Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata persidangan itu akan mengupas mengenai kajian perbandingan di antara negara Islam di seluruh dunia sama ada hukuman sebat terhadap wanita Islam menjadi kebiasaan di negara-negara Islam.
"Melalui persidangan yang akan mengumpul menteri-menteri berkaitan dan pakar rujuk ini, kami di kementerian berharap akan dapat membuat kajian perbandingan untuk mendalami lagi sama ada hukuman sebat ini menjadi kebiasaan di semua negara Islam," katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum kerjasama antara kementerian itu dan Kementerian Pembangunan Sosial Oman di sini hari ini.
Shahrizat berkata cadangan untuk mengadakan persidangan itu akan dibawa ke Kabinet bagi kelulusan secepat mungkin dan ia dijangka dapat diadakan seawal tiga bulan dari sekarang.
"Kita boleh kongsi idea, praktis dan mendalami semangat syariah dalam isu ini, semua menteri dari kalangan negara Islam yang hadir akan diberi peluang untuk berkongsi bagaimana isu ini dipraktikkan di negara masing-masing.
"Saya sendiri nak tengok bagaimana negara Islam melaksanakan isu ini, saya rasa kita akan dapat menimba ilmu dan berkongsi pengalaman," katanya yang turut menjemput Menteri Pembangunan Sosial Oman, Dr Sharifa Khalfan Al Yahyaeiyah sebagai seorang daripada panel persidangan itu nanti.
Sementara itu, Dr Sharifa berkata walaupun Oman sebuah negara Islam yang moden dan progresif, negara itu tidak mempunyai hukuman sebat terhadap wanita mahupun lelaki dalam undang-undang syariah dan undang-undang sivil.
"Kami tidak mempunyai hukuman sebat untuk wanita tetapi mereka boleh dipenjara," katanya.
Mengenai memorandum kerjasama itu, Shahrizat berkata ia meliputi bidang pembangunan wanita, keluarga, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya serta kajian sosial pengajian gender.
"Hasil dari memorandum ini kami (kedua-dua menteri) berharap ada satu tali silaturahim di antara dua negara di mana kita akan buat pertukaran amalan terbaik dan berkongsi pengalaman, idea, polisi, perundangan dan program di antara dua negara," katanya. - Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 22/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan