Jumaat, 1 Julai 2011

Biasiswa pra-U dihenti

Berita Harian Online|Biasiswa pra-U dihenti
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/06/24
Sebagai ganti pelajar cemerlang SPM akan ditawarkan dermasiswa, pinjaman kerajaan

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi diberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian peringkat prauniversiti, termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), program asasi dan matrikulasi serta A-Level.

Sebaliknya, mereka hanya ditawarkan bantuan kewangan atau dermasiswa daripada kerajaan, manakala biasiswa JPA dikhaskan kepada pelajar pra universiti yang cemerlang dan mendapat tempat di universiti terkemuka.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semakan semula dasar sedia ada perlu kerana kerajaan mendapati pemberian biasiswa pada peringkat SPM bukan idea yang sesuai kerana ia setaraf O-Level.
 
Beliau berkata ini kerana pelajar yang cemerlang pada peringkat SPM tidak bermakna akan cemerlang apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat pra universiti.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan pemanggil dalam program temu ramah di stesen radio bahasa Cina, One FM, di sini semalam. Program dikendalikan penyampai radio, Jack Yap, Jane Ng dan Nicholas Ong, selama sejam bermula 7.30 pagi dan disiarkan secara langsung melalui saluran ntv7.

Kajian semula menyeluruh dasar itu dibuat berikutan pelbagai rungutan berhubung pengagihan biasiswa JPA apabila ada pelajar cemerlang tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara sehingga timbul dakwaan wujud pilih kasih dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Najib berkata dasar baru itu juga akan mengambil kira keperluan penghantaran pelajar cemerlang ke luar negara bagi mengelak kedudukan universiti tempatan dalam senarai universiti terbaik dunia terjejas.

Katanya, walaupun kerajaan memutuskan untuk memberikan biasiswa kepada semua pelajar yang memperoleh 8A+, tidak semua pelajar dianugerah biasiswa untuk mengikuti pengajian di luar negara.

“Kerajaan cuba bersikap adil sepenuhnya dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak. Jika tiada dasar yang jelas, akan ada pelajar tercicir terutama dari luar bandar. Oleh itu perlu adil serta seimbang dan kerajaan sedang memikirkan formula yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan itu,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sedang membuat pemilihan pelajar yang tidak menerima biasiswa JPA untuk diberikan biasiswa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta dalam negara.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...