Jumaat, 8 Julai 2011

Kerajaan naik taraf akses internet

Berita Harian Online|Kerajaan naik taraf akses internet

2011/07/05

KUALA LUMPUR: Pelbagai langkah sedang diambil oleh kerajaan bagi menaik taraf kelajuan dan kualiti akses internet di negara ini agar setanding dengan negara maju.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang, berkata bagi meluaskan liputan internet di Malaysia, projek menara T3 di bawah Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) akan menyediakan liputan sehingga 97 peratus di kawasan berpenduduk dan boleh digunakan untuk menambah liputan 3G (jalur lebar mudah alih).

Menjawab soalan Dr Syed Husin Ali pada persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata setakat ini kadar liputan jalur lebar termasuk 3G adalah 80 peratus di kawasan berpenduduk.

"Pada masa ini, kelajuan akses internet dari aspek keperluan aplikasi semasa adalah setanding dengan negara-negara serantau seperti China, India dan Filipina," katanya.

Salang berkata, kelajuan jalur lebar pengguna yang ditawarkan oleh pemberi perkhidmatan adalah antara 384kbps dan 20Mbps manakala bagi kegunaan perniagaan adalah sehingga 1Gbps.

Katanya, antara usaha yang sedang diambil untuk menaik taraf kelajuan dan kualiti internet di negara ini ialah meningkatkan kapasiti dan kualiti teras iaitu rangkaian tulang belakang dan meningkatkan keupayaan rangkaian antarabangsa termasuk membangunkan infrastruktur baru seperti stesen pendaratan kabel dasar laut.

"Kerajaan juga menggalakkan pertukaran trafik internet dalam negara dengan mewujudkan lebih banyak pusat pertukaran trafik internet (MyIX) dan menggalakkan pemberi kandungan utama antarabangsa seperti Yahoo dan Facebook meletakkan pelayan laman web mereka di Malaysia bagi mengurangkan pengaliran trafik internet keluar  negara," katanya. - BERNAMA

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...