Ini berbeza dengan amalan semasa di mana stesen radio mempunyai kuasa untuk memutarkan sesebuah lagu yang dirasakan bernilai komersial, antara lain merujuk kepada carta luar negara, untuk disajikan kepada pendengarnya.
Tanpa mengenepikan hak stesen radio, pakar penyiaran Prof Madya Dr Asiah Sarji berkata arahan itu secara tidak langsung akan memberikan "kuasa" kepada kelompok audiens untuk menentukan kehendak pasaran.
"Selama ini, stesen radio menentukan lagu yang akan dimainkan mengikut apa yang mereka nilai menerusi "rating" pendengar sebagai ukuran utama," kata Dr Asiah di sini hari ini.
Asiah mengulas mengenai syarat wajib putar lagu baru tempatan bermula 1 Mac ini seperti yang diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim di Finas selepas mendapati lagu tempatan kurang diberi ruang di stesen radio.
Arahan yang menjadi syarat baru pemberian lesen bagi semua stesen radio itu akan dikuatkuasa menerusi Seksyen 33 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertujuan memperkasa industri muzik negara dengan memberikan keutamaan kepada lagu tempatan.
Asiah berkata Kajian Industri Hiburan (Muzik) yang sedang dijalankannya mendapati penghasilan sesebuah lagu menelan kos RM6,000 dan ia akan menjadi satu pembaziran sekiranya lagu itu tidak diberikan peluang dimainkan di stesen radio.
"Kalau tidak diberi peluang ke udara bagaimana kita tahu audiens nak dengar atau tak lagu itu. Arahan baru (wajib putar) ini akan beri khalayak buat keputusan nak dengar atau tidak lagu itu.
"Dengan kata lain, audiens akan ada kuasa untuk menentukan "populariti" sesebuah lagu di pasaran," katanya sambil menegaskan arahan itu perlulah dilihat secara positif oleh semua pihak.
Namun sebilangan pemain industri menimbulkan beberapa persoalan tentang syarat itu sama ada ia akan menjejaskan pendapatan stesen radio dengan andaian semua lagu baru itu terpaksa dimainkan sehingga menjejaskan rating stesen radio terbabit.
Asiah berkata beliau bersetuju dengan pandangan Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, sebelum ini, yang mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas penilai ditubuhkan bagi memastikan kualiti lagu diputarkan.
"Usaha ini untuk berlaku adil dengan stesen radio. Kalau syarat wajib putar itu menjaga periuk nasi artis tempatan, periuk nasi stesen radio juga perlu dibela", kata Freddie.
Asiah berkata panel penilai, dalaman atau luaran, perlu bersikap adil.
Sementara itu, Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah berkata jawatankuasa itu perlu memastikan kualiti dan lirik sesebuah lagu itu sesuai dengan budaya timur dan konsep negara bangsa Malaysia secara amnya.
"Lagu kita adalah citra kita. Hanya lagu yang berkualiti layak diberi peluang," kata presiden GAFIM iaitu gabungan Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman (Seniman), Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam), Persatuan Penyiar Malaysia (Penyiar) dan Persatuan Penerbit Program TV Malaysia (PRTVM).
Ini bermakna penulis lirik, penggubah lagu dan penyanyi juga ada tanggungjawab dan tidak ambil mudah dengan komitmen kerajaan dan stesen radio untuk berkompromi bagi memartabatkan semula industri muzik yang semakin suram.
Nilai terkini industri muzik negara adalah RM70 juta berbanding RM111 juta pada 2004 dan RM201 juta pada 2000.
Jumlah ini hanya mewakili kira-kira lima peratus daripada keseluruhan RM1.5 bilion nilai industri kreatif negara termasuk perfileman.
Persoalan kedua mengenai syarat wajib putar yang perlu diberikan perhatian ialah mekanisme lagu-lagu baru itu diputarkan dan antara cadangan dikemukakan ialah stesen radio boleh mengadakan slot khas lagu-lagu baru tempatan.
"Kalau lagu itu diterima, ia boleh diputar sebagai lagu popular," kata Puad dan menambah, beliau yakin stesen radio terbabit lebih arif untuk menentukan mekanisme terbaik untuk menyokong dasar baru kerajaan memperkasa industri muzik negara itu tanpa mengenepikan aspek komersial.
Seperti kata Asiah,"seperti wajib tayang (industri filem), dalam hal ini pihak stesen radio perlu berkorban. Tidak bermakna mereka akan rugi. Ada kemungkinan lagu yang meraka ingat tak boleh jalan (diterima) adalah lagu yang bakal popular.
"Penerbit lagu juga boleh jadikannya sebagai ruang untuk melihat sambutan pihak audiens yang kini mempunyai kuasa penuh untuk menentukan lagu apa yang mereka nak dengar atau sebaliknya," katanya. - Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan