Jumaat, 1 Julai 2011

Tadbir urus baik tingkat sejahtera

Berita Harian Online|Tadbir urus baik tingkat sejahtera
Oleh M Thilinadan di Kazakhstan

2011/06/09

image NAJIB bergambar bersama pemimpin negara Islam pada perasmian Forum Ekonomi Islam Dunia Ketujuh (WIEF) di Palace Of Independence, Kazakhstan semalam. Turut serta Pengerusi WIEF Foundation, Tun Musa Hitam (kiri). - Foto BERNAMA

Pemimpin negara Islam mesti terbuka, jujur beri lebih keyakinan rakyat

DATUK Seri Najib Razak semalam mengajak pemimpin politik dan pembuat dasar di negara Islam supaya menjadikan amalan tadbir urus baik, keterbukaan, ketelusan sebagai landasan untuk kesejahteraan ekonomi negara dan ummah.

Perdana Menteri berkata, hanya melalui tadbir urus baik, khususnya tadbir urus berlandaskan Islam, pelbagai masalah dihadapi negara berkenaan dapat diatasi dan rakyat akan percaya terhadap kerajaan mereka.

“Sebagai pemimpin politik dan negarawan, terpulang kepada kita untuk membuktikan tekad, dedikasi, komitmen dan kesungguhan politik untuk melakukan apa yang betul, membetulkan apa yang salah dengan membasmi rasuah, rundingan rahsia dan tertutup daripada menjadi amalan masyarakat.

“Kita mesti bersedia untuk mengotakan janji yang dibuat dan mengamalkan sendiri apa yang kita berkutbah,” katanya dalam ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketujuh di sini, semalam.

Najib diberi penghormatan sebagai pemimpin pertama berucap pada majlis perasmian itu.

Forum tiga hari yang dihadiri kira-kira 2,000 delegasi, termasuk pemimpin politik dan kapten perniagaan dari hampir 50 negara dirasmikan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev di Palace Of Independence.

Perdana Menteri berkata, peningkatan ekonomi yang tidak memberangsangkan, pembangunan tidak sama rata dan ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan mengakibatkan kebanyakan negara Islam menderita ‘triple income gap' iaitu jurang pendapatan, bukan saja dengan negara lain dunia, tetapi di kalangan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan sesama negara anggota.

Katanya, di kalangan negara OIC, hanya Malaysia, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di kedudukan 40 terbaik bagi kemudahan perniagaan dan peraturan perniagaan daripada 183 negara yang dikaji IFC (International Finance Corporation) dan Bank Dunia.

Beliau berkata, kajian itu juga menunjukkan apabila aktiviti perniagaan dilakukan secara telus dan efisien, ia akan mengurangkan penawaran peluang disebabkan hubungan peribadi atau keistimewaan.

Najib berkata, keadilan ekonomi untuk rakyat melalui pembangunan mapan, menjana peluang ekonomi baru, mengatasi masalah pengangguran dan kemiskinan tegar hanya boleh dilakukan jika pengagihan kekayaan dan pendapatan negara dilakukan secara adil dan saksama oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, ia tidak mudah dicapai jika kita terus menghadapi masalah berkaitan tadbir urus baik, akauntabiliti dan ketelusan sehingga ada negara anggota OIC yang satu ketika dulu kaya dan berpotensi menjadi kuasa ekonomi kini merudum. Apabila keadaan itu berlaku yang paling menderita adalah ummah dan rakyat miskin,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tadbir urus baik saja tidak cukup bagi memenangi sokongan dan kepercayaan rakyat, ia mesti disusuli dengan prinsip keterbukaan, kejujuran dan ketelusan.

Oleh itu, katanya, setiap kerajaan khususnya negara Islam perlu melakukan perubahan dengan mengambil pendekatan baru dan model baru ekonomi untuk memenuhi keperluan dan cita rasa rakyat.

Dengan mengambil Malaysia sebagai contoh, Perdana Menteri berkata kerajaannya memperkenalkan pelbagai pendekatan, pembaharuan, pengubahsuaian melalui inisiatif transformasi dengan menekankan tadbir urus baik.

Antaranya, termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Pelan Integriti Kebangsaan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kakitangan awam, menubuhkan Institut Integriti Malaysia, selain melakukan reformasi terhadap badan pencegah 
rasuah dan suruhanjaya hak asasi manusia.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...