Jumaat, 1 Julai 2011

Dasar 30 peratus wanita tidak gugat pasaran

Berita Harian Online|Dasar 30 peratus wanita tidak gugat pasaran
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Meor Hisham Zulkifli dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2011/06/28

image NAJIB pada sidang media berhubung pembabitan wanita pada peringkat pembuat keputusan di lobi Parlimen, semalam.

Keputusan kerajaan buka era baru: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Dasar 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan di sektor swasta, akan meliputi syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat dan institusi berkanun, serta institusi kewangan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melakukan audit selepas tiga tahun pelaksanaannya bagi meneliti sejauh mana dilaksanakan syarikat swasta dan korporat terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pelaksanaan fasa pertama dasar baru itu tidak akan membabitkan sebarang penguatkuasaan undang-undang, tetapi lebih kepada penggunaan pendekatan meyakinkan dan sebagai notis bagi tempoh peralihan lima tahun yang diberikan.

Katanya, ini berikutan banyak perubahan berkaitan yang perlu diberi tumpuan dengan mengambil kira produktiviti, keuntungan, sekuriti dan juga pasaran.

Beliau yakin penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan dapat meningkatkan produktiviti syarikat terbabit, berasaskan penyelidikan dan pengalaman negara lain yang sudah mengamalkan dasar sama.

“Ini kerana wanita memiliki kepakaran, kelayakan, potensi, bakat, ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang cukup baik. Insya-Allah, ia (dasar ini) tidak akan menggugat pasaran, sekuriti mahupun bidang korporat dan perniagaan di Malaysia. Kita membawa dasar ini sebagai ‘lebuh raya’ yang membuka era baru untuk kepimpinan wanita dalam sektor korporat dan swasta,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Shahrizat juga percaya tempoh peralihan lima tahun adalah jangka masa munasabah dan praktikal untuk memastikan dasar ini akan memberi impak positif kepada sekuriti, pasaran, produktiviti serta keuntungan syarikat, manakala kementeriannya akan mengenal pasti dan mula melatih wanita yang berkelayakan dalam tempoh terdekat.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...