Selasa, 23 Februari 2010

Sasar laksana 6 projek skala besar

Oleh ABDUL RAZAK DIN
bisnes@utusan.com.my

PETALING JAYA 21 Feb - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) akan melaksanakan enam projek perniagaan berskala besar tahun ini bagi mendekatkan koperasi itu dengan rakyat.

Yang Dipertuanya, Prof. Datuk Dr. Mohd Ali Baharom berkata, pelaksanaan aktiviti perniagaan berkenaan diwujudkan supaya rakyat dan juga lebih enam juta ahli koperasi seluruh negara dapat memahami dengan sebenarnya penglibatan mereka dalam gerakan koperasi.

Katanya, antara projek yang akan dijalankan termasuk Program Busana (pembekalan pakaian untuk pelajar), pembekalan kertas, Skim Barangan Koperasi, Skim Insurans Tabaruk Angkasa, Zakat, Wakaf Koperasi, pengambilan alih pusat-pusat komersial termasuk pasar raya serta menceburi dalam sektor perubatan.

Beliau berkata, kesemua projek berkenaan kini berada di pelbagai peringkat sama ada telah dimulakan dan juga dalam perancangan.

''Salah satu bidang baru yang akan dijalankan oleh Angkasa ialah pembabitan dalam pengambilan alih pasar raya supaya koperasi boleh terlibat secara langsung dalam aktiviti jualan runcit.

''Kami akan melabur berjuta-juta ringgit dalam bidang pasar raya ini dan pada masa kini, kami sedang melihat beberapa pasar raya besar di bandar raya yang berpotensi untuk diambil alih,'' katanya kepada Utusan Malaysia dalam pertemuan di pejabatnya di sini.

Mohd Ali berkata, satu lagi bidang baru yang akan diceburi oleh Angkasa ialah dalam bidang perubatan.

Katanya, dalam bidang perubatan, projek ini mungkin dilaksanakan secara kerjasama dengan pusat-pusat perubatan terkemuka supaya pihaknya turut mendapat teknologi dan kepakaran baru dalam bidang ini.

''Kami merancang menceburi dalam bidang ini kerana kami mahu penglibatan koperasi dalam semua bidang dengan tidak tertumpu kepada pembekalan barangan keperluan semasa sahaja,'' katanya.

Mengenai Program Busana, iaitu pembekalan pakaian pelajar-pelajar sekolah, beliau berkata, ia akan diperluas ke seluruh negara mulai tahun ini.

Katanya, program ini juga membolehkan koperasi-koperasi yang berminat menjadi pembekal barangan keperluan ini.

''Kami akan menggalakkan koperasi menjadi pembekal pakaian dengan 10 hingga 15 koperasi akan menjadi 'tukang jahit' bagi pembekal pakaian tersebut.

''Angkasa mungkin berperanan menjadi pengimport kain dan kain-kain berkenaan kemungkinan dijahit oleh ahli koperasi. Kami merasakan program ini begitu berpotensi kerana sebanyak 1,818 koperasi sekolah berdaftar dengan Angkasa setakat ini,'' katanya.

Mohd Ali berkata, Angkasa juga sedang giat mengadakan kempen menggalakkan ahli membeli insurans 'Tabaruk Angkasa' sebagai skim khairat kematian kepada ahli-ahlinya.

Katanya, walaupun skim insurans ini hanya mengenakan bayaran rendah iaitu RM5 dan RM10 tetapi ia mampu meraih pendapatan sampingan kepada koperasi berkenaan.

Beliau berkata, di samping itu juga pihaknya akan mewujudkan Skim Waqaf 1Malaysia yang akan memberi kemudahan kepada 2.6 juta orang yang menyertai skim potongan gaji koperasi Apex berkenaan.

Menurutnya, melalui skim ini juga ia boleh meningkatkan aktiviti koperasi serta menambah dana koperasi yang terbabit.

''Kami mendapati banyak wang yang tidak dituntut dalam koperasi dan berikutan itu, kami akan mewujudkan skim ini untuk mengaktifkan serta meningkatkan pendapatan koperasi,'' katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 22/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...