rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU 19 Feb. - Kegagalan kerajaan negeri menguruskan aspek kebersihan beberapa pusat pelancongan menyebabkan pelancong antarabangsa 'mengelak' untuk datang ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, bukti itu dapat dilihat apabila Kelantan hanya merekodkan sebanyak 2.9 peratus kemasukan pelancong luar pada tahun lalu berbanding 23.65 juta pelancong yang datang ke negara ini.
Menurutnya, kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenggara beberapa pusat pelancongan yang ada menyebabkan ia menjadi usang dan kotor terutama sekali kemudahan asas seperti tandas.
"Lihat sahaja di Pantai Cahaya Bulan. Kementerian sudah berbelanja lebih RM500,000 untuk menyediakan prasarana di situ, tetapi keadaannya setiap kali saya datang melawat sangat kotor.
"Kenapa sampai mahu bersihkan sampah di longkang pun kami kena jaga. Sepatutnya, kerajaan negeri ada minda pelancongan, barulah masalah ini tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina di sini hari ini.
Beliau memberitahu, Kerajaan Pusat telah membelanjakan sebanyak RM31 juta melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk memajukan industri berkenaan kerana Kelantan kaya dengan pelbagai budaya dan produk pelancongan termasuk pusat pelancongan di Pasir Puteh yang bernilai RM12 juta.
Bagaimanapun, tegas beliau, semua langkah susulan terutama sekali penyenggaraan perlu ditanggung oleh PBT untuk memastikan ia sentiasa terpelihara dan mengekalkan tarikannya.
"Kerajaan negeri perlu tahu kementerian berikan produk dan membantu membinanya, tetapi untuk menjaganya bukan kerja kita.
"Pelancongan bukan semata-mata mahu membina benda baru, tetapi ia adalah bagaimana kita menguruskan yang sudah ada agar dapat menarik pengunjung. Tak kan ini pun perlu diberitahu," katanya.
Sementara itu, Yen Yen berkata, Kementerian Pelancongan telah menerima permohonan lebih RM2 bilion daripada semua agensi pelancongan termasuk kerajaan negeri di seluruh negara untuk dinilai dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Tambahnya, kementerian akan memberi fokus terhadap aspek penyenggaraan pusat-pusat pelancongan sedia ada di seluruh negara dalam RMK-10 nanti.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 20/02/2010)
1 ulasan:
mungkin juga kerajaan negeri tidak peruntukan untuk kos penyelenggaraan?
Catat Ulasan