Berita Harian Online|Guna DNA mohon sijil kelahiran
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/06/15
JPN pertimbang alternatif jika pemohon tiada dokumen sokongan
PUTRAJAYA: Pemohon sijil kewarganegaraan dan sijil kelahiran kini boleh menggunakan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai dokumen sokongan untuk dipertimbangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagaimanapun, pemohon perlu menanggung sepenuhnya kos untuk menjalani ujian berkenaan kerana ia adalah kemudahan alternatif yang diberikan kepada pemohon yang tidak memiliki dokumen sokongan bagi melengkapkan permohonan masing-masing.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap, berkata walaupun kemudahan itu diberikan, JPN tidak akan mengabaikan peraturan lain yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Ujian DNA ini hanya boleh dijadikan dokumen rujukan untuk memudahkan proses permohonan dalam kes tertentu apabila tiada bukti dokumen atau saksi bagi mengesahkan dakwaan.
“Kebenaran untuk menggunakan ujian DNA ini sudah dilaksanakan setahun lalu bagi mempercepatkan lagi proses permohonan kewarganegaraan dan sijil kelahiran.
“Setakat ini, JPN menerima lapan ujian DNA sebagai dokumen sokongan,” katanya selepas menyampaikan sijil kewarganegaraan dan kelahiran kepada 157 penerima di sini, semalam.
Semua sijil itu diberi mengikut Perkara 19(1), Perkara 15A, Perkara 15(2), Perkara 15(1) dan Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan selain menerusi Program MyDaftar. Hadir sama, Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim.
Raja Azahar berkata, sebanyak 29,677 permohonan kewarganegaraan dikemukakan pada 2007, 2008 dan 2009 berjaya diselesaikan tahun lalu.
Katanya, sepanjang 2010, kementeriannya menerima 17,324 permohonan dan semua keputusan dijangka diperoleh selewat-lewatnya 31 Disember ini.
Dalam perkembangan lain, kata beliau, warga asing akan didaftarkan mengikut sistem biometrik menjelang 2012 bagi membolehkan kerajaan mendapat data lengkap jumlah mereka di negara ini termasuk pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Sementara itu, D Alagamah, 28, berharap penganugerahan sijil kelahiran kepada empat anaknya iaitu Akash, 6; Darshini, 5; Srisanthosh, 4 dan Divashini, setahun selepas menunggu selama setahun akan memudahkan urusan persekolahan mereka.
“Saya sukar mendaftarkan kelahiran anak kerana perkahwinan saya dengan suami, warga India tidak didaftarkan. Namun dengan program MyDaftar, masalah berjaya diatasi,” katanya.
Alagamah antara 15,000 pemohon yang memanfaatkan program MyDaftar untuk mempermudah permohonan daftar lewat kelahiran di Semenanjung.
Label: Malaysiaku, Perkhidmatan Awam
0 ulasan:
Catat Ulasan