Sabtu, 27 Februari 2010

bharian: Model ekonomi baru mampu dilaksana

Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my


Perancangan perlu guna pendekatan berbeza

PEMULIHAN ekonomi yang ditunjukkan oleh pertumbuhan positif 4.5 peratus yang dicatatkan pada suku keempat tahun meletakkan negara ini dalam landasan kukuh untuk melaksanakan model ekonomi baru, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, perjalanan ke arah itu bukannya mudah kerana ada banyak bahagian dalam ekonomi negara ini yang sudah berada dalam keadaan terlalu selesa dalam cara mereka melakukan sesuatu perkara.

Justeru, katanya sebarang perancangan perlu menggunakan pendekatan berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini supaya apa yang dirancang tidak menemui kegagalan.

"Banyak bahagian dalam ekonomi yang terlalu selesa dalam melakukan sesuatu perkara. Kita juga menutup kekurangan terhadap penyelesaian jangka panjang.

"Justeru, kita perlu belajar melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza daripada dulu. Kegagalan bukan satu pilihan," katanya pada pelancaran laman web dan risalah korporat Akademi Pengarah Malaysia (Minda), di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Minda, Datuk Ahmad Pardas Senin, dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar.

Minda ditubuhkan pada 2006 lalu bagi memberi pengetahuan dan meningkatkan kecekapan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahmad Husni juga menyentuh mengenai banyak kritikan dibuat terhadap GLC antaranya dikatakan terlalu bergantung kepada projek awam dan mendapat layanan keterlaluan daripada pihak berkuasa hingga menyebabkan pihak swasta tidak mahu memasuki pasaran.

"Perlu diingat bahawa GLC juga bertanggungjawab menanggung tanggungjawab sosial. Mereka perlu menyediakan produk dan perkhidmatan dalam segmen yang tidak menguntungkan dalam pasaran.

"Ia adalah tanggungjawab yang mereka warisi ketika GLC itu adalah entiti sektor awam," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 25/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...