Sabtu, 27 Februari 2010

utusan: Kerjasama strategik Felda, Felcra dan RISDA

PUTRAJAYA 24 Feb. - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini digabungkan di bawah satu konsortium yang dikenali sebagai Synergy Perdana.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, konsortium yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM300 juta itu akan bekerjasama dalam bidang pembekalan input pertanian bermutu tinggi seperti benih dan baja.

Menurutnya, kerjasama itu turut membabitkan bidang industri hiliran berasaskan sawit dan getah seperti pengeluaran baja bio-organik dan produk makanan.

''Dengan adanya konsortium ini, maka wujudlah sebuah konglomerat perladangan terbesar negara yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

''Konsortium ini bukanlah suatu penggabungan ketiga-tiga agensi perladangan tersebut tetapi hanya sebuah kerjasama strategik.

''Ia mampu mewujudkan sinergi perniagaan bagi mencapai ekonomi berskala besar selain meningkatkan pendapatan dan memberi pulangan dividen yang lebih tinggi kepada kumpulan sasar melalui pelaksanaan pelbagai projek pertanian secara perkongsian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Felda, Felcra dan Risda di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Konglomerat itu akan mewakili kepentingan 112,000 peneroka Felda, 235,000 pekebun kecil Risda dan 95,000 peserta Felcra.

Mohd. Shafie memberitahu, kerajaan menjangka melalui kerjasama strategik itu, harga baja di pasaran semasa akan dapat diturunkan.

Malah, katanya, pada masa sama, ketiga-tiga agensi itu dapat mengurangkan pergantungan daripada pihak luar.

''Penggunaan baja oleh ketiga-tiga agensi perladangan kerajaan itu pada hari ini amat besar nilainya iaitu hampir mencecah RM1 bilion.

''Kita harap dengan kerjasama itu harga baja akan dapat diturunkan dan dapat membantu bukan hanya ketiga-tiga agensi itu bahkan masyarakat peneroka di luar bandar," katanya.

Beliau berkata, dalam konteks penyelidikan pula, ketiga-tiga agensi itu dapat mewujudkan satu badan yang khusus bagi mengkaji pelbagai perkara seperti baja, benih, kaedah menanam dan pengangkutan.

''Tidak perlu kita belanja banyak dengan setiap agensi belanja sendiri dan kalau ia dapat digabungkan, maka ia lebih menjimatkan," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya siapa yang akan menerajui konsortium itu, beliau berkata, Perdana Menteri akan memutuskan perkara itu dalam waktu terdekat.

''Buat masa ini, operasi konsortium itu akan dipantau oleh kementerian sendiri," katanya.


(Sumber dari Utusan Malaysia, 25/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...