Jumaat, 8 Julai 2011

Satu lagi teras utama ETP diperkenalkan

Berita Harian Online|Satu lagi teras utama ETP diperkenalkan
Oleh Kamarulzaidi Kamis,Syuhada Choo Abdullah, Ahmad Farizal Hajat dan Shahrizan Salian
bhnews@bharian.com.my
2011/07/06

image

MUHYIDDIN menunjukkan Laporan Akhir Kewangan Bahagian Tiga ketika melawat gerai pameran Program Transformasi Ekonomi di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) sebagai satu lagi teras utama Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi meningkatkan daya saing negara pada peringkat antarabangsa serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat makin terjamin.

Inisiatif berkenaan akan memacu Malaysia ke arah meningkatkan pendapatan negara, memperbanyak peluang pelaburan swasta, mentransformasi tempat dan tenaga kerja di Malaysia untuk ekonomi berpendapatan tinggi, menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan awam berkualiti tinggi serta memperbaiki standard kehidupan rakyat berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa.

Enam SRI itu adalah Kewangan Awam, Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan, Pembangunan Modal Insan, Penyampaian Perkhidmatan Awam, Standard Antarabangsa dan Liberalisasi serta Merapatkan Jurang Ketidaksamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.

Sebagai bukti komitmen kerajaan melaksanakan pembaharuan, Datuk Seri Najib Razak sendiri menerajui SRI Kewangan Awam yang dibantu Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, pula akan menerajui SRI Pembangunan Modal Insan.

Menerusi enam SRI terperinci itu, Perdana Menteri berkata, rangka transformasi ekonomi negara kini lengkap dan kerajaan akan meneruskan tumpuan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi, diiringi pembaharuan dasar yang membolehkan Malaysia bersaing lebih kukuh serta mantap dalam persada antarabangsa.

Malah, petunjuk prestasi utama (KPI) beliau dan menteri lain berkaitan sudah diselaraskan bersesuaian SRI berlandaskan penyampaian serta jangka masa jelas, di mana mereka komited untuk melaksanakan pembaharuan berkenaan.

“ETP dipacu oleh dua teras utama, iaitu penumpuan melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan daya saing menerusi SRI. Dalam pada kita memberi tumpuan kepada NKEA berkenaan, kita sedar Malaysia perlu menjadi lebih berdaya saing untuk mencapai status negara maju.

“Enam SRI itu merangkumi semua 51 langkah dasar diketengahkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam Bahagian Akhir Model Baru Ekonomi (MBE) yang saya terima pada Disember tahun lalu,” katanya dalam ucapan pada majlis pengumuman perkembangan terkini ketujuh ETP di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Muhyiddin. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala.

SRI Penyampaian Perkhidmatan Awam diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; SRI Standard Antarabangsa dan Liberalisasi – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; SRI Merapatkan Jurang Ketidaksamaan PKS Bumiputera – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Sementara itu, Idris ketika membentangkan enam inisiatif terbaru SRI berkata, sebanyak 82 peratus daripada inisiatif projek permulaan (EPP) sudah memulakan operasi dengan baki 18 peratus pada pelbagai peringkat pembangunan.

“Sebanyak 65 Projek Permulaan sudah diumumkan dengan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion. Unjuran Pendapatan Negara Kasar (PNK) ialah RM220 bilion, manakala lebih 360,000 pekerjaan baru akan diwujudkan.

“Kita pada kedudukan yang tepat untuk mencapai PNK, pelaburan dan pewujudan sasaran pekerjaan baru menjelang 2020,” katanya.

INFO: Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI)

  • Kewangan Awam
  • Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan
  • Pembangunan Modal Insan
  • Penyampaian Perkhidmatan Awam
  • Standard Antarabangsa; dan
  • Liberalisasi serta Merapatkan Jurang Ketidaksamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...