Jumaat, 1 Julai 2011

Keluarga 'sandwich' hadapi tekanan

Berita Harian Online|Keluarga 'sandwich' hadapi tekanan
Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@bharian.com.my
2011/06/30
Satu daripada empat keluarga di empat negeri berdepan masalah emosi kerana wang

KUALA LUMPUR: Sebanyak 111,401 atau satu bagi setiap empat keluarga di ibu kota didapati menghadapi tekanan emosi dan mental yang teruk kerana tergolong dalam keluarga 'sandwich' kerana kemampuan kewangan mereka terhad.

Sindrom keluarga ‘sandwich’ adalah istilah digunakan bagi pasangan yang perlu menanggung anak sendiri disamping terpaksa menjaga ibu bapa mereka, iaitu tiga generasi duduk dalam satu rumah.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Banci Penduduk Perumahan Malaysia 2010 juga mendapati selain Kuala Lumpur, masalah itu turut serius di Selangor, Perak dan Terengganu.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata saiz isi rumah keluarga di Kuala Lumpur yang rendah iaitu purata empat orang setiap keluarga turut menyebabkan beban untuk menjaga ibu bapa mereka terpaksa dikongsi jumlah anak yang sedikit.

Beliau berkata, situasi itu akan menjadi lebih serius dan membimbangkan terutama bagi pasangan muda yang tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menguruskan keperluan anak dan ibu bapa serentak.

"Cabaran itu tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya memberi tekanan emosi dan mental sekiranya khidmat sokongan keluarga tidak disediakan pihak berwajib," katanya kepada pemberita selepas taklimat Dasar Keluarga Negara di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Tan Sri Napsiah Omar.

Sehubungan itu, Aminah menyarankan kerajaan supaya menyediakan khidmat sokongan lebih komprehensif seperti mempermudahkan peraturan bagi pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas, selain mengkaji semula dasar yang tidak mesra keluarga di tempat kerja.

Katanya, semua dasar kerajaan berhubung isu kekeluargaan perlu diambil kira dalam setiap perancangan dan pembangunan bagi memperkasakan ketiga-tiga generasi keluarga sandwich itu.

LPPKN kini mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN).

Aminah berkata, cadangan dan maklumat yang diperoleh sepanjang sesi jelajah di seluruh negara itu akan disampaikan kepada kerajaan sama ada bagi menambah baik dasar sedia ada atau menggubal dasar baru.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...