Sabtu, 27 Februari 2010

utusan: KDNK suku keempat 4.5 peratus


PUTRAJAYA 24 Feb. - Ekonomi Malaysia kini sudah pulih selepas mencatatkan pertumbuhan di luar jangkaan sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prestasi tersebut jauh lebih tinggi apabila angka itu melepasi unjuran asal iaitu 3.4 peratus.

Beliau berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan perbelanjaan dalam sektor awam yang membawa kepada permintaan dalam negeri lebih baik.

Katanya, pertumbuhan penggunaan swasta disokong oleh pasaran kerja lebih baik, kadar inflasi yang rendah serta perbelanjaan lebih tinggi semasa musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun.

Menurut beliau, dengan prestasi itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara hanya menguncup sebanyak 1.7 peratus pada tahun lalu, iaitu lebih rendah daripada sasaran awal -3.0 peratus sebelum ini.

''Pemulihan ini disokong oleh pelaksanaan pesat dan proaktif bagi dasar fiskal yang mengembang, dasar monetari yang akomodatif serta langkah menyeluruh dalam memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan.

''Langkah-langah ini membawa kepada pertumbuhan semula ekonomi dengan pantas,'' kata beliau ketika mengumumkan prestasi suku keempat ekonomi Malaysia di sini hari ini.

Ekonomi negara telah mencatatkan penguncupan sebanyak tiga kali pada suku pertama, kedua ketiga, masing-masing sebanyak -6.2 peratus, -3.9 peratus dan -1.2 peratus.

Ditanya adakah Malaysia sudah bebas daripada situasi buruk ekonomi, beliau menegaskan krisis sudah berlalu kerana tiada sebarang kemelut serius di luar jangkaan di dalam ekonomi global.

''Sebagai contohnya, jika tiada sebarang krisis berlaku, kita boleh menyatakan Malaysia telah pulih daripada krisis dan akan terus berusaha untuk mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi 2010,'' tambahnya.

Najib yakin dengan prestasi itu, negara akan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, peningkatan sebanyak satu hingga dua peratus, melebihi sasaran awal sebanyak lima peratus pada tahun ini.

Pada tahun lalu, Perdana Menteri membuat sasaran peribadinya untuk memastikan ekonomi negara mencapai kenaikan sebanyak lima peratus.

''Sebelum ini kita mengunjurkan pertumbuhan ekonomi akan berkembang sebanyak empat peratus tetapi pada tahun ini ia lebih kukuh daripada apa yang saya sasarkan,'' jelasnya.

Beliau berkata, unjuran rasmi baru kerajaan akan diumumkan nanti.

Perdana Menteri menambah, kerajaan akan bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan di kalangan pelabur serta memastikan pelaksanaan projek dibuat dengan pantas.

Pada masa yang sama, sektor swasta digalakkan melabur berikutan keyakinan sentimen pengguna yang tinggi, ujar beliau.

Beliau turut menjelaskan, faktor utama keupayaan kerajaan membelanjakan RM1 bilion sebulan dalam pelaksanaan projek-projek di bawah pakej rangsangan adalah dengan wujudnya Unit Khas Pemantauan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

''Unit ini akan memastikan semua projek di bawah pakej rangsangan dilaksanakan segera,'' tambahnya.


(Sumber dari Utusan Malaysia, 25/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...