pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta semua pihak tidak menyalah anggap kesediaan kerajaan menyediakan tempat perlindungan untuk gadis-gadis yang hamil tanpa berkahwin sebagai mendorong perlakuan tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga itu berkata, pihaknya memberi tempat perlindungan tersebut dalam keadaan gadis hamil luar nikah kemungkinan akan bertindak membuang bayi sekiranya tiada sesiapa bersedia menerimanya.
Menurut beliau, pihak kerajaan perlu berhati-hati dalam perkara yang sensitif ini, bukan senang-senang untuk membuang anak kerana ia adalah perbuatan jenayah.
"Perbuatan membuang anak adalah kesalahan jenayah dan sekiranya seseorang gadis tidak ada tempat lain untuk menghantar anaknya, kerajaan mesti berbuat sesuatu.
"Kita tidak hendak perkara itu dipermudahkan, bayi boleh dilahirkan dan jika tidak hendak boleh dibuang begitu sahaja, bukan itu yang kerajaan maksudkan," katanya.
Shahrizat berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Kerjasama dengan kerajaan Oman yang diwakili Menteri Pembangunan Sosial, Dr. Sharifa Khalfan Al Yahyaeiyah di pejabatnya di sini hari ini.
Menurutnya, di bawah Akta Kanak-Kanak, pegawai kebajikan adalah sebagai pelindung dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak adalah paling mustahak.
Shahrizat berkata, gadis-gadis 'terlanjur' boleh menemui pegawai-pegawai untuk mendapat bantuan di 104 Pejabat Kebajikan Masyarakat, 55 Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan 60 institusi kebajikan masyarakat termasuk Sekolah Tunas Bakti untuk lelaki dan Taman Sri Puteri untuk perempuan.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 23/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan