengan konsep "no child is left behind" (tidak ada seorangpun kanak-kanak tercicir) seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat yang meletakkan standard tertentu dan mewujudkan matlamat yang boleh diukur dan menjurus kepada penambahbaikan hasil pembelajaran.

Melalui maklumat yang dikumpul dalam pentaksiran yang dijalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru atau pihak sekolah dapat memberi maklumat balas yang konstruktif serta mengambil langkah susulan yang bersesuaian bagi memastikan kelemahan setiap murid dapat diatasi agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran. - BERNAMA

0 ulasan

Satu lagi teras utama ETP diperkenalkan

Berita Harian Online|Satu lagi teras utama ETP diperkenalkan
Oleh Kamarulzaidi Kamis,Syuhada Choo Abdullah, Ahmad Farizal Hajat dan Shahrizan Salian
bhnews@bharian.com.my
2011/07/06

image

MUHYIDDIN menunjukkan Laporan Akhir Kewangan Bahagian Tiga ketika melawat gerai pameran Program Transformasi Ekonomi di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) sebagai satu lagi teras utama Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi meningkatkan daya saing negara pada peringkat antarabangsa serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat makin terjamin.

Inisiatif berkenaan akan memacu Malaysia ke arah meningkatkan pendapatan negara, memperbanyak peluang pelaburan swasta, mentransformasi tempat dan tenaga kerja di Malaysia untuk ekonomi berpendapatan tinggi, menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan awam berkualiti tinggi serta memperbaiki standard kehidupan rakyat berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa.

Enam SRI itu adalah Kewangan Awam, Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan, Pembangunan Modal Insan, Penyampaian Perkhidmatan Awam, Standard Antarabangsa dan Liberalisasi serta Merapatkan Jurang Ketidaksamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.

Sebagai bukti komitmen kerajaan melaksanakan pembaharuan, Datuk Seri Najib Razak sendiri menerajui SRI Kewangan Awam yang dibantu Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, pula akan menerajui SRI Pembangunan Modal Insan.

Menerusi enam SRI terperinci itu, Perdana Menteri berkata, rangka transformasi ekonomi negara kini lengkap dan kerajaan akan meneruskan tumpuan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi, diiringi pembaharuan dasar yang membolehkan Malaysia bersaing lebih kukuh serta mantap dalam persada antarabangsa.

Malah, petunjuk prestasi utama (KPI) beliau dan menteri lain berkaitan sudah diselaraskan bersesuaian SRI berlandaskan penyampaian serta jangka masa jelas, di mana mereka komited untuk melaksanakan pembaharuan berkenaan.

“ETP dipacu oleh dua teras utama, iaitu penumpuan melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan daya saing menerusi SRI. Dalam pada kita memberi tumpuan kepada NKEA berkenaan, kita sedar Malaysia perlu menjadi lebih berdaya saing untuk mencapai status negara maju.

“Enam SRI itu merangkumi semua 51 langkah dasar diketengahkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam Bahagian Akhir Model Baru Ekonomi (MBE) yang saya terima pada Disember tahun lalu,” katanya dalam ucapan pada majlis pengumuman perkembangan terkini ketujuh ETP di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Muhyiddin. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala.

SRI Penyampaian Perkhidmatan Awam diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; SRI Standard Antarabangsa dan Liberalisasi – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; SRI Merapatkan Jurang Ketidaksamaan PKS Bumiputera – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Sementara itu, Idris ketika membentangkan enam inisiatif terbaru SRI berkata, sebanyak 82 peratus daripada inisiatif projek permulaan (EPP) sudah memulakan operasi dengan baki 18 peratus pada pelbagai peringkat pembangunan.

“Sebanyak 65 Projek Permulaan sudah diumumkan dengan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion. Unjuran Pendapatan Negara Kasar (PNK) ialah RM220 bilion, manakala lebih 360,000 pekerjaan baru akan diwujudkan.

“Kita pada kedudukan yang tepat untuk mencapai PNK, pelaburan dan pewujudan sasaran pekerjaan baru menjelang 2020,” katanya.

INFO: Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI)

  • Kewangan Awam
  • Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan
  • Pembangunan Modal Insan
  • Penyampaian Perkhidmatan Awam
  • Standard Antarabangsa; dan
  • Liberalisasi serta Merapatkan Jurang Ketidaksamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.
0 ulasan

Isnin, 4 Julai 2011

- Abu Sulaiman Al-Darini -

“Asal segala kebaikan di dunia dan di akhirat ialah takutkan Allah Subhanahu Wa Taala dan mana-mana hati yang tiada rasa takut padaNya, maka itu adalah hati yang rosak.’’

- Abu Sulaiman Al-Darini -

0 ulasan

Jumaat, 1 Julai 2011

Tadbir urus baik tingkat sejahtera

Berita Harian Online|Tadbir urus baik tingkat sejahtera
Oleh M Thilinadan di Kazakhstan

2011/06/09

image NAJIB bergambar bersama pemimpin negara Islam pada perasmian Forum Ekonomi Islam Dunia Ketujuh (WIEF) di Palace Of Independence, Kazakhstan semalam. Turut serta Pengerusi WIEF Foundation, Tun Musa Hitam (kiri). - Foto BERNAMA

Pemimpin negara Islam mesti terbuka, jujur beri lebih keyakinan rakyat

DATUK Seri Najib Razak semalam mengajak pemimpin politik dan pembuat dasar di negara Islam supaya menjadikan amalan tadbir urus baik, keterbukaan, ketelusan sebagai landasan untuk kesejahteraan ekonomi negara dan ummah.

Perdana Menteri berkata, hanya melalui tadbir urus baik, khususnya tadbir urus berlandaskan Islam, pelbagai masalah dihadapi negara berkenaan dapat diatasi dan rakyat akan percaya terhadap kerajaan mereka.

“Sebagai pemimpin politik dan negarawan, terpulang kepada kita untuk membuktikan tekad, dedikasi, komitmen dan kesungguhan politik untuk melakukan apa yang betul, membetulkan apa yang salah dengan membasmi rasuah, rundingan rahsia dan tertutup daripada menjadi amalan masyarakat.

“Kita mesti bersedia untuk mengotakan janji yang dibuat dan mengamalkan sendiri apa yang kita berkutbah,” katanya dalam ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketujuh di sini, semalam.

Najib diberi penghormatan sebagai pemimpin pertama berucap pada majlis perasmian itu.

Forum tiga hari yang dihadiri kira-kira 2,000 delegasi, termasuk pemimpin politik dan kapten perniagaan dari hampir 50 negara dirasmikan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev di Palace Of Independence.

Perdana Menteri berkata, peningkatan ekonomi yang tidak memberangsangkan, pembangunan tidak sama rata dan ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan mengakibatkan kebanyakan negara Islam menderita ‘triple income gap' iaitu jurang pendapatan, bukan saja dengan negara lain dunia, tetapi di kalangan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan sesama negara anggota.

Katanya, di kalangan negara OIC, hanya Malaysia, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di kedudukan 40 terbaik bagi kemudahan perniagaan dan peraturan perniagaan daripada 183 negara yang dikaji IFC (International Finance Corporation) dan Bank Dunia.

Beliau berkata, kajian itu juga menunjukkan apabila aktiviti perniagaan dilakukan secara telus dan efisien, ia akan mengurangkan penawaran peluang disebabkan hubungan peribadi atau keistimewaan.

Najib berkata, keadilan ekonomi untuk rakyat melalui pembangunan mapan, menjana peluang ekonomi baru, mengatasi masalah pengangguran dan kemiskinan tegar hanya boleh dilakukan jika pengagihan kekayaan dan pendapatan negara dilakukan secara adil dan saksama oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, ia tidak mudah dicapai jika kita terus menghadapi masalah berkaitan tadbir urus baik, akauntabiliti dan ketelusan sehingga ada negara anggota OIC yang satu ketika dulu kaya dan berpotensi menjadi kuasa ekonomi kini merudum. Apabila keadaan itu berlaku yang paling menderita adalah ummah dan rakyat miskin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tadbir urus baik saja tidak cukup bagi memenangi sokongan dan kepercayaan rakyat, ia mesti disusuli dengan prinsip keterbukaan, kejujuran dan ketelusan.

Oleh itu, katanya, setiap kerajaan khususnya negara Islam perlu melakukan perubahan dengan mengambil pendekatan baru dan model baru ekonomi untuk memenuhi keperluan dan cita rasa rakyat.

Dengan mengambil Malaysia sebagai contoh, Perdana Menteri berkata kerajaannya memperkenalkan pelbagai pendekatan, pembaharuan, pengubahsuaian melalui inisiatif transformasi dengan menekankan tadbir urus baik.

Antaranya, termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Pelan Integriti Kebangsaan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kakitangan awam, menubuhkan Institut Integriti Malaysia, selain melakukan reformasi terhadap badan pencegah 
rasuah dan suruhanjaya hak asasi manusia.

0 ulasan

Guna DNA mohon sijil kelahiran

Berita Harian Online|Guna DNA mohon sijil kelahiran
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/06/15

image JPN pertimbang alternatif jika pemohon tiada dokumen sokongan

PUTRAJAYA: Pemohon sijil kewarganegaraan dan sijil kelahiran kini boleh menggunakan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai dokumen sokongan untuk dipertimbangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun, pemohon perlu menanggung sepenuhnya kos untuk menjalani ujian berkenaan kerana ia adalah kemudahan alternatif yang diberikan kepada pemohon yang tidak memiliki dokumen sokongan bagi melengkapkan permohonan masing-masing.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap, berkata walaupun kemudahan itu diberikan, JPN tidak akan mengabaikan peraturan lain yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ujian DNA ini hanya boleh dijadikan dokumen rujukan untuk memudahkan proses permohonan dalam kes tertentu apabila tiada bukti dokumen atau saksi bagi mengesahkan dakwaan.

“Kebenaran untuk menggunakan ujian DNA ini sudah dilaksanakan setahun lalu bagi mempercepatkan lagi proses permohonan kewarganegaraan dan sijil kelahiran.

“Setakat ini, JPN menerima lapan ujian DNA sebagai dokumen sokongan,” katanya selepas menyampaikan sijil kewarganegaraan dan kelahiran kepada 157 penerima di sini, semalam.

Semua sijil itu diberi mengikut Perkara 19(1), Perkara 15A, Perkara 15(2), Perkara 15(1) dan Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan selain menerusi Program MyDaftar. Hadir sama, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim.

Raja Azahar berkata, sebanyak 29,677 permohonan kewarganegaraan dikemukakan pada 2007, 2008 dan 2009 berjaya diselesaikan tahun lalu.

Katanya, sepanjang 2010, kementeriannya menerima 17,324 permohonan dan semua keputusan dijangka diperoleh selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, warga asing akan didaftarkan mengikut sistem biometrik menjelang 2012 bagi membolehkan kerajaan mendapat data lengkap jumlah mereka di negara ini termasuk pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Sementara itu, D Alagamah, 28, berharap penganugerahan sijil kelahiran kepada empat anaknya iaitu Akash, 6; Darshini, 5; Srisanthosh, 4 dan Divashini, setahun selepas menunggu selama setahun akan memudahkan urusan persekolahan mereka.

“Saya sukar mendaftarkan kelahiran anak kerana perkahwinan saya dengan suami, warga India tidak didaftarkan. Namun dengan program MyDaftar, masalah berjaya diatasi,” katanya.

Alagamah antara 15,000 pemohon yang memanfaatkan program MyDaftar untuk mempermudah permohonan daftar lewat kelahiran di Semenanjung.

0 ulasan

CUEPACS, MTUC syor kadar gaji minimum praktikal

Berita Harian Online|CUEPACS, MTUC syor kadar gaji minimum praktikal

2011/06/16

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan menetapkan dasar kadar gaji minimum yang lebih praktikal, selaras dengan transformasi negara berpendapatan tinggi.

CUEPACS yang mewakili 1.2 juta penjawat awam memperjuangkan tuntutan gaji pokok minimum RM920 sejak empat tahun lalu, manakala MTUC yang menaungi 620,000 ahli diwakili 272 kesatuan menuntut kadar gaji pokok minimum RM900 sejak 11 tahun lalu.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata jika tuntutan kongres dipertimbangkan, ia menggembirakan lebih 350,000 penjawat awam yang menikmati gaji pokok bawah RM900 sebulan, selain lantikan baru penjawat awam Gred 1 hingga 16 yang menikmati gaji pokok RM647 sebulan.

Kadar itu, katanya, menyebabkan ramai penjawat awam berada di bawah garis kemiskinan.

“Kita berharap dengan adanya kajian semula Sistem Saraan Malaysia dan penambahbaikan skim perkhidmatan awam, semakan semula gaji pokok bagi lantikan baru mesti melepasi gaji minimum RM920.

“Tuntutan itu dianggap munasabah kerana ia dikemukakan sejak tiga, empat tahun lalu, sepatutnya kerajaan meluluskan kadar gaji minimum lebih tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup hingga memaksa penjawat awam melakukan kerja sambilan,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangka dasar kadar gaji minimum bagi pekerja berpendapatan rendah di negara ini dapat dilaksanakan akhir tahun ini selepas penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara (MKGN).
Rang Undang-Undang MKGN 2011 akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia di Parlimen pada persidangan kali ini.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata penetapan gaji minimum perlu memastikan pekerja tidak terus dibelenggu kemiskinan atau jumlah yang disifatkan hanya mampu hidup.

“Saya difahamkan kerajaan mungkin menetapkan gaji minimum pada kadar RM700 iaitu di bawah garis kemiskinan yang tidak sesuai dengan transformasi negara berpendapatan tinggi,” katanya.

0 ulasan

Penggodam uji strategi: Pakar

Berita Harian Online|Penggodam uji strategi: Pakar
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Sazarina Shahrim, Nor Fazlina Abdul Rahim, Ahmad Johari Mohd Ali, Badrul Kamal Zakaria, Hazwan Faisal Mohamad, Suzalina Halid, Faizatul Farhana Farush Khan, Faiza Zainudin dan Fakhrurrazi Usuldin.
bhnews@bharian.com.my
2011/06/17

image KAKITANGAN teknologi maklumat membaik pulih laman web Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pengajian Politeknik, di Seri Kembangan, semalam.

Keselamatan laman web kerajaan perlu dipertingkat sebelum 'serangan sebenar'

KUALA LUMPUR: Pakar teknologi maklumat (IT) tempatan berpendapat serangan terhadap laman web kerajaan sejak malam kelmarin, hanya strategi percubaan kumpulan penggodam terbabit sebelum mereka melancarkan 'perang sebenar' yang lebih serius tanpa memberi sebarang amaran awal pada masa depan.

Jururunding Keselamatan di sebuah syarikat IT di ibu negara, Hazrul Hamzah, berkata kumpulan penggodam terbabit dipercayai ada muslihat tertentu kerana sanggup memaklumkan secara terbuka menerusi internet mengenai tarikh dan masa mereka akan melakukan serangan berkenaan.

“Kumpulan penggodam terbabit pasti tahu bahawa pihak kerajaan sudah tentu akan mengambil segala langkah yang mampu untuk mematahkan serangan berkenaan, justeru, dipercayai mereka tidaklah sebodoh itu.

“Serangan setakat ini dipercayai hanya untuk menguji serta menjadikan kerajaan leka seolah-olah sudah berjaya mematahkannya, sebelum mereka menggodam dan melakukan kerosakan yang jauh lebih serius tanpa amaran terlebih dulu pada suatu masa nanti.

“Selain itu, kumpulan penggodam terbabit juga sudah berjaya mendapat publisiti meluas yang dikehendaki untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa mereka membantah tindakan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

“Mereka jelas berpegang teguh kepada prinsip kebebasan mendapatkan maklumat,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sebanyak 51 laman web dengan domain .gov.my diserang sejak jam 11.30 malam kelmarin sehingga pagi semalam menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Serangan itu dikesan berlaku lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka ‘Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi semalam.

Hazrul berkata, ‘Anonymous’ boleh disifatkan sebagai sebuah organisasi tersusun dan disertai ramai penggodam antarabangsa yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidang IT.

“Justeru, kerajaan diharap jangan cepat berasa lega apabila dapat mematahkan serangan ‘Anonymous’ kali ini, sebaliknya mesti mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan keselamatan rangkaian internet kerajaan sebelum mereka melancarkan serangan sebenar pada bila-bila masa yang tidak diketahui,” katanya.

0 ulasan

Dasar 30 peratus wanita tidak gugat pasaran

Berita Harian Online|Dasar 30 peratus wanita tidak gugat pasaran
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Meor Hisham Zulkifli dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2011/06/28

image NAJIB pada sidang media berhubung pembabitan wanita pada peringkat pembuat keputusan di lobi Parlimen, semalam.

Keputusan kerajaan buka era baru: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Dasar 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan di sektor swasta, akan meliputi syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat dan institusi berkanun, serta institusi kewangan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melakukan audit selepas tiga tahun pelaksanaannya bagi meneliti sejauh mana dilaksanakan syarikat swasta dan korporat terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pelaksanaan fasa pertama dasar baru itu tidak akan membabitkan sebarang penguatkuasaan undang-undang, tetapi lebih kepada penggunaan pendekatan meyakinkan dan sebagai notis bagi tempoh peralihan lima tahun yang diberikan.

Katanya, ini berikutan banyak perubahan berkaitan yang perlu diberi tumpuan dengan mengambil kira produktiviti, keuntungan, sekuriti dan juga pasaran.

Beliau yakin penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan dapat meningkatkan produktiviti syarikat terbabit, berasaskan penyelidikan dan pengalaman negara lain yang sudah mengamalkan dasar sama.

“Ini kerana wanita memiliki kepakaran, kelayakan, potensi, bakat, ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang cukup baik. Insya-Allah, ia (dasar ini) tidak akan menggugat pasaran, sekuriti mahupun bidang korporat dan perniagaan di Malaysia. Kita membawa dasar ini sebagai ‘lebuh raya’ yang membuka era baru untuk kepimpinan wanita dalam sektor korporat dan swasta,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Shahrizat juga percaya tempoh peralihan lima tahun adalah jangka masa munasabah dan praktikal untuk memastikan dasar ini akan memberi impak positif kepada sekuriti, pasaran, produktiviti serta keuntungan syarikat, manakala kementeriannya akan mengenal pasti dan mula melatih wanita yang berkelayakan dalam tempoh terdekat.

0 ulasan

Keluarga 'sandwich' hadapi tekanan

Berita Harian Online|Keluarga 'sandwich' hadapi tekanan
Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@bharian.com.my
2011/06/30
Satu daripada empat keluarga di empat negeri berdepan masalah emosi kerana wang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 111,401 atau satu bagi setiap empat keluarga di ibu kota didapati menghadapi tekanan emosi dan mental yang teruk kerana tergolong dalam keluarga 'sandwich' kerana kemampuan kewangan mereka terhad.

Sindrom keluarga ‘sandwich’ adalah istilah digunakan bagi pasangan yang perlu menanggung anak sendiri disamping terpaksa menjaga ibu bapa mereka, iaitu tiga generasi duduk dalam satu rumah.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Banci Penduduk Perumahan Malaysia 2010 juga mendapati selain Kuala Lumpur, masalah itu turut serius di Selangor, Perak dan Terengganu.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata saiz isi rumah keluarga di Kuala Lumpur yang rendah iaitu purata empat orang setiap keluarga turut menyebabkan beban untuk menjaga ibu bapa mereka terpaksa dikongsi jumlah anak yang sedikit.

Beliau berkata, situasi itu akan menjadi lebih serius dan membimbangkan terutama bagi pasangan muda yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menguruskan keperluan anak dan ibu bapa serentak.

"Cabaran itu tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya memberi tekanan emosi dan mental sekiranya khidmat sokongan keluarga tidak disediakan pihak berwajib," katanya kepada pemberita selepas taklimat Dasar Keluarga Negara di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar.

Sehubungan itu, Aminah menyarankan kerajaan supaya menyediakan khidmat sokongan lebih komprehensif seperti mempermudahkan peraturan bagi pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas, selain mengkaji semula dasar yang tidak mesra keluarga di tempat kerja.

Katanya, semua dasar kerajaan berhubung isu kekeluargaan perlu diambil kira dalam setiap perancangan dan pembangunan bagi memperkasakan ketiga-tiga generasi keluarga sandwich itu.

LPPKN kini mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN).

Aminah berkata, cadangan dan maklumat yang diperoleh sepanjang sesi jelajah di seluruh negara itu akan disampaikan kepada kerajaan sama ada bagi menambah baik dasar sedia ada atau menggubal dasar baru.

0 ulasan

Kabinet lulus dasar pembabitan wanita dalam sektor korporat

Berita Harian Online|Kabinet lulus dasar pembabitan wanita dalam sektor korporat

2011/06/27

KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan dasar pembabitan sekurang-kurang 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat ini, pihak korporat diberi tempoh peralihan selama lima tahun.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu bersetuju dengan permohonan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya lebih ramai wanita yang berkelayakan diberi peluang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat.

"Saya yakin dan percaya inilah caranya bagi kita menghargai peranan wanita dalam konteks pembangunan negara kita kerana kebolehan wanita untuk mengendalikan jawatan yang penting sudah pun terbukti.

"Saya juga percaya keputusan yang dibuat oleh Kabinet ini adalah satu 'landmark decision' yang akan mengubah penyertaan wanita dalam negara kita kepada tahap yang jauh lebih tinggi lagi," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

0 ulasan

198 laman web tempatan digodam: Rais

Berita Harian Online|198 laman web tempatan digodam: Rais

2011/06/27

KUALA LUMPUR: Sebanyak 198 laman web di dalam negara digodam oleh pelbagai pihak baru-baru ini yang mana 90 peratus berpunca dari dalam negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata walaupun sebahagian daripada mereka dapat merosakkan beberapa laman web tetapi isiannya tidak dapat mereka atasi.

Kepada soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) semasa sesi soal jawab, Rais berkata mereka yang mempunyai niat jahat itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

"Seseorang itu tidak sepatutnya menyalahgunakan ilmu teknologi maklumat yang diperolehnya untuk aktiviti menggodam," katanya.

Rais juga berkata, kerajaan sedang dalam usaha penambahbaikan akses internet terutamanya di kawasan perkampungan agar setanding dengan negara maju di Asia seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Beliau berkata, projek terbaru yang sedang dilaksanakan ialah mewujudkan jaringan jalur lebar atau akses internet kepada 1,000 kampung dan kawasan perladangan.

"Daripada jumlah itu, hampir 400 kampung sudah diperuntukkan dengan kemudahan tersebut dan dibekalkan dengan kelajuan yang sedia ada," katanya.
Rais berkata, projek besar itu dijangka meliputi semua kampung yang disasarkan menjelang hujung tahun ini. - BERNAMA

0 ulasan

JPA bersetuju lima tuntutan baru CUEPACS

Berita Harian Online|JPA bersetuju lima tuntutan baru CUEPACS

2011/06/30
IPOH: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah bersetuju menunaikan lima tuntutan baru CUEPACS berhubung penilaian baru perkhidmatan awam dan pekeliling mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi, kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Beliau juga berkata, kesatuan itu tidak akan membela mana-mana kakitangan awam yang ditangkap menyertai perhimpunan haram BERSIH kerana ia melanggar etika perkhidmatan awam.

0 ulasan

Biasiswa pra-U dihenti

Berita Harian Online|Biasiswa pra-U dihenti
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/06/24
Sebagai ganti pelajar cemerlang SPM akan ditawarkan dermasiswa, pinjaman kerajaan

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi diberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian peringkat prauniversiti, termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi serta A-Level.

Sebaliknya, mereka hanya ditawarkan bantuan kewangan atau dermasiswa daripada kerajaan, manakala biasiswa JPA dikhaskan kepada pelajar pra universiti yang cemerlang dan mendapat tempat di universiti terkemuka.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semakan semula dasar sedia ada perlu kerana kerajaan mendapati pemberian biasiswa pada peringkat SPM bukan idea yang sesuai kerana ia setaraf O-Level.
 
Beliau berkata ini kerana pelajar yang cemerlang pada peringkat SPM tidak bermakna akan cemerlang apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat pra universiti.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan pemanggil dalam program temu ramah di stesen radio bahasa Cina, One FM, di sini semalam. Program dikendalikan penyampai radio, Jack Yap, Jane Ng dan Nicholas Ong, selama sejam bermula 7.30 pagi dan disiarkan secara langsung melalui saluran ntv7.

Kajian semula menyeluruh dasar itu dibuat berikutan pelbagai rungutan berhubung pengagihan biasiswa JPA apabila ada pelajar cemerlang tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara sehingga timbul dakwaan wujud pilih kasih dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Najib berkata dasar baru itu juga akan mengambil kira keperluan penghantaran pelajar cemerlang ke luar negara bagi mengelak kedudukan universiti tempatan dalam senarai universiti terbaik dunia terjejas.

Katanya, walaupun kerajaan memutuskan untuk memberikan biasiswa kepada semua pelajar yang memperoleh 8A+, tidak semua pelajar dianugerah biasiswa untuk mengikuti pengajian di luar negara.

“Kerajaan cuba bersikap adil sepenuhnya dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak. Jika tiada dasar yang jelas, akan ada pelajar tercicir terutama dari luar bandar. Oleh itu perlu adil serta seimbang dan kerajaan sedang memikirkan formula yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan itu,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sedang membuat pemilihan pelajar yang tidak menerima biasiswa JPA untuk diberikan biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta dalam negara.

0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...