Pengurus Besar Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datuk Sheeda Romli berkata, kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan pusat itu mampu memainkan peranannya sebagai tempat perlindungan bayi luar nikah.
"Jika dilihat daripada sudut positif, cadangan ini sesuatu yang bagus kerana mampu menyelamatkan bayi tidak berdosa daripada dibuang di tempat yang tidak sepatutnya.
"Namun, daripada sudut negatifnya, ia seakan-akan menggalakkan gejala sosial ini lebih berleluasa dalam kalangan masyarakat kita," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membina pusat itu untuk mengelak kemungkinan bayi mati akibat dibuang selain menangani gejala pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi.
Sementara itu Pengerusi Yayasan Suara Wanita, Tan Sri Zaleha Ismail berkata, usaha membina penempatan itu perlu disegerakan bagi mengurangkan kes buang bayi.
"Penempatan ini dapat memberi perlindungan kerana dalam keadaan sebegitu, remaja hamil luar nikah tiada tempat untuk dituju akibat perselisihan dengan keluarga," katanya.
Beliau menambah, penempatan tersebut juga boleh memberi khidmat kaunseling dan pendidikan agama kepada mereka supaya kembali ke pangkal jalan.
Ditanya mengenai kebimbangan langkah membina penempatan itu akan menggalakkan lebih ramai wanita melahirkan anak luar nikah, Zaleha berkata, usaha menyelamatkan nyawa tidak berdosa lebih penting daripada melihat mereka dibuang atau dibunuh.
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah turut bersetuju dengan penyediaan perkhidmatan kaunseling di pusat itu, namun identiti pengadu perlu dirahsiakan.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 21/02/2010)
1 ulasan:
ia menggalakkan atau membendung?
Catat Ulasan