Jumaat, 1 Julai 2011

Penggodam uji strategi: Pakar

Berita Harian Online|Penggodam uji strategi: Pakar
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Sazarina Shahrim, Nor Fazlina Abdul Rahim, Ahmad Johari Mohd Ali, Badrul Kamal Zakaria, Hazwan Faisal Mohamad, Suzalina Halid, Faizatul Farhana Farush Khan, Faiza Zainudin dan Fakhrurrazi Usuldin.
bhnews@bharian.com.my
2011/06/17

image KAKITANGAN teknologi maklumat membaik pulih laman web Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Pengajian Politeknik, di Seri Kembangan, semalam.

Keselamatan laman web kerajaan perlu dipertingkat sebelum 'serangan sebenar'

KUALA LUMPUR: Pakar teknologi maklumat (IT) tempatan berpendapat serangan terhadap laman web kerajaan sejak malam kelmarin, hanya strategi percubaan kumpulan penggodam terbabit sebelum mereka melancarkan 'perang sebenar' yang lebih serius tanpa memberi sebarang amaran awal pada masa depan.

Jururunding Keselamatan di sebuah syarikat IT di ibu negara, Hazrul Hamzah, berkata kumpulan penggodam terbabit dipercayai ada muslihat tertentu kerana sanggup memaklumkan secara terbuka menerusi internet mengenai tarikh dan masa mereka akan melakukan serangan berkenaan.

“Kumpulan penggodam terbabit pasti tahu bahawa pihak kerajaan sudah tentu akan mengambil segala langkah yang mampu untuk mematahkan serangan berkenaan, justeru, dipercayai mereka tidaklah sebodoh itu.

“Serangan setakat ini dipercayai hanya untuk menguji serta menjadikan kerajaan leka seolah-olah sudah berjaya mematahkannya, sebelum mereka menggodam dan melakukan kerosakan yang jauh lebih serius tanpa amaran terlebih dulu pada suatu masa nanti.

“Selain itu, kumpulan penggodam terbabit juga sudah berjaya mendapat publisiti meluas yang dikehendaki untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa mereka membantah tindakan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

“Mereka jelas berpegang teguh kepada prinsip kebebasan mendapatkan maklumat,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sebanyak 51 laman web dengan domain .gov.my diserang sejak jam 11.30 malam kelmarin sehingga pagi semalam menyebabkan sekurang-kurang 41 daripadanya mengalami gangguan pada tahap berbeza.

Serangan itu dikesan berlaku lebih awal daripada ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka ‘Anonymous’ untuk menyerang portal kerajaan www.malaysia.gov.my melalui ‘Operation Malaysia’ pada jam 3.30 pagi semalam.

Hazrul berkata, ‘Anonymous’ boleh disifatkan sebagai sebuah organisasi tersusun dan disertai ramai penggodam antarabangsa yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidang IT.

“Justeru, kerajaan diharap jangan cepat berasa lega apabila dapat mematahkan serangan ‘Anonymous’ kali ini, sebaliknya mesti mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan keselamatan rangkaian internet kerajaan sebelum mereka melancarkan serangan sebenar pada bila-bila masa yang tidak diketahui,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...