Ahad, 21 Februari 2010

LPPKN mahu bina pusat penempatan bayi luar nikah

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) merancang membina sebuah pusat untuk menempatkan bayi-bayi luar nikah bagi mengelak kemungkinan kematian akibat dibuang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, ia adalah antara pelan pihaknya dalam menangani gejala pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi.

Menurutnya, di luar negara, pusat-pusat berkenaan sudah lama diwujudkan dengan identiti ibu dan bapa bayi berkenaan dirahsiakan.

''Kita perlu menerima hakikat bahawa gejala hamil luar nikah tidak akan berhenti. Lebih baik kita mencegah daripada lebih banyak nyawa bayi tidak berdosa ini terkorban,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Konsultatif Kajian Pelan Strategik Kependudukan Kedua (KPSK-2) Siri Dua di sini semalam.

Pada forum berkenaan, dua kertas kerja dibentangkan bertajuk Analisis Sektoral oleh pakar dalam bidang kependudukan dari Amerika Syarikat (AS), Dr. Vasantha Kandiah dan pakar Kesihatan Reproduktif oleh pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Tey Nai Peng.

Minggu lalu, beberapa kes pembuangan bayi berlaku iaitu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Alor Setar, Kedah dan di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong, Melaka.

Aminah seterusnya mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran memperkenalkan subjek pendidikan seksual di sekolah sebagai usaha menangani masalah sosial berkenaan.

Menurutnya, masalah itu juga berpunca daripada kerapuhan institusi keluarga pada masa kini.

"Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam menjamin tingkah laku anak-anak yang baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminah memberitahu, kira-kira sejuta rakyat negara ini berhijrah ke luar negara dari Julai 2008 hingga Disember 2009 untuk mencari pekerjaan.

Katanya, situasi itu amat membimbangkan kerana mereka yang terlibat merupakan golongan yang berkemahiran dan berpendidikan tinggi.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 20/02/2010)

1 ulasan:

Sepoi Bayu berkata...

''Kita perlu menerima hakikat bahawa gejala hamil luar nikah tidak akan berhenti. Lebih baik kita mencegah daripada lebih banyak nyawa bayi tidak berdosa ini terkorban,'' katanya.

Apa lagi langkah pencegahan yang ada?? Kalau dalam sebuah komuniti yang kecil, mungkin ia akan dapat dibendung. Tapi jika ia melibatkan sebuah negara, bagaimana? Mungkin terdapat kesukaran...

Bukan ibu bapa sahaja yang memainkan peranan yang penting, malahan guru-guru, ahli keluarga & masyarakat harus saling menyokong ke arah pembasmian isu tersebut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...