Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, transformasi itu akan menekankan aspek penerokaan ilmu secara lebih mendalam melalui pembelajaran yang lebih menyeronokkan serta tidak berorientasikan peperiksaan.
"Dengan pelaksanaan transformasi kurikulum ini, proses pembelajaran dalam bilik darjah tidak akan didominasi oleh guru.
"Proses pembelajaran akan lebih mementingkan interaksi antara murid, guru dan rakan sekelas yang diharapkan akan dapat membantu percambahan idea yang kreatif dan innovatif," katanya di sini hari ini.
Muhyiddin berkata demikian semasa melancarkan Myideas@School di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.
Timbalan Perdana Menteri berkata, inovasi adalah agenda utama negara dan untuk menjayakannya pelbagai idea baru serta cara dan pendekatan baru perlu diterokai. "Kita harus menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai amalan dan satu budaya yang akan meningkatkan penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya. Muhyiddin berkata, usaha untuk memupuk dan menanam budaya kreativiti dan inovasi perlu dilakukan pada peringkat awal lagi, terutamanya di tahap sekolah. Katanya, pendedahan awal akan membolehkan budaya kreativiti dan inovasi berkembang seiring dengan perkembangan minda anak-anak, dan dalam konteks ini, sekolah adalah inkubator inovasi yang paling penting.
"Di sinilah (sekolah) peluang kita untuk melahirkan generasi pemikir dan pencipta masa depan. Persoalan penting ialah, bagaimana caranya untuk kita mencapai hasrat itu," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan fasa pertama MyIdeas@School akan membabitkan 23 sekolah di seluruh negara yang diharap dapat memberikan impak berkesan dalam melahirkan murid yang kreatif dan inovatif.
Muhyiddin berkata, untuk memastikan kejayaan program MyIdeas@School, Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia bagi melatih 42 guru dari 21 sekolah bestari luar bandar.
Latihan itu, katanya, bagi memastikan guru mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk membimbing murid-murid menggunakan portal MyIdeas dan melaksanakan strategi berkesan bagi menggalakkan murid menghasilkan idea.
Beliau berkata, MyIdeas@School akan dapat menyokong program memupuk budaya inovasi yang lain di sekolah seperti program Robotics dan F1. - Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 23/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan