Sabtu, 27 Februari 2010

bharian: Sektor kewangan terus berdaya tahan: BNM

KUALA LUMPUR: Sektor kewangan negara terus berdaya tahan dalam suku keempat 2009 dengan permodalan yang kukuh, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang bertambah baik dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.

“Sektor perbankan, insurans dan takaful mencatatkan keberuntungan yang lebih baik dalam suku berkenaan,” kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan, hari ini.

Bank pusat itu berkata, ia membolehkan sektor kewangan terus menyokong aktiviti pembiayaan dan menyediakan perkhidmatan kewangan yang diperlukan kepada ekonomi.

Pada akhir bulan Disember 2009, nisbah modal wajaran risiko sistem perbankan ialah pada 14.7 peratus sementara nisbah modal teras ialah 13.1 peratus.

Jumlah modal yang melebihi keperluan kawal selia minimum kekal pada paras melebihi RM50 bilion.

“Kualiti pinjaman terus bertambah baik dengan arah aliran penurunan NPL yang berterusan,” kata Bank Negara.

BNM berkata, nisbah NPL bersih menurun kepada 1.8 peratus setakat akhir suku berkenaan, dengan perlindungan kerugian pinjaman pada 95.2 peratus.

“Sistem perbankan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM5.2 bilion pada suku tersebut, disokong oleh peningkatan dalam pendapatan berasaskan yuran dan keuntungan pelaburan yang tinggi,” tambahnya.

BNM berkata, nisbah kecukupan modal industri insurans kekal kukuh pada 230.3 peratus (suku ketiga 2009: 214.7 peratus).

Keuntungan keseluruhan sektor insurans dan takaful mengukuh kepada RM3.7 bilion (suku keempat 2008: RM1.7 billion), didorong terutamanya oleh prestasi pasaran ekuiti dan keadaan perniagaan yang lebih baik. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 24/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...