Isnin, 22 Februari 2010

PPMM selar kenyataan SIS, Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hairan masih terdapat golongan seperti Sisters in Islam (SIS) dan Majlis Peguam yang tidak memahami perundangan dwisistem di Malaysia sehingga mempertikaikan pelaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita baru-baru ini.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, langkah SIS yang secara membuta tuli menggambarkan sebatan syariah adalah zalim dan kejam adalah amat keterlaluan dan tidak berasaskan kepada perundangan dan hukum syarak.

"Saya percaya pegawai SIS sendiri tidak pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan syariah yang dilabelkan sebagai kejam dan zalim ini. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding dengan sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

"Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang telah melakukan kesilapan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam mendedahkan hukuman sebat ke atas tiga wanita berkenaan dijalankan di Penjara Wanita Kajang.

Dalam reaksi segera terhadap pendedahan Hishammuddin itu, SIS mengutuk langkah itu kerana berpendapat ia boleh menjatuhkan maruah wanita dan tidak berkesan bagi menyedarkan pesalah yang terbabit dengan jenayah seks dan kekerasan.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath tidak wajar merujuk kepada Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah bagi menyokong hujahnya bahawa wanita tidak boleh disebat kerana ia tidak terpakai di Mahkamah Syariah.

"Undang-undang yang terpakai di mahkamah syariah bagi pelaksanaan sebatan ialah Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah.

"Oleh yang demikian, Presiden Majlis Peguam perlulah merujuk kepada akta ini terlebih dahulu (yang juga diluluskan oleh Parlimen) sebelum membuat sebarang komentar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru mana-mana hukuman sebat yang belum dilaksanakan termasuk ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor dijalankan segera agar keadilan kepada pesalah syariah dapat dilakukan.

Tambah beliau, pihaknya berpendapat sebatan sivil adalah kejam dan perlu dihapuskan.

"Sebatan sivil ini tidak Islamik. Sebatan yang mencedera dan mengerikan inilah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia," ujarnya.


(Sumber dari Utusan Malaysia, 20/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...