Isnin, 22 Februari 2010

Malaysia patut tarik pelaburan inovasi terbuka R&D dunia

Oleh Prof Zaini Ujang

PERSAINGAN inovasi semakin sengit, khususnya di kalangan sektor korporat di negara maju. Selain meneroka asas untuk meningkatkan daya saing, inovasi menjadi prasyarat kepada perkembangan teknologi dan pasaran lebih luas. Inovasi juga adalah asas untuk mengubah model ekonomi berteraskan sumber asli dan pengeluaran kos murah kepada model ekonomi nilai tinggi.

Tidak seperti perkembangan inovasi pada suku terakhir abad lalu, inovasi terkini lebih berorientasi pasaran dan kreativiti dalam seluruh bidang. Malah bidang yang dianggap tidak berdaya maju dan tradisional seperti pertanian, perkhidmatan dan utiliti juga semakin berkembang dengan ada pelbagai inovasi secara berterusan.

Suatu hal yang menarik mengenai inovasi ialah sifatnya yang tidak lagi tertumpu (dan tertutup) kepada identiti kebangsaan dan milik eksklusif sesebuah organisasi. 'Inovasi terbuka' adalah slogan baru yang menghubungkan pelbagai organisasi dan negara asalkan mempunyai sinergi dan menguntungkan semua pihak.

Itulah sebabnya tidak semua gergasi korporat melakukan sendiri inovasi dalam sesuatu bidang, sebaliknya turut bergantung kepada inovasi institusi atau individu lain yang mempunyai kepentingan bersama. Itulah antara faktor pendorong kewujudan banyak organisasi persendirian yang melakukan inovasi mengikut keperluan pengguna, iaitu sektor korporat atau agensi awam.

Organisasi ini biasanya berasal daripada agensi awam atau universiti yang kemudian berkembang menjadi entiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bebas seperti Stanford Research Institute (SRI) di Amerika Syarikat, dan Water Research Corporation (WRC) di Britain. Malah banyak juga organisasi R&D yang asalnya anak syarikat sesebuah gergasi korporat menawarkan khidmat R&D kepada badan korporat lain.

Selain itu, inovasi juga tidak mengenal lagi batas geografi. Sebagai contoh, ketika ini lebih separuh aktiviti inovasi syarikat utama Britain dilakukan di negara lain. Selain mengamalkan dasar 'outsourcing', syarikat itu juga menjalankan pelbagai program R&D menerusi pusat penyelidikan ditubuhkan di negara yang menyediakan peluang dan persekitaran inovasi menarik.

Ketika ini, kira-kira 60 peratus aktiviti R&D syarikat Britain terletak di Amerika Syarikat. Sebaliknya hampir separuh hasil inovasi syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dilakukan di Britain. Selain itu, banyak negara menyediakan insentif untuk menarik pelaburan asing dalam bidang R&D.

Pelaburan sedemikian lebih menguntungkan berbanding sektor pengeluaran produk pukal kerana aktiviti R&D membabitkan pelaburan besar, kepakaran tinggi dan menyediakan peluang pekerjaan tenaga mahir. Pelaburan R&D juga menjadikan sesebuah negara lebih berdaya saing menerusi ekonomi nilai tinggi.

Itu rasional negara seperti Singapura, Korea Selatan, Australia, China dan India menyediakan pelbagai insentif menarik untuk pelaburan R&D khususnya kepada gergasi korporat. GSK, sebuah syarikat farmasi terkemuka Britain, misalnya baru saja memindahkan pusat R&D ke China untuk penyakit sistem saraf. Laird pula, salah sebuah syarikat tersenarai 350 dalam FTSE baru saja memulakan operasi makmal korporat ke India dalam bidang 'horizon scanning'.

Selain mempergiatkan aktiviti R&D menerusi pelaburan awam dan swasta tempatan, saya mencadangkan pihak kerajaan supaya menyediakan dasar dan strategi lebih jelas, serta insentif proaktif untuk menarik syarikat gergasi antarabangsa menempatkan operasi R&D di Malaysia. Tidak seperti pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pengeluaran, pelaburan R&D lebih beraneka dan menguntungkan.

Tetapi syaratnya ialah penyediaan 'ekosistem inovasi' iaitu persekitaran, dasar, budaya dan insentif yang mendorong aktiviti R&D merangkumi sekurang-kurangnya lima aspek. Paling utama ialah institusi tempatan turut melakukan aktiviti asas R&D sebagai penghubung, sekali gus penjana pelbagai program inovasi.

Itulah sebabnya kewujudan sesebuah universiti penting di semua lokasi pelaburan R&D. Ketika menulis artikel ini, saya berada di Ideon, iaitu tapak inovasi milik Universiti Lund, Sweden di mana aktiviti R&D berkembang pesat menerusi ratusan syarikat terkemuka dunia seperti Ikea, Sony Eriksson, Astra Zeneca, Gambro, Texas Insturments, Active Biotech dan seumpamanya. Berbanding institusi penyelidikan awam, universiti lebih terbuka untuk sinergi dan kerjasama, dan lebih 'demokratik' dari segi percambahan idea.

Kedua, tenaga mahir R&D mencukupi dalam sesuatu bidang. Ini kritikal kerana biasanya pelaburan R&D memerlukan tenaga mahir terlatih dan berpengalaman pada peringkat PhD. Sekali lagi, peranan universiti penting untuk menampung keperluan tenaga pakar. Sebagai contoh P&G baru saja membuka makmal R&D berhampiran Universiti Tsinghua, China yang menempatkan 1,000 jurutera penyelidikan berkelulusan PhD.

Dalam hal ini, Malaysia masih jauh ketinggalan. Jumlah mahasiswa peringkat sarjana dan PhD dalam bidang teknologi dan kejuruteraan ketika ini sekitar 10,000 orang saja. Menurut perangkaan terakhir, daripada jumlah itu, kira-kira 43 peratus mahasiswa pasca siswazah belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketiga, perkembangan saintifik sesebuah lokasi. Ini penting kerana pelaburan R&D biasanya mengambil kira kewujudan bukan saja tenaga mahir malah syarikat atau persaingan dalam sesuatu bidang. Itu rasional banyak syarikat berteraskan ICT menempatkan pusat R&D di India.

Keempat, insentif kewangan dan pelaburan yang ditawarkan kerajaan seperti taraf perintis, kemasukan tenaga mahir dari luar negara dan kemudahan untuk kerjasama penyelidikan dengan institusi tempatan (biasanya universiti).

Sesungguhnya inovasi semakin penting dalam suasana ekonomi nilai tinggi kerana menjadi penjana aset bukan fizikal paling utama. Laporan Bank Dunia menyebut bahawa harta sesebuah negara dalam bentuk pengetahuan teknologi, harta intelek, jenama dan institusi boleh menjangkau antara 60 hingga 80 peratus. Selebihnya ialah harta dalam bentuk aset fizikal dan konvensional seperti tanah, bangunan, modal kewangan, emas, kilang dan sebagainya.

Prof Zaini Ujang ialah Naib Canselor UTM dan penulis buku 'Universiti, Kreativiti dan Inovasi' (2009) dan 'Berpaksi Inovasi, Mengangkasa Universiti, Menjana Nilai Tinggi' (2010).

(Sumber dari Berita Harian, 19/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...