pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 19 Feb. - Laporan Bank Dunia menyarankan Malaysia melaksanakan proses reformasi dalam bidang pendidikan bagi memenuhi hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan itu menekankan tentang betapa perlunya proses tersebut dilakukan termasuk di peringkat pendidikan rendah dan menengah.
Justeru, kata beliau, kerajaan mengambil maklum tentang saranan itu yang melibatkan pembangunan sumber tenaga mahir di negara ini.
"Kita ambil maklum perkara itu dan proses tersebut yang sedang berjalan akan diteruskan.
"Untuk mengambil kira beberapa perakuan Bank Dunia, kita putuskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk sediakan kerangka bagaimana hendak laksanakan perkara itu," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.
Saranan Bank Dunia itu terkandung dalam kertas kerja bertajuk 'Pembangunan Sumber Manusia Bagi Pendapatan Tinggi di Malaysia' yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.
Dua lagi kertas kerja dibentangkan Kementerian Pengajian Tinggi, EPU dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (Might).
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tenaga mahir merupakan aset penting untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara di pasaran global.
"Oleh itu, usaha bersepadu perlu dilaksanakan dengan berkesan untuk mengatasi kekurangan tenaga mahir," katanya.
Dalam hal ini, beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi telah merangka dasar latihan industri bagi institusi pengajian tinggi (IPT).
"Ini bermakna mahasiswa dalam pelbagai bidang tertentu akan melalui proses latihan amali dengan syarikat dan industri di negara kita sebelum mereka masuk ke pasaran kerja.
"Ia didapati amat berkesan untuk menyesuaikan mereka dengan pasaran dan memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir," katanya.
Jelas beliau, kementerian itu akan menentukan bidang yang wajar mengikut kursus latihan industri dalam tempoh tidak kurang tiga bulan.
"Dari segi jam kredit, ia tidak kurang daripada dua jam dan tidak lebih 12 jam.
"Ini telah diambil kira oleh kementerian berkenaan dan kita bersetuju," katanya.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 20/02/2010)
1 ulasan:
Semoga terdapat juga modal jati insan yang akan diwujudkan. Bukan pendidikan yang hanya untuk mengeluarkan sumber manusia yang mementingkan material semata-mata...
Catat Ulasan