Ahad, 28 Februari 2010

bharian: Air tanah sebagai sumber lestari

Oleh Habsah Dinin dan Mona Ahmad
bhnews@bharian.com.my


LEBIH 95 peratus sumber air mentah untuk keperluan negara diperoleh daripada sumber air permukaan iaitu air sungai atau empangan yang dibina di sekitar kawasan tadahan air.

Air yang sampai ke rumah adalah air sungai dan air empangan yang sudah dirawat. Ketika ini ada lebih 75 empangan di seluruh negara yang majoritinya untuk bekalan air.

Bagaimanapun sumber air permukaan ini sering terdedah kepada pencemaran berikutan pembangunan pesat di sekitar kawasan tadahannya.

Pakar Hidrogeologi Institut Geologi Malaysia, Mohd Nazan Awang, berkata di sebalik sumber air permukaan yang melimpah-ruah berbanding dengan jumlah permintaannya, kekurangan sumber air, gangguan dan catuan perbekalan sering juga berlaku di negara ini.

Justeru, katanya, Malaysia perlu mencari sumber air baru yang mampu menjadi sistem sokongan kepada sistem bekalan sedia ada.

Mengikut kajian, antara sumber air mentah yang terdapat di daratan adalah air hujan, air sungai, air tasik dan air tanah. Di negara maju air tanah digunakan secara bersama dengan air permukaan untuk perkhidmatan bekalan air awam dan pengairan.

Fakta menunjukkan kurang daripada dua peratus bekalan air awam negara bersumberkan air tanah.

Biasanya kegunaan air tanah untuk domestik tertumpu di kawasan luar bandar yang di luar kawasan liputan perkhidmatan bekalan air awam.

Air tanah di kawasan luar bandar diperoleh menerusi telaga tradisional dan turut digunakan untuk mengairi tanaman.

Sementara di kawasan bandar, penggunaan air tanah tertumpu kepada industri yang banyak menggunakan air dalam operasinya untuk menjimatkan bil air di samping menjamin bekalan air berterusan dari aspek kuantiti dan kualiti.

“Air tanah turut dibangunkan untuk bekalan air awam secara terpencil di beberapa lokasi seperti di lembah utara Sungai Kelantan (Kota Bharu, Wakaf Baru, Tumpat dan Rantau Panjang), Nenasi dan Pulau Tioman di Pahang, Arau di Perlis, Miri di Sarawak serta Sandakan di Sabah.

“Tetapi sumber air yang pernah popular suatu ketika dulu gagal dimanfaatkan disebabkan beberapa faktor termasuklah kegagalan mengenal pasti dengan tepat lokasi dan kuantiti sumber air tanah, dakwaan tidak berasas bahawa air tanah terlalu sedikit dan pengeluarannya menyebabkan tanah mendap, lubang benam, kekeringan lapisan tanah dan kemasukan air masin,” katanya.

Mohd Nazan menegaskan, bahawa pengambilan air tanah memang sesuai di Malaysia. Kapasiti hujan yang banyak di negara ini dengan purata hujan tahunan melebihi 2,500 mm.

Sumber air tanah tidak akan kering kerana air hujan meresap ke dalam tanah. Justeru itu, air tanah adalah sumber air yang lestari sekiranya kadar pengambilannya tidak melebihi kadar resapan air hujan ke dalam tanah di samping tiada kesan sampingan ke atas alam sekitar dan orang awam.

Air tanah adalah satu daripada komponen dalam kitaran hidrologi alam. Ia terhasil daripada penyerapan air hujan dan air permukaan ke dalam tanah.

Kadar peresapan air ke dalam tanah dan potensi sumber air tanah dikawal oleh geologi, hidrogeologi, topografi, guna tanah, sistem saliran dan iklim setempat.

“Apabila bumi menerima curahan hujan, sebahagian air hujan akan meresap ke bawah permukaan bumi sehingga menemui lapisan tanah yang tidak boleh telap. Air akan terkumpul di atas lapisan tanah itu dan mengisi segala ruang dan rongga seterusnya mewujudkan jasad air tanah yang diistilahkan sebagai akuifer,” katanya.

Ramai yang beranggapan, pengambilan air tanah secara besar-besaran bakal menjejaskan flora dan aktiviti pertanian kerana tanah akan menjadi kering dan tumbuhan akan mati.

Anggapan ini tidak benar kerana air tanah diabstrak daripada lapisan tanah yang berada melebihi 30 meter di bawah permukaan bumi. Tumbuhan pula selain hidup di kawasan tanah lembap bergantung kepada lembapan tanah untuk bekalan air dan tidak bergantung kepada sumber air.

Mohd Nazan berkata, proses pengambilan air tanah tidak memberi kesan kepada alam sekitar khususnya dari aspek penggunaan tanah kerana ia hanya memerlukan kawasan yang berkeluasan kecil iaitu dua meter lebar dan tiga meter panjang untuk pembinaan stesen telaga pengeluaran dengan kedalaman melebihi 30 meter.

Katanya, jika dibandingkan dengan empangan atau tempat takungan air yang memerlukan kawasan yang luas untuk menakung air, pembinaan telaga air tanah sangat menjimatkan ruang dan mesra alam iaitu tidak menjejaskan flora dan fauna serta masyarakat tempatan.

“Malah pembinaan empangan juga mempunyai pelbagai risiko termasuk tanah runtuh dan kawasan persekitaran yang sentiasa terdedah kepada pencemaran dan ancaman keselamatan,” ujarnya.

Berbalik kepada kebaikannya air tanah ia kaya dengan mineral. Umum mengetahui air mineral semula jadi mengandungi khasiat yang mampu menjana semula tenaga dan mengaktifkan ion tertentu di dalam tubuh badan dan seterusnya merangsang tubuh bertindak balas dengan anasir yang tidak sihat seterusnya membuatkan badan kita kembali cergas.

Air mineral ialah air minuman berpunca daripada air tanah sama ada diperoleh dari telaga atau mata air. Kepentingan air mineral kepada kesihatan sememangnya diperakui pakar perubatan.

Di Denmark misalnya, air tanah menyumbang 100 peratus perkhidmatan bekalan air awam negara dan air tanah digunakan melebihi 100 tahun dulu. Air tanah berjaya dibangunkan secara mapan di Denmark walaupun kadar hujan hanyalah sekitar 700 milimeter (mm) setahun.

Walaupun negara itu di kelilingi air laut yang masin, dengan teknologi dan pengurusan air yang baik, kualiti air tanah yang dibekalkan kepada penduduk di negara sentiasa berada pada tahap terbaik dan selamat diminum.

Di Korea pula, penggunaan telaga pengumpul jejari (Radial Collector Well) digunakan awal 1980-an untuk mengeluarkan air tanah dan walaupun dibina berhampiran kawasan perumahan dan bangunan pencakar langit, ia tidak langsung memberi kesan kepada struktur bangunan.

Sejarah membuktikan, air tanah mempunyai khasiat dan aura yang tersendiri. Contoh yang paling mudah ialah air zam zam yang diperoleh dari telaga zam zam di Masjidil Haram, Makkah di Arab Saudi.

Air zam zam dibuktikan mempunyai khasiat mineral yang tinggi dan selamat diminum tanpa sebarang rawatan.

Jika dulu air zam zam diperoleh melalui penggunaan timba dan tali, kini dengan teknologi moden, kerajaan Arab Saudi mengepam sumber air tanah itu tanpa henti untuk kegunaan jutaan jemaah yang berkunjung ke Tanah Suci sepanjang tahun.


(Sumber dari Berita Harian, 28/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...