Sabtu, 27 Februari 2010

utusan: Lambakan pemandu teksi PR punca penumpang ditipu, samun

PUTRAJAYA 26 Feb. – Sebuah pertubuhan teksi utama di Lembah Klang percaya peningkatan kes-kes penipuan dan samun penumpang, berpunca daripada lambakan pemandu teksi pemegang taraf penduduk tetap (PR) warga asing.

Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) dianggotai 80,000 pemandu teksi yang diterajui Presidennya, Yusoff Lahir juga tidak menolak kemungkinan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohamed Sadique menjadi mangsa pemandu teksi PR terbabit.

Beliau mengulas kenyataan Halimah semalam yang menjadi mangsa pemandu teksi tidak bertanggungjawab sewaktu menggunakan perkhidmatan itu di ibu negara baru-baru ini.

Halimah sewaktu menaiki teksi dari KLCC menuju sebuah pusat membeli-belah tidak jauh dari situ telah dikenakan tambang RM20 tanpa menggunakan meter.

Yusoff berkata, sebaik sahaja memperoleh taraf PR, mana-mana warga asing terbabit dibenarkan memohon lesen perkhidmatan awam untuk membawa teksi.

“Kita mempunyai bukti kukuh, malah anda boleh tanya sendiri dengan LPKP atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tentang kewujudan ‘berlambak-lambak’ pemandu teksi PR ini di Lembah Klang.

“Inilah yang menyebabkan berlaku kes-kes menipu penumpang, samun dan rogol. Anda juga boleh tanya dengan pengusaha-pengusaha stesen minyak seluruh Lembah Klang ini yang pasti mempunyai rekod tentang pemandu-pemandu teksi PR ini yang paling ramai mengisi minyak dan gas,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Yusoff berkata, selain kerenah pemandu teksi PR, pihaknya tidak menolak kemungkinan kadar caj tinggi yang dikenakan ke atas penumpang berpunca daripada pengenalan sistem kupon.

Katanya, kupon yang dibeli oleh penumpang teksi menyebabkan pemandu tidak menggunakan meter.

“Sistem kupon ini sepatutnya hanya diperkenalkan di KLIA, LCCT dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tetapi ia diperluaskan pula di KLCC, KL Sentral, Pudu Raya dan Taman Burung.

“Katakan penumpang naik di KLCC tanpa sistem kupon, pemandu teksi terbabit mungkin akan cajkan setara dengan sistem kupon, sebab tambang menggunakan meter begitu kecil,'' katanya.

Atas sebab itu, Petekma kata beliau, mahu LPKP atau kementerian berkenaan menghapuskan terus sistem kupon untuk digantikan dengan sistem meter yang lebih standard sambil diawasi penguat kuasa.

“Keuntungan dari sistem kupon ini pun diraih oleh syarikat teksi (yang menguruskan pengeluaran kupon).

“Katakan, jika kadar kupon itu RM10 (untuk tambang teksi), pemandu akan peroleh RM9, manakala syarikat teksi (pengeluar kupon) dapat RM1.

“Kalau ratusan orang naik teksi, yang untung siapa? Tentulah tauke-tauke teksi ini,” katanya.

Yusoff turut mempertikaikan pendedahan Halimah yang menjadi mangsa pemandu teksi tidak bertanggungjawab kerana beliau sepatutnya boleh mengambil nombor plat teksi itu untuk tindakan lanjut.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 27/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...