Ahad, 21 Februari 2010

4 fokus pembangunan Kg. Baru

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 20 Feb. - Kerajaan akan memberi fokus kepada empat perkara utama dalam membangunkan semula Kampung Baru bagi memastikan kepentingan penduduk terpelihara.Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, fokus pertama ialah pembangunan semula Kampung Baru akan dilakukan di kawasan asalnya supaya penduduk tidak perlu berpindah.

Menurutnya, pembangunan semula kawasan itu juga akan dipertanggungjawabkan kepada sebuah badan khas kelolaan badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta supaya penduduk yakin ia dilaksanakan untuk kepentingan mereka.

"Ketiga, ciri-ciri kependudukan orang Melayu di Kampung Baru akan dikekalkan bagi memastikan identiti asal perkampungan itu tidak terjejas.

''Perkara terakhir yang menjadi fokus kerajaan ialah pembangunan semula Kampung Baru akan dilakukan secara menyeluruh tetapi berperingkat-peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pertubuhan Khidmat Masyarakat Cacat Penglihatan Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut Raja Nong Chik berkata, perkara yang penting sekarang ialah mendapatkan persetujuan pemilik tanah terhadap cadangan tersebut.

"Jika mereka menerima baik kaedah pembangunan yang dicadangkan ini maka kita tidak ada masalah untuk membangunkan Kampung Baru menjadi pusat komersial menjelang 2011," jelasnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan istimewa dengan pelbagai kemudahan telah disediakan khususnya mereka yang mengalami cacat penglihatan.

"Sebagai contoh ruang khas disediakan di tempat letak kereta, bangunan komersial dan pusat beli belah, butang lif khas, tandas dan lampu isyarat khas untuk golongan ini.

"Pelbagai peluang juga disediakan untuk golongan tersebut seperti program-program kemahiran, perniagaan serta latihan sukan," katanya.


(Sumber dari Utusan Malaysia, 21/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...