Ahad, 10 Julai 2011

Pembaharuan jana pendapatan, jimat kos RM13b (20 cadangan, 6 bidang utama)

Berita Harian Online|Pembaharuan jana pendapatan, jimat kos RM13b


2011/07/06

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam kewangan awam untuk menjana pendapatan dan penjimatan kos sebanyak RM13 bilion dalam tempoh lima tahun.

Untuk tujuan itu, kerajaan mensasarkan menguatkuasakan 20 cadangan yang dibahagikan kepada enam bidang utama iaitu meningkatkan pentadbiran cukai, merasionalkan insentif cukai korporat, pemerolehan telus, kawalan perbelanjaan dan perakaunan terakru, termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jika berjaya dilakukan, ia akan membolehkan kerajaan menguruskan kedudukan kewangan di luar jangkaan, membayar hutang negara serta melabur untuk masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala. 
 
“Ketika ini hanya sejuta rakyat Malaysia membayar cukai daripada 28 juta penduduk dan jurang cukai semasa iaitu beza antara pungutan sebenar daripada unjuran kira-kira 20 peratus, berbanding 10 hingga 15 peratus di negara maju. Justeru, ia mewakili potensi pendapatan sehingga RM20 bilion,” katanya ketika membentangkan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) di sini, semalam.

Idris berkata, sebanyak enam inisiatif akan dilaksanakan bagi meningkatkan pungutan cukai, termasuk meluaskan liputan siasatan dan audit, meningkatkan asas cukai serta mengukuhkan penguatkuasaan serta audit kastam.

Katanya, apabila GST diperkenalkan ia meluaskan lagi asas cukai susulan anggaran kesan positif ke atas kedudukan fiskal negara, yang mana saiznya adalah RM6 hingga RM10 bilion, bergantung kepada kadar cukainya empat hingga lima peratus.

Beliau menjelaskan, sebanyak 143 negara sudah melaksanakan GST dan Malaysia adalah antara beberapa negara yang masih belum melakukannya.

“Cukai itu tidak akan memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah kerana kebanyakan produk dan perkhidmatan asas seperti beras, daging mentah, ikan segar, sayur, pengangkutan awam domestik serta perkhidmatan kesihatan dikecualikan cukai, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diberikan insentif untuk mengurangkan kos bagi melaksanakan GST,” katanya.

Idris berkata, tindakan juga akan diambil untuk mengawal perbelanjaan kerajaan dalam empat bidang iaitu rasional subsidi, pemerolehan, perbelanjaan perjalanan dan pindahan bayaran ke badan berkanun di mana kerajaan kini sedang merasionalkan subsidi secara berperingkat.

Katanya, kerajaan juga komited meningkatkan ketelusan dalam proses pemerolehan, sebagai contoh nilai ambang bagi sebut harga dan tender menerusi ‘e-bidding’ dikurangkan kepada RM50,000 daripada RM200,000 sebelumnya.

“Pada masa sama, pembekal dan penyedia perkhidmatan berdaftar dengan Kementerian Kewangan yang gagal memberi prestasi baik akan dikeluarkan dari senarai itu.

“Metrik prestasi kewangan dan modal berbayar yang lebih ketat untuk pembekal akan turut diperkenalkan,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...