Senario itu diakui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyatakan ramai warga China dan Indonesia berniaga di kaki lima kawasan panas seperti Jalan Pasar, Chow Kit dan Jalan Petaling, termasuk menjual pil perangsang dan alat rangsangan seks.
Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd Zain, menerusi jawapan bertulisnya kepada Berita Harian, berkata perniagaan warga asing itu dilakukan dengan meletakkan barang di atas meja terbuka, bunjut, atau di atas bonet kenderaan dan aktiviti itu selalunya dilakukan sekitar jam 11 pagi hingga 4 petang.
"DBKL sering mengambil tindakan terhadap aktiviti itu dari semasa ke semasa, namun peniaga itu licik dengan hanya mempamerkan kotak kosong dan barang dijual berdasarkan permintaan pelanggan saja.
"Tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga ini agak sukar kerana mereka akan menyorok barang mereka ketika kehadiran penguatkuasa dan hanya mengeluarkannya semula apabila penguat kuasa beredar. Peniaga juga turut mengupah tonto untuk mengesan kehadiran pihak berkuasa.
"Lokasi penjualan peralatan seks yang dikenal pasti adalah di tempat berhampiran rumah tumpangan murah di mana ada aktiviti pelacuran," katanya.
Beliau berkata, antara punca utama aktiviti perniagaan di sekitar kawasan panas semakin menjadi-jadi adalah disebabkan wujudnya faktor permintaan daripada warga tempatan sendiri selain kelembapan ekonomi, sekali gus menggalakkan kewujudan lebih ramai peniaga kecil secara haram.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata kerajaan perlu memberi keutamaan kepada keselamatan dalam negara daripada terlalu agresif menggalakkan pelancong masuk ke negara ini kerana tidak semua pelancong mempunyai agenda positif datang ke Malaysia.
Katanya, ada segelintir warga asing menggunakan alasan melancong sedangkan realitinya mempunyai agenda tersirat yang akhirnya melakukan jenayah di negara ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan jenayah indeks.
"Ketika ini, kita akui bahawa kempen pelancongan dianggap berjaya kerana begitu ramai pelancong masuk ke negara ini tetapi pada masa sama, kita turut menggalakkan pertambahan kes jenayah di kalangan warga asing.
"Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa kemasukan begitu ramai warga asing terutama dari negara tertentu membolehkan mereka membina kawasan mereka sendiri yang akhirnya bertukar menjadi satu perkampungan, sekali gus menjadikan mereka lebih berani melakukan jenayah.
"Perlu disedari juga, tidak ada sesiapapun sebenarnya berani melakukan jenayah di negara orang kecuali jika ada sokongan atau bantuan orang tempatan. Realitinya, wujud bantuan sama ada dari segi perlindungan dan bantuan lain yang membolehkan mereka (warga asing) boleh menjadi lebih agresif melakukan jenayah," katanya.
Beliau turut mengulas, angka 28 juta yang menunjukkan kemasukan warga asing ke negara ini pada tahun lalu satu angka yang sangat besar sekali gus menunjukkan lambakan warga asing tanpa kawalan berkesan sudah berlaku di negara ini.
Katanya, jika diperincikan, ada pula warga dari negara tertentu begitu berani melakukan pelbagai jenayah kekerasan yang memberi kesan negatif kepada keselamatan rakyat tempatan dan ia sepatutnya menjadi isyarat kepada kerajaan untuk memperketatkan kawalan di pintu masuk dan mengehadkan kemasukan pelancong dari sesetengah negara.
"Contohnya, lambakan warga Indonesia di negara ini membolehkan mereka mencipta koloni mereka sendiri, sekali gus berani melakukan jenayah. Ia perlu dikawal dan walaupun ia mungkin memberi kesan kepada hubungan diplomatik, ia sewajarnya diteliti secara terperinci.
"Tarik duit dalam tepung, jangan sampai tepung berselerak. Keselamatan tetap menjadi satu isu utama. Pada masa sama, hubungan diplomatik perlu dijaga, tetapi jangan sampai gadaikan soal keselamatan rakyat," katanya lagi.
Beliau turut menyelar kaedah penguatkuasaan yang tidak menyeluruh oleh agensi penguatkuasa kerana masih ada sektor yang tidak begitu diberi perhatian seperti hiburan di hotel yang kebanyakannya dimonopoli penyanyi dari Filipina.
"Cuba pantau. Adakah mereka ada permit membuat persembahan hiburan di Malaysia. Rasanya masih banyak lagi sektor yang kita terlepas pandang. Selalunya, kita hanya sibuk dengan sektor pembuatan dan pengilangan semata-mata," katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 24/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan