Ahad, 28 Februari 2010

bharian: Jakim disaran komersial pameran produk halal

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran mengkomersilkan pameran halal sebagai satu produk atau ikon agensi berkenaan, termasuk memperluaskan penganjuran program itu ke seluruh negara bagi membolehkan seluruh rakyat memahami konsep halal sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata ini penting kerana konsep halal sebenar bukan terhad kepada soal makanan saja sebaliknya keseluruhan produk serta cara hidup.

Beliau menyifatkan program itu satu misi besar yang perlu disampaikan kepada orang ramai termasuk kepada bukan Islam yang semakin berminat sama ada menghasilkan produk halal atau turut serta menyambut kempen itu.

“Soal pemakanan dan penggunaan produk halal adalah satu perkara serius kepada umat Islam. Saya berharap kempen ini mencapai matlamat memberi kesedaran kepada masyarakat dan diteruskan di tempat berbeza.

“Kempen kali ini diadakan di ibu kota tetapi masih ada penduduk luar bandar tidak dapat turut serta. Kempen ini harus dijadikan produk Jakim yang dibawa ke kampung dan dijadikan sama hebat dengan program seperti Jom Heboh,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Anugerah 1Malaysia 1Halal anjuran Dagangasia Net Sdn Bhd (Daganghalal.com) yang diadakan di perkarangan Masjid Negara, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Daganghalal.com, Muhadzir Mohd Isa dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha.

Beliau juga berkata, Majlis Agama Islam Negeri sudah pun menyatakan persetujuan secara lisan dan bertulis untuk mengadakan satu standard halal saja seperti yang sudah dipersetujui sebelum ini bagi mengelakkan kekeliruan.

Dr Mashitah turut menafikan dakwaan sesetengah pihak mengenai kelewatan mendapatkan kelulusan halal Jakim yang memaksa mereka mendapatkan pengiktirafan itu dari luar negara.

“Sebenarnya kelewatan berpunca daripada kekurangan maklumat. Apabila maklumat mencukupi, proses tidak melebihi 30 hari daripada tarikh pendaftaran,” katanya.

Sementara itu, Muhadzir berkata Anugerah 1Malaysia 1Halal yang diperkenalkan Daganghalal.com adalah selaras dengan objektif kempen anjuran Jakim itu untuk mewujudkan kesedaran dan pada masa sama mendidik masyarakat mengenai kepentingan penggunaan produk halal dalam kehidupan seharian.

(Sumber dari Berita Harian, 28/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...