Rabu, 24 Februari 2010

bharian: Gender tak pengaruhi produktiviti

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

 
Kuota wanita pembuat dasar belum dicapai tepis kegusaran Cuepacs

MEMANG tidak dinafikan wanita kini sudah menguasai banyak bidang bukan saja dalam perkhidmatan awam, perguruan selain institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. Trend ini sudah nampak sejak lebih sedekad lalu dan peningkatan penyertaan wanita dalam pelbagai sektor berlaku dari semasa ke semasa. Ia juga sudah menjadi fenomena global. Di sesetengah jabatan di Putrajaya misalnya, kakitangannya di kalangan wanita melebihi 70 peratus.

Bagaimanapun, Cuepacs berpendapat antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan jumlah wanita dalam sektor awam ialah sistem pengambilan kakitangan awam berasaskan pemprograman komputer yang memfokus kepada merit kelulusan akademik sehingga menyebabkan kebanyakan calon lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi.

Mungkin apa yang disuarakan oleh Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, itu cuma ingin meluahkan kebimbangan kerana keadaan itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan serta pertumbuhan negara.

Namun, ada juga yang menyifatkan Ahmad Shah sebagai mendiskriminasi wanita dan mempertikaikan kewibawaan golongan hawa. Begitu pun, sesetengah pendapat mengatakan wanita kerap mendatangkan masalah seperti selalu cuti sakit atau cuti beranak dan dalam pantang untuk tempoh lama hingga boleh menjejaskan sistem penyampaian awam atau operasi sesebuah syarikat.

Apapun, isu gender masih menjadi tembok penghalang. Kerajaan bersetuju menetapkan 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Bagaimanapun sehingga ini, kuota 30 peratus wanita dalam pembuat dasar masih jauh untuk dicapai.

Malaysia cuma ada dua menteri wanita dan lapan timbalan menteri wanita, manakala di dalam Parlimen jumlah wakil rakyat wanita juga jauh lebih rendah berbanding Ahli Parlimen lelaki.

Oleh itu, Dasar Wanita Negara Kedua, iaitu kesinambungan Dasar Wanita Negara pertama 1989 dengan jelas mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang terhadap peranan wanita.

Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar itu memperjuangkan matlamat kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari.

Ketua Pusat Penghayatan Sejarah Impek Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), Datuk Prof Dr Ramlah Adam, dalam reaksinya berhubungan isu itu menjelaskan kenyataan Cuepacs bersifat remeh dan tidak sepatutnya dibangkitkan ketika negara berdepan banyak lagi masalah perpecahan dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sikap kebiasaan masyarakat terhadap nilai budaya yang melihat perempuan hanya layak duduk di rumah dan menghayun buaian masih terbawa-bawa sehingga apabila wanita mula mempamerkan kecemerlangan dalam sesuatu jawatan, maka rasa tidak selamat menyelubungi diri.

Ramlah berpendapat sepatutnya semua pihak tanpa mengira gender bangkit dengan mencergaskan anjakan paradigma ke arah memajukan diri, bukannya mengeluarkan kenyataan remeh.

"Jangan terus letakkan wanita berada pada kelas kedua. Isu seumpama ini sepatutnya sudah tamat. Soal penting adalah untuk membangunkan negara, melahirkan pekerja berkualiti dan ada daya kepemimpinan.

"Teori maskulin yang menganggap lelaki hebat sering berakar umbi. Apa yang jelas wanita menunjukkan kecekapan dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Wanita lebih komited dan sedia berkorban.

"Penguasaan wanita memang tidak dapat dielakkan. Dalam bidang pendidikan saja kita dapat lihat dengan jelas ramai pelajar perempuan memasuki universiti. Malah ada di sesetengah institusi pengajian tinggi, 80 peratus wanita dan mereka lebih cemerlang daripada lelaki," katanya.

Pengarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran Politik, Universiti Malaya, Dr Makmor Tumin pula melihat tidak adil menjatuhkan hukuman kepada wanita kurang produktiviti kerana banyak cuti bersalin, sebaliknya ia terletak pada individu sendiri.

Masalah penurunan kualiti dan produktiviti adalah sikap dan masalah penjawat awam sendiri yang tidak ada kena mengena dengan isu gender.

"Ramai juga penjawat awam lelaki yang tidak ada kualiti. Oleh itu, Cuepacs tidak sepatutnya membuat kesimpulan dan isu sebegitu adalah hujah lapuk," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid, menganggap kenyataan Cuepacs itu adalah pandangan yang tidak berasas, rambang dan berat sebelah.

Kenyataan berkenaan juga sudah jelas membayangkan tanggapan yang tidak benar dan perlu diperincikan serta menunjukkan kebimbangan lelaki sendiri terhadap kredibiliti dan keupayaan wanita yang semakin menonjol dalam pelbagai bidang.

"Saya tidak tahu yang dibimbangi lelaki ini, sedangkan di Malaysia kuota 30 peratus wanita terbabit dalam pembuat dasar belum pun berjaya dicapai. Mengapa mereka sudah memberi pandangan negatif terhadap keupayaan wanita.

"Pada saya, ketika ini hanya guru wanita saja yang dilihat tinggi dalam jawatan perkhidmatan awam, berbanding lelaki sedangkan dalam kebanyakan sektor wanita juga masih berada pada paras bawah 30 peratus," katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan pula melihat kesediaan wanita yang benar-benar komited seratus peratus dan memenuhi kriteria bagi melonjakkan jawatannya masih belum mencapai tahap disasarkan.

"Memang jumlah penjawat awam sekarang ramai wanita berbanding lelaki, tetapi yang benar-benar menonjol tidak begitu banyak dan mungkin kerana itu peratusan mengisi jawatan tinggi tidak menampakkan peningkatan ketara," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 23/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...