Justeru, apakah yang mungkin berlaku di Kelab Sultan Sulaiman dekat Kampung Baru di ibu negara esok dan kaitan dengan semangat penyatuan komuniti Cina yang perlu ada pada orang Melayu? Pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari esok, kira-kira 500 wakil dari 100 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dari seluruh negara akan berhimpun di kelab itu untuk menggarap kesepakatan dan penyatuan. Antara wakil yang hadir dari Perkasa, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Cuepacs, Persatuan Pesara Polis Islam Malaysia, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Yadim, Persatuan Melayu Negeri-Negeri, Gabungan Melayu Perak dan Persatuan Silat Cekak.
Mungkin tidak banyak penyelesaian boleh dicapai dalam pertemuan empat jam itu. Namun lebih penting, ia menjadi asas penyatuan dan kesepakatan NGO Melayu untuk melakar masa depan bangsa mereka. Mereka berkumpul mencari kesepakatan menggariskan watikah perisytiharan menubuhkan gagasan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang difikirkan sangat perlu dalam menyuarakan atas kepentingan Melayu melalui idea, kritik, kertas kerja dan cadangan. Sifat dan tindakan majlis itu berasaskan intelektual. Jauh sekali MPM akan menjadi pendesak dan menganjur atau menyertai demonstrasi jalanan. Badan itu juga bukan kumpulan pendesak sebaliknya lebih kepada keperluan menjadi pelengkap kepada perjuangan dan kepentingan Melayu. MPM juga harus bebas daripada persepsi sangsi, radikal dan perkauman jika tidak dicap sedemikian. Pastinya, majlis itu akan mengawal diri daripada dilabel sebagai kelompok ‘kaki bangkang dan kaki tentang’.
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata: “Melayu perlu mengumpulkan kekuatan untuk mempertingkatkan kedudukan mereka yang sebenar dalam semua sektor termasuk ekonomi, pendidikan dan politik. Pada masa sama, mencari jalan supaya gagasan 1Malaysia dapat dijadikan aspirasi pembinaan negara. Peranan Melayu amat besar dalam memastikan usaha ini. Dengan mewujudkan kesatuan yang tinggi, akan menjadikannya satu kenyataan dan dapat dinikmati.
“Saya percaya ia boleh dilakukan dengan kesungguhan dan pemikiran baru di kalangan generasi muda Melayu selepas memiliki ilmu dan menimba pengalaman mengenai sejarah pembinaan negara berlandaskan Rukun Negara dan lunas undang-undang. MPM juga wajar bertindak sebagai juara yang sentiasa bersama-sama di barisan depan menghadapi serta menangani tekanan terhadap orang Melayu dalam isu berkaitan agama Islam, Kesultanan Melayu, bahasa Melayu, keselamatan negara, ketenteraman awam serta isu lain berkaitan. Ringkasnya, MPM akan berjuang dalam menghadapi cabaran dan mempertahankan segala kepentingan institusi, dasar dan hak orang Melayu,” katanya.
Ia juga bukan sebuah pertubuhan politik sehingga menyaingi, memintas dan mendahului parti Melayu khususnya Umno. Kehadiran MPM juga untuk membantu memastikan orang Melayu sentiasa ada dalam arus perdana dan sebagai bangsa teras yang memayungi semua kaum di negara ini. Kuasa politik Melayu yang berada pada kedudukan ‘mudah diancam’ dan dalam keadaan tertentu terpaksa berhempas pulas mempertahankan diri atau duduk di persimpangan dilema. Lantas, wujudnya MPM akan menjadi wadah sementara atau bersifat kekal.
Sebagai wadah yang menggabungkan intelektual Melayu, MPM wajar memainkan peranan menangani isu berkaitan Melayu dan pelan tindakan menanganinya serta ada keberanian bersemuka dengan pihak yang mencetuskan isu. Setiausaha Perhubungan BN Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, penubuhan MPM adalah langkah mewujudkan platform mempertahankan kesinambungan perjuangan Melayu.
“Majlis itu menjadi medan pemimpin Melayu merumuskan kesepakatan tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya.
Nostalgia Kelab Sultan Sulaiman dengan Melayu tidak mungkin lupus dari catatan sejarah negara. Di situlah tempatnya perhimpunan 47 NGO Melayu daripada seluruh negara pada 1946 yang akhirnya melahirkan inisiatif menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) pada masa itu dan kini sebagai Umno yang terus memperjuangkan kepentingan bangsa.
Jika pada 1946 di kelab bersejarah itu lahirnya Umno yang menjadi teras perjuangan Melayu dalam mencapai matlamat dan mempertahankan kepentingannya maka pada 2010 di premis sama akan lahir teras baru (kalaupun bukan kedua) yang memantapkan lagi Melayu alaf ini.
(Sumber dari Berita Harian, 25/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan