Isnin, 22 Februari 2010

Sistem agihan bantuan kepada warga miskin perlu diperkemas

Oleh Rahisam Ramli

KEMISKINAN dan kesempitan hidup dialami penduduk bandar atau luar bandar bukan satu fenomena baru. Walau apa pun istilah diberi untuk menggambarkan permasalahan, mereka sebenarnya golongan berpendapatan rendah yang sering menjadi mangsa terhadap kesan kenaikan kos sara hidup yang meliputi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan pengangkutan.

Bagi mereka yang layak menerima bantuan daripada mana-mana institusi kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yayasan mahupun institusi baitulmal akan sentiasa ternanti-nanti bantuan itu datang tepat pada waktunya.

Satu kriteria pengurusan ekonomi yang mapan adalah pengagihan pendapatan yang memberi manfaat kepada semua pihak termasuk mereka yang tergolong dalam kemiskinan. Justeru, pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) seperti dilaksanakan JKM membuat pembayaran wang bantuan pada setiap awal bulan perlu dicontohi semua pihak.

Kajian rambang penulis terhadap tempoh penyampaian bantuan kebajikan selama ini tidak mengikut jadual tertentu sehingga menyukarkan penerima bantuan untuk merancang perbelanjaan harian, terutama warga emas yang hanya mengharapkan wang bantuan.

Selain itu wanita yang menjadi ketua isi rumah miskin dan ibu tunggal turut tergolong sebagai kumpulan terbesar dalam kelompok penerima bantuan. Program pembasmian kemiskinan yang terus menjadi agenda pada tahun ini tidak terlepas daripada isu meningkatkan sistem penyampaian agihan bantuan.

Persoalannya apakah usaha kerajaan seperti terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan kepada 2.8 peratus sudah tercapai?

Pengumuman kerajaan bagi membina lebih banyak kediaman untuk orang miskin di Lembah Klang menunjukkan usaha membasmi kemiskinan seperti dijanjikan dalam RMK-9 terus dilaksanakan. Namun jika merujuk kepada keadaan ekonomi global seperti krisis subprima dan kenaikan bahan api menunjukkan cabaran itu suatu halangan yang tidak dijangka.

Oleh yang demikian seluruh jentera membabitkan kementerian, jabatan dan institusi kebajikan perlu terus mencari kaedah terbaik bagi merealisasikan hasrat kerajaan meskipun tempohnya sudah berlalu. Sistem penyampaian juga haruslah dipastikan agar tidak berlaku ketirisan supaya penerima faedah bantuan dapat terus dibela.

Tanpa mengenal ideologi politik di mana-mana kawasan yang mempunyai keluarga isi rumah miskin, harus disenaraikan sebagai golongan yang layak menerima bantuan. Jawatankuasa yang diberi mandat mengenal pasti golongan yang berhak mendapat bantuan seperti jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung, jawatankuasa masjid mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menjadi barisan depan kerana mampu mendekati dan mengenal pasti golongan sasaran.

Bagi memastikan golongan miskin ini dapat terus bertahan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, mereka perlu dikenal pasti dengan lebih jelas permasalahan khusus, jumlah bantuan dan jenis bantuan diperlukan mereka.

Selain bantuan kewangan, kursus peningkatan kemahiran modal insan dan motivasi adalah keperluan berterusan yang mampu mengubah minda mereka agar dapat menjana pendapatan sampingan dalam pelbagai bentuk. Sekurang-kurangnya mereka menambah hasil pendapatan melalui kerja sampingan yang mampu dilakukan mengikut kudrat dan kemahiran masing-masing.

Pengagihan kekayaan dan pendapatan perlu difokuskan kepada golongan yang kurang kemampuan sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Golongan miskin yang biasanya berlatarbelakangkan taraf pendidikan rendah, tidak formal, tiada kemahiran mencari pendapatan sampingan dan menghadapi masalah kesihatan terpaksa akur untuk menerima kenyataan bahawa perbelanjaan hari ini tidak mampu ditampung tanpa bantuan kebajikan.

Selain menerima subsidi kerajaan, bantuan kebajikan akan memberi peluang kepada golongan miskin terus melipatgandakan usaha dalam menambah hasil pendapatan selain daripada perbelanjaan kesihatan atau pendidikan.

Ini berikutan komitmen kerajaan untuk meningkatkan usaha membasmi kemiskinan tegar ke tahap sifar diteruskan sehingga mencapai matlamat. Meskipun penerima agihan ini ada kalanya masih belum dapat menampung kos sara hidup, keberkesanan sistem penyampaian seolah-olah menjadi penyambung kepada nyawa mereka yang sedang bergolak dalam mengharungi kemiskinan.

Tumpuan perbelanjaan harian golongan miskin lebih tertumpu kepada perbelanjaan makanan. Jika sistem penyampaian tidak menentu pada waktu yang tepat, mereka tiada pilihan lain selain terpaksa meminjam daripada jiran atau sanggup berada terus dalam kelaparan sehinggalah ada pihak datang membawa makanan.

Di dalam ajaran Islam, persoalan sistem agihan bantuan kebajikan dengan memastikan golongan miskin mendapat hak pengagihan pendapatan negara bukanlah sekadar perbincangan retorik semata-mata. Tetapi mereka juga seiring dan berhak mendapat sebarang bantuan tanpa membezakan ideologi masing-masing.

Rasulullah SAW dan sahabat Baginda menunjukkan bagaimana mereka meletakkan keutamaan kepada golongan miskin sebagai barisan hadapan untuk menikmati agihan kekayaan negara melalui sistem ekonomi Islam.

Seterusnya sistem penyampaian agihan bantuan yang berkesan akan berjaya mengubah persepsi bahawa isu kemiskinan adalah satu tanggungjawab kepada semua pihak yang akan menjamin tingkat kemajuan ekonomi negara.

Maka semua pihak terbabit yang memfokuskan pemberian bantuan kebajikan harus berupaya mengenalpasti sebarang cabaran bagi meningkatkan pencapaian seperti dinyatakan melalui NKRA. Secara ringkasnya, kualiti sistem agihan harus seiring dengan kepantasan dan ketepatan seperti terkandung dalam dasar ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Penulis ialah pensyarah Akademi Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)


(Sumber dari Berita Harian, 21/02/2010)
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...