Ahad, 21 Februari 2010

PM mahu rakyat terus berkongsi pendapat, maklumat

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat terus berkongsi pendapat dan mengemukakan maklumat berhubung langkah-langkah 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan bagi memastikan wawasan 1Malaysia menjadi kenyataan.

Perdana Menteri berkata, langkah-langkah tersebut ialah Klinik 1Malaysia, Dana Penyelenggaraan 1Malaysia, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dan Kad Diskaun Pelajar 1Malaysia.

''Kemudahan yang ditawarkan itu tidak berakhir di sini sahaja. Buat masa ini, saya ingin mendengar daripada anda iaitu pernahkah anda menggunakan mana-mana inisiatif daripada langkah berkenaan.

''Diharap anda dapat berkongsi pemikiran dengan mengemukakan komen anda melalui blog-blog sedia ada bagi memastikan 1Malaysia dapat menjadi kenyataan,'' katanya dalam blognya, www.1Malaysia.com.my hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini telah menerangkan tentang konsep 1Malaysia dan lapan nilai utamanya bermula daripada penerimaan hingga ketabahan.

Najib bagaimanapun ingin menumpukan lebih jauh daripada konsep yang sedia ada dengan berkongsi maklumat terperinci berhubung langkah-langkah yang diperkenalkan itu.

Beliau menjelaskan, Klinik 1Malaysia yang bertujuan memberikan kemudahan segera bagi mendapatkan penjagaan kesihatan yang mampu dibiayai oleh semua golongan dengan bayaran RM1 itu, kini mendapat sambutan lebih 100,000 orang daripada 50 klinik yang diwujudkan.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 21/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...