Ahad, 28 Februari 2010

bharian: Media perlu berusaha bentuk Malaysia yang bersatu: PM

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata media mempunyai tanggungjawab sosial untuk bekerjasama dengan kerajaan ke arah pembinaan bangsa walaupun mempunyai dasar berbeza.

"Media mungkin mengambil laluan berbeza...Sin Chew mungkin mengambil laluan berbeza...Utusan (Malaysia) mungkin mengambil laluan berbeza..akhbar lain mungkin mengambil laluan yang berbeza, walaupun kita mengambil laluan berbeza tetapi kita mesti memberi tumpuan dan sampai ke destinasi akhir," katanya dalam ucapannya pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran Sin Chew Media Group di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, destinasi akhir bagi media untuk memberi tumpuan ialah "sebuah negara Malaysia yang makmur, harmoni, bersatu padu, lebih baik dan kuat."

Beliau berharap dalam melaksanakan perbezaan dasar masing-masing, media mesti menyedari bahawa mereka perlu mendekatkan hubungan di kalangan rakyat dan bukan memecah belahkan mereka.

"Kita mengambil laluan yang berbeza kerana kita mesti memberikan ruang kebebasan dalam masyarakat kita. Kita mesti memberikan ruang bagi perbezaan pendapat yang walaupun bertentangan tetapi kita mesti sedar bahawa kita bukan memecah belahkan masyarakat ini tetapi kita (mesti memastikan bahawa kita) secara perlahan tetapi pasti untuk membawa semua rakyat Malaysia bersatu," katanya.

Najib juga menekankan bahawa tuntutan yang dibuat sesebuah masyarakat sepatutnya tidak akan menjejaskan masyarakat yang lain di negara ini.

"Apabila kita mempunyai perbezaan pendapat kita mesti sentiasa sedar...ya kita boleh membuat tuntutan-tuntutan...ya kita boleh membuat kenyataan tetapi itu bukan masalahnya bahawa apa sahaja yang kita tuntut, apa sahaja kita sebut, apa sahaja yang kita buat tidak menjejaskan masyarakat yang lain.

"Ia tidak boleh dan tidak sepatutnya mengutamakan kepentingan diri. Ia perlu menjadi asas bahawa apa yang baik untuk masyarakat kita ia juga baik untuk semua rakyat," katanya.

Beliau berkata, jika semua masyarakat mempunyai pemikiran yang sama, beliau "berkeyakinan bahawa kita boleh mendapat seumpama hasil tenunan yang berwarna warni dalam masyarakat kita".

Najib berkata, tiada masyarakat di dunia ini yang begitu indah seperti di Malaysia.

"(Dan) di dunia sebelah sini...di Asia Tenggara anda tidak boleh memiliki sebuah negara yang begitu berwarna warni seperti Malaysia. Ia sepatutnya menjadi kekuatan kita dan ia adalah satu cabaran buat kita. Ia tidak sepatutnya menjadi satu halangan. Ia sepatutnya merapatkan kita," katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bergerak bersama sebagai satu dan sebagai 1Negara dalam semangat 1Malaysia untuk sebuah Malaysia yang kuat dan lebih baik.

Merujuk Tahun Harimau menurut kalendar Cina tahun ini, Najib berkata walaupun harimau melambangkan kecergasan dan keberanian tetapi haiwan itu juga adalah spesis terancam.

"Justeru, jika kita tidak menjaga harimau dengan baik, haiwan itu pasti pupus. (Sama juga) jika kita tidak menjaga negara ini..ia juga akan musnah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya bersama-sama membina negara ini agar satu legasi sebenar dapat ditinggalkan buat Malaysia. - Bernama


(Sumber dari Berita Harian, 28/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...