Ahad, 21 Februari 2010

Laman jaringan sosial mampu jadi pemangkin perubahan

Oleh Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my


Kerajaan, pemimpin dan ahli politik perlu manfaat alam siber untuk kekal relevan

KEPADA mereka yang kurang tahu, laman Facebook adalah contoh fenomena jalinan media sosial yang terhasil daripada teknologi internet. Seseorang mendaftar menjadi ahli Facebook, dengan mengisi butir diri, betul atau tidak, tiada siapa yang akan periksa dan meletakkan gambar ataupun video.

Ahli Facebook mengemaskini laman mereka dengan butiran terkini mengenai diri mereka serta menyatakan pendapat mereka dan segala yang mereka suka atau tidak.

Setiap ahli Facebook boleh meminta untuk menjadi 'kawan' ahli facebook yang lain. Lebih banyak kawan, mungkin lebih popular agaknya seseorang ahli Facebook. Baru-baru ini ada dilaporkan Perdana Menteri mempunyai lebih 100,000 'kawan' di laman Facebook beliau.

Berdasarkan statistik terbaru, ada lebih 350 juta ahli Facebook di dunia - kalaulah Facebook sebuah negara, maka ia adalah negara keempat terbesar di dunia.

Lebih menarik lagi, di Malaysia terdapat 4.2 juta ahli Facebook, iaitu kesembilan paling ramai di dunia, di mana nombor satu ialah Amerika Syarikat.

Apa yang penting yang perlu diambil tahu ialah pengaruh yang luas oleh Facebook dan laman media sosial lain. Juga perlu diingat bukan semua yang di internet itu tidak baik. Cuma apabila kita tidak memahaminya, maka kita akan bimbang dan ragu.

Satu lagi yang perlu diingati, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang atau mengawal internet. Sebarang cubaan akan membawa kesan lebih negatif daripada baik.

Kini terdapat beratus-ratus laman umpama Facebook, antara yang terkenal Friendster dan Myspace. Satu lagi statistik yang menarik - menurut beberapa laporan, hampir dua pertiga rakyat Malaysia adalah ahli salah satu daripada ratusan jalinan sosial media.

Jelas, ini bukan fenomena kecil atau boleh diremeh-temehkan. Malah tahun ini dikatakan sebagai tahun media sosial di mana akan ada ledakan fenomena ini. Di Malaysia saja pertumbuhan keahlian Facebook, umpamanya, bertambah 10 peratus atau lebih 300,000 pada Disember lalu.

Baru-baru ini juga Timbalan Perdana Menteri juga melancarkan laman Facebooknya.

Apakah maksud semua ini? Apakah penting dan relevannya kesemua ini untuk hidup kita?

Ada orang kata aktiviti media sosial kurang bernas. Sememangnya ia boleh merugikan, seperti juga perkara lain, jika dilakukan berlebihan. Sudah tentulah kita boleh terlebih makan atau bersuka atau mengemaskini laman Facebook kita, maka ia memanglah memudaratkan, tetapi itu tidak menjadi sebab kita tidak boleh bersuka-ria.

Ahli seramai lebih empat juta, umpamanya adalah lebih daripada mana-mana parti politik di negara ini. Walaupun jika separuh daripada mereka tidak aktif, jumlah yang berada di alam siber itu adalah cukup banyak dan memberikan banyak peluang dan kemungkinan.

Rasanya ledakan yang dikatakan itu ialah di mana fenomena ini berjaya menguasai bidang sosial, ekonomi dan politik. Siapa sangka mainan pelajar sedekad lalu kini menjadi pemangkin perubahan.

Dikatakan kempen politik Presiden Amerika Syarikat yang lalu dimenangi oleh calon yang faham dengan kuasa dan pengaruh jalinan media sosial, dan seterusnya menggunakannya untuk membantu di dalam kempen.

Presiden Barack Obama menggunakan teknologi ini dengan sepenuhnya dan berjaya menyampaikan mesejnya kepada golongan muda yang tidak lagi cenderung dengan media arus perdana. Beliau juga berjaya memahami teknologi ini untuk menentukan segala mesej dan matlamat kempennya tidak lagi ditentukan dan ditapis oleh pemberita dan pengarang, malah adakalanya beliau terus langsung tidak menggunakan media arus perdana untuk sesetengah strategi kempen.

Jelas dia berjaya, manakala lawannya yang tidak menerima media sosial secara menyeluruh, tidak.

Kekuatan utama laman seperti Facebook ialah pengaruh kawan-kawan. Contohnya, jika kawan kita berkata dia suka sesuatu filem, kita mungkin lebih percaya untuk membeli tiket, berbanding kata-kata iklan ataupun pengkritik. Kita lebih percaya jika kawan kita kata ada gerai yang menjual nasi lemak sedap yang perlu kita kunjungi, berbanding jika orang tidak dikenali berkata demikian.

Maka jika seorang rakan alam maya kita berkata dia percayakan Obama, jelas kata-kata ini akan menyerap ke jutaan, malah mungkin puluhan juta rakan yang terangkai dalam jalinan yang luas meliputi dunia. Sedikit sebanyak ada yang akan terpengaruh.

Jika seseorang itu berkata ia menyokong sesuatu parti atau seseorang calon, besar kemungkinan dia akan dapat mempengaruhi kawannya lebih lagi daripada berjela-jela laporan media arus perdana. Maklumlah 'kawan' kita mesti bercakap betul.

Mungkin sebagai media arus perdana ini bukan satu perkembangan yang baik, namun sesuatu organisasi yang dinamik perlu melihat bagaimana ia boleh kekal di dalam keadaan yang mencabar.

Untuk media arus perdana kekal relevan, ia mesti memahami serta mendakap fenomena ini. Begitu juga kerajaan, pemimpin dan ahli politik.

Fenomena jalinan media sosial kini sudah lama dikenali oleh pakar pemasaran sebagai satu alat yang amat berguna untuk kerja mereka. Begitu juga perlulah parti politik dan pemimpin mereka menerima, memahami dan menggunakan media sosial untuk kekal relevan.

Satu lagi statistik yang menarik - lebih 80 peratus ahli Facebook pula berumur antara 18 hingga 44 tahun. Jelas jika mahu berinteraksi dengan golongan muda, haruslah pergi di mana mereka berkumpul.

(Sumber dari Berita Harian, 20/02/2010)

1 ulasan:

Sepoi Bayu berkata...

selepas Facebook, entah ape lagi ya... mungkin yang lebih canggih & dapat memenuhi kehendak sosial masa kini... ;-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...