Khamis, 28 Julai 2011

NKRA kos hidup (NKRA ke-7)

Berita Harian Online|NKRA kos hidup

2011/07/28
Kerajaan sedia pelan penyelesaian kos mengurangkan beban rakyat, pengguna

PUTRAJAYA: Kenaikan harga barang terutama makanan, fenomena global yang kini menjadi bebanan rakyat dijadikan satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu pelan penyelesaian akan disediakan bagi mengurangkan beban rakyat dan pengguna.
"Sewaktu NKRA diputuskan kira-kira dua tahun lalu, ia berdasarkan kajian dan penelitian mengenai apa yang dikehendaki rakyat dan yang perlu dilakukan kerajaan dan ketika itu tidak terdapat fenomena global mengenai kenaikan harga barang, terutama makanan.
“Namun, selepas mendapati fenomena ini menjadi isu utama di kalangan rakyat, kerajaan berpendapat perlu menyediakan satu penyelesaian yang mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan dengan itu kita (Kabinet) memutuskan menambah satu lagi NKRA,” katanya kepada media selepas mempengerusikan majlis dialog bersama pakar bidang yang menyertai perbincangan ‘online’ Meja Bulat 1Malaysia’ di pejabatnya di sini, semalam.

Najib berkata, NKRA ketujuh itu akan diketuai Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dan kementerian berkaitan.

Enam NKRA lain ialah memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan; mengurangkan kadar jenayah; memerangi rasuah; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam.

Najib berkata, bagi memastikan NKRA itu mencapai matlamat, kerajaan akan meneruskan langkah yang sudah dilaksanakan sebelum ini seperti mengawal harga barang dan mengekalkan sistem subsidi barang keperluan, selain mengembangkan lagi inisiatif Klinik 1Malaysia serta Kedai Rakyat 1Malaysia.
Mengulas hasil dialog meja bulat itu, beliau berkata, ia bertujuan mendapatkan pandangan pakar dalam bidang tertentu seperti ekonomi, teknologi maklumat, hiburan, sukan dan pengguna. Cadangan dan saranan yang diluahkan dalam dialog itu akan diambil kira dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan Oktober ini.

“Saya berharap perbincangan ‘online’ ini akan memberi peluang kepada rakyat menyatakan pandangan mereka dalam pelbagai isu dan kerajaan akan mengambil kira hasil perbincangan mereka dengan pakar terbabit ketika merangka polisi tertentu,” katanya.

Antara pakar terbabit ialah pereka Pendrive, Pua Khein-Seng; Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS), Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin; pemuzik, Amy Search; Presiden FOMCA, Datuk N Marimuthu; Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation, Johan Mahmood Merican dan pemain skuash kebangsaan, Azlan Iskandar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nice blog. Kitak tek, duhal!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...