Sabtu, 27 Februari 2010

Masyarakat diajak hayati pengajaran Islam sebenar

Oleh Azrina Ahzan dan Siti A'isyah Sukaimi
bhnews@bharian.com.my


PUTRAJAYA: Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1431H/2010M, Prof Datuk Dr Mahmood Zuh-di Abd Majid menganggap anugerah yang diberikan kepadanya adalah satu pengiktirafan dan mendorongnya mengajak masyarakat untuk menghayati ajaran Islam sebenar.

“Saya sangat berbesar hati untuk menerima anugerah ini walaupun rasakan ia sangat berat kerana pengiktirafan yang diberikan ini adalah mewakili masyarakat.

“Anugerah ini juga membuatkan saya berfikir adakah saya mampu untuk mengajak umat Islam di negara ini sama-sama menghayati ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dan menjadikannya sebagai satu misi serta visi yang sebenar bagi setiap umat Islam di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menerima anugerah itu daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Dewan Solat Utama, Masjid Putra di sini, semalam.

Mahmood Zuhdi yang kini bertugas sebagai Timbalan Dekan, Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, sijil dan piala.

Selain beliau, enam lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1431H/2010M, sekali gus membawa balik hadiah wang tunai RM22,000, sijil dan piala.

Mereka ialah pelajar cemerlang, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamel; Pengarah Urusan Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad; Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz; Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Tan Swee Lian; Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof Dr Yaakob Che Man dan Presiden Malaysian Relief Agency, Datuk Dr Abdul Razak Kechik.

Ketika ditemui, Abu Hassan menyatakan rasa syukurnya kerana menerima anugerah itu dan berhasrat mempertingkatkan lagi sumbangan serta bakti kepada masyarakat.

“Tugas sebagai pendakwah akan tetap diteruskan demi masa depan agama, bangsa dan negara serta bagi memastikan ilmu yang ada dapat disampaikan dan dikongsi bersama masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Nik Mohd Kamal Husin, 43, yang menerima anugerah bagi pihak anaknya, Nik Nur Madihah berkata anugerah itu diharap menjadi dorongan kepada anak untuk memberi kegembiraan kepada keluarga mereka seperti yang dilakukan oleh anaknya kepada beliau sekeluarga.

“Kami memaklumkan kepada Madihah kelmarin mengenai anugerah ini, dan beliau tidak menyangka akan menerima pengiktirafan ini pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini,” katanya.

Madihah yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2008, kini melanjutkan pelajaran dalam Bidang Fizik Islam selama empat tahun di Universiti Jash, Irbid, Jordan.

(Sumber dari Berita Harian, 26/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...