Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kegiatan itu berlaku di merata tempat di seluruh negara seperti di pasar malam dengan warga tempatan bersekongkol menjual lesen perniagaan kepada rakyat asing.
"Kita dapat maklumat adanya pekerja asing yang mengambil tempat rakyat Malaysia untuk berniaga di pasar malam (seperti) Chow Kit (atau) di merata tempat seluruh negara. Kita tidak tahu berapa bilangannya (tetapi) kita buat keputusan supaya diambil tindakan tegas.
"Kita minta PBT bersama polis dan Kementerian Dalam Negeri pastikan hal ini dapat dibanteras," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin, di sini, petang semalam.
Muhyiddin berkata, mesyuarat itu juga mengambil keputusan supaya tindakan tegas diambil terhadap warga tempatan yang menjual atau menyerahkan lesen perniagaan mereka kepada rakyat asing.
"Kita nak bagi amaran kepada rakyat Malaysia yang bersekongkol dengan mereka, dia ada lesen tapi diserahkan kepada orang lain (asing), kita tidak akan benarkan kerana tindakan itu akan menjejaskan sumber pendapatan peniaga tempatan lain.
"Rakyat asing berada di sini bukan untuk berniaga, mereka patut bekerja. Lebih-lebih lagi kalau mereka pendatang asing tanpa izin, ini langsung kita tak boleh benarkan. Kita kena ambil tindakan dan saya telah buat keputusan kita akan ambil tindakan segera," katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa boleh mendapatkan maklumat daripada peniaga lain di sesebuah kawasan bagi menentukan sama ada perniagaan itu dijalankan oleh pemilik lesen atau sebaliknya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata satu perancangan khusus sedang dirangka bagi memastikan arahan Kabinet itu dapat dilaksanakan.
"Kita akan membuat perancangan yang teratur termasuk mencari mekanisme yang sesuai serta bekerjasama dengan agensi terbabit.
"Usaha ini harus dipandang serius kerana tindakan tegas juga perlu dikenakan kepada mereka yang mengambil keuntungan 'atas angin'," katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, pula berkata pihaknya sedia membantu polis dan PBT membanteras kegiatan rakyat asing menjalankan perniagaan di negara ini.
"Masalah ini perlu ditangani bersama semua pihak terbabit bagi memastikan misi itu berjaya," katanya sambil mengakui kebanyakan pasar di seluruh negara dibanjiri peniaga asing.
(Sumber dari Berita Harian, 23/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan