Jumaat, 1 Julai 2011

198 laman web tempatan digodam: Rais

Berita Harian Online|198 laman web tempatan digodam: Rais

2011/06/27

KUALA LUMPUR: Sebanyak 198 laman web di dalam negara digodam oleh pelbagai pihak baru-baru ini yang mana 90 peratus berpunca dari dalam negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata walaupun sebahagian daripada mereka dapat merosakkan beberapa laman web tetapi isiannya tidak dapat mereka atasi.

Kepada soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) semasa sesi soal jawab, Rais berkata mereka yang mempunyai niat jahat itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

"Seseorang itu tidak sepatutnya menyalahgunakan ilmu teknologi maklumat yang diperolehnya untuk aktiviti menggodam," katanya.

Rais juga berkata, kerajaan sedang dalam usaha penambahbaikan akses internet terutamanya di kawasan perkampungan agar setanding dengan negara maju di Asia seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Beliau berkata, projek terbaru yang sedang dilaksanakan ialah mewujudkan jaringan jalur lebar atau akses internet kepada 1,000 kampung dan kawasan perladangan.

"Daripada jumlah itu, hampir 400 kampung sudah diperuntukkan dengan kemudahan tersebut dan dibekalkan dengan kelajuan yang sedia ada," katanya.
Rais berkata, projek besar itu dijangka meliputi semua kampung yang disasarkan menjelang hujung tahun ini. - BERNAMA

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...