Menurut beliau, kementeriannya tidak akan campur tangan dalam perkara berkaitan gaji buat masa kini kerana sebahagian besar majikan di negara ini memberi gaji berpatutan kepada pekerja masing-masing.
''Selain itu, golongan majikan di negara ini juga sanggup membayar lebih jika mereka menerima perkhidmatan yang baik daripada pembantu rumah tersebut.
''Semuanya tertakluk kepada perkhidmatan yang diberikan oleh pembantu rumah terhadap majikan. Jika majikan berpuas hati dengan layanan pembantunya, mereka akan diberi gaji yang tinggi,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran buku garis panduan penggajian pembantu rumah asing di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia dan Indonesia bercadang untuk membuat pindaan terhadap memorandum persefahaman syarat pengambilan pembantu rumah.
Ia berhubung penetapan gaji minimum RM550, dengan satu hari bercuti setiap minggu, membuka akaun bank atas nama pekerja mereka dan membenarkan pekerja itu memegang pasport sendiri.
Indonesia sebelum ini meminta agar gaji minimum pembantu rumahnya ditetapkan pada kadar RM800 sebulan.
Dalam pada itu Dr. Subramaniam berkata, pembantu rumah yang memasuki negara ini perlu menghadiri seminar yang dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja mulai Mac depan.
''Seminar itu hanya dikhaskan kepada pekerja-pekerja baru yang memasuki negara ini mulai tahun ini.
''Mereka perlu menghadiri seminar berkenaan dalam enam bulan selepas mula berkhidmat sebagai pembantu rumah,'' jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum mewajibkan penyertaan golongan itu dalam seminar tersebut.
Sementara itu, beliau dalam ucapannya berkata, kebergantungan terhadap pembantu rumah warga asing dilihat meningkat dari setahun ke setahun pada purata 20,000 ke 30,000 bagi setiap tahun.
''Sebagai contoh, jumlah keseluruhan pembantu rumah asing yang digajikan oleh majikan di Malaysia telah meningkat sebanyak 80 peratus daripada 177,546 pada tahun 2000 lalu kepada 320,168 sehingga penghujung 2005 lalu,'' katanya.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 22/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan