Isnin, 22 Februari 2010

Program baru kurang kesesakan penjara

MELAKA: Jabatan Penjara akan memperkenalkan Program Pemasyarakatan tidak lama lagi dalam usaha untuk mengurangkan masalah kesesakan di penjara di seluruh negara secara komprehensif, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, menerusi program itu, banduan yang terpilih akan berpeluang mengikuti program komuniti di luar penjara, selain boleh bekerja di luar batasan premis berkenaan seperti melakukan khidmat masyarakat, khidmat bakti berbayar, bekerja dalam perusahaan usaha sama, kilang sektor pertanian dan penternakan.

Beliau berkata, program itu terbuka kepada banduan yang memenuhi syarat kelayakan seperti mempunyai baki hukuman tidak melebihi satu tahun dan mereka yang terpilih akan mengikuti program komuniti di luar penjara sehingga 20 kilometer dari premis penjara mereka ditempatkan.

“Sehingga ini, terdapat 36,040 banduan ditempatkan di semua 31 penjara di seluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 5,516 banduan mempunyai baki hukuman di bawah setahun dan layak menyertai program berkenaan.

“Jabatan Penjara akan melaksanakan proses pengkategorian dan klasifikasi penjara berasaskan pemulihan dan keselamatan. Sebagai contoh, penjara juvana, dadah, reman, perubatan dan penjara industri akan dijadikan sebagai satu kategori penjara,” katanya selepas melawat Kompleks Penjara Sungai Udang, dekat sini, semalam.

Kompleks berkenaan yang dibina di kawasan seluas 51.6 hektar sejak 2006, dijangka mula beroperasi pada Mei atau Jun ini. Dibangunkan dengan kos sebanyak RM305 juta, ia menyediakan pelbagai kemudahan dan mampu menempatkan seramai 2,000 banduan dalam satu masa.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan beberapa pemimpin negeri.


(Sumber dari Berita Harian, 19/02/2010) 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...