SEKALI imbas angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau prestasi ekonomi yang diumumkan kelmarin adalah kelaziman setiap tiga bulan atau setahun sekali. Bagaimanapun, angka itu amat bermakna kerana bagi orang awam, ia penanda peluang pekerjaan, sara hidup dan kehidupan yang lebih terjamin pada masa akan datang. Bagi ahli perniagaan dan syarikat, angka itu memberi gambaran awal hala tuju perniagaan dan langkah awal yang perlu diambil untuk berdepan cabaran atau peluang dalam jangka terdekat ataupun panjang. Angka KDNK bagi suku keempat pada kadar 4.5 peratus yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak itu mengatasi jangkaan ramai termasuk pakar ekonomi terkemuka dalam dan luar negara, tokoh perbankan, pasaran modal dan korporat. Ramai yang menjangka, Malaysia yang sebelum ini bergantung kepada pendapatan eksport akan mengambil masa lebih lama untuk pulih daripada kesan kegawatan global yang bertumpu di Amerika Syarikat dan Eropah. Negara itu yang menjadi pembeli terbesar produk negara ketika ini masih belum pulih sepenuhnya. Ekonomi negara Kesatuan Eropah pada suku keempat 2009 menguncup 2.1 peratus dan AS berkembang pada kadar satu peratus. Siapa menjangka ekonomi Malaysia yang menguncup dengan drastik, iaitu pada kadar 6.2 peratus pada suku pertama, 3.9 peratus pada suku kedua dan 1.2 peratus pada suku ketiga mampu kembali mencatat pertumbuhan 4.5 peratus, jauh lebih tinggi daripada anggaran antara 2 hingga 3.5 peratus saja. Bagaimana kerajaan dan rakyat negara ini mampu melakukannya hingga menjadikan Malaysia antara negara Asia yang pulih lebih awal. Jawapannya mudah, Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan pengurusan ekonomi dan langkah penampan yang betul, manakala masyarakat korporat dan rakyatnya memberi sokongan kepada pendekatan itu.
Ketika kemelut krisis kewangan global memuncak pada Oktober 2008, kerajaan mengambil pendekatan drastik dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi pada November 2008 dan Mac 2009. Pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan secara agresif menyaksikan lebih 113,000 projek dilaksana, membabitkan perbelanjaan RM17 bilion. Daripada jumlah itu, RM13.9 bilion sudah dibayar atau secara purata RM1 bilion sebulan mengalir ke pasaran untuk menjana aktiviti ekonomi sejak Januari 2009. Satu unit pemantauan khas ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi memastikan semua perancangan berjalan segera dan membuahkan hasil. Antara aspek utama pakej itu adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan. Berikutan itu, 38,495 daripada 50,000 jawatan kosong dalam sektor awam diisi dan 11,131 jawatan kontrak ditawarkan. Kerajaan menerusi agensinya serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama sektor awam juga mewujudkan 100,000 peluang latihan dan pekerjaan kepada graduan menganggur, pekerja yang diberhentikan, ibu tunggal, individu kurang upaya dan usahawan baru. Pertumbuhan ekonomi yang kembali positif pada suku keempat menyebabkan pemberhentian pekerja turut susut mendadak lebih 80 peratus kepada hanya 2,125 orang daripada 12,590 orang pada suku pertama 2009. Sektor perbankan pula pasti lebih yakin memberi pembiayaan kepada orang awam dan peniaga. Bagi sektor korporat, pasti akan meningkatkan aktiviti pelaburan, pengeluaran dan perkhidmatan, justeru bermulalah kitaran peningkatan ekonomi lebih kukuh yang mampu mewujudkan kesejahteraan kepada semua pihak.
(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan