Beliau berkata, industri itu berpotensi untuk menjana pendapatan dan melonjakkan pembangunan ekonomi negara.
Katanya, nilai pelaburan di dalam industri ini telah meningkat 300 peratus kepada RM991.6 juta pada 2008 daripada RM113.3 juta pada tahun 2006.
“Ini adalah satu lonjakan pelaburan yang besar,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet yang dibentuk khas untuk meneliti aspek paling penting dalam proses pembangunan modal insan bagi memasuki era baru ekonomi negara.
Muhyiddin berkata, industri tersebut telah menyediakan peluang pekerjaan berjumlah 50,000 pada tahun 2008 dan dijangka berkembang 11 peratus setiap tahun.
Pada mesyuarat itu, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU) membentangkan kertas kerja berkaitan industri itu.
Antaranya, Rangka Dasar Latihan Industri Bagi Mahasiswa oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Laporan Bank Dunia bertajuk “Membangunkan Modal Insan Pendapatan Tinggi Malaysia”.
Muhyiddin berkata, bagi membangunkan industri aeroangkasa termasuk sub sektornya seperti pembuatan, penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO), serta penerbangan, negara memerlukan tenaga kerja yang mencukupi dan berkemahiran.
Beliau berkata, dalam laporan mereka, MIGHT dan EPU telah mengemukakan cadangan bagi menambah bilangan jurutera pesawat yang berlesen, tenaga kerja mahir untuk sub sektor perkilangan komponen pesawat dan menamabah bilangan kapten pesawat.
“Sejumlah peruntukan telah dimohon dan kita telah meminta Kementerian Kewangan mengambil kira di dalam Rancangan Malaysia ke-10,” katanya.
Beliau berkata, peruntukkan itu adalah bagi tujuan latihan dan pembangunan kapasiti bagi beberapa institusi berkaitan aeroangkasa.
“Terdapat cadangan bagi Jabatan Penerbangan Awam dikorporatkan. Ia akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan. Terdapat juga beberapa inisiatif lain yang dicadangkan yang akan dilaksanakan,” katanya.
Ditanya mengenai bidang yang kritikal dari segi pembangunan modal insan, Muhyiddin berkata kerajaan tidak menumpu kepada bidang-bidang tertentu.
“Kita lihat secara keseluruhan. Kita lihat bidang yang masih ada ruang yang boleh diperbaiki yang memerlukan modal insan yang berkemahiran tinggi.
“Kita juga melihat kepada bidang yang pesat membangun seperti pembuatan, perkhidmatan dan bidang yang berkaitan teknologi dan berkemahiran tertentu,” katanya.
Beliau berkata, isu modal insan menjadi lebih kritikal sekarang ini dalam konteks menyediakan sumber manusia yang mencukupi bagi mengisi keperluan model ekonomi baru.
“Kita mengarah kepada bidang yang berasaskan pendapatan yang tinggi jadi ia memerlukan tahap kemahiran yang lebih tinggi lagi,” katanya. - Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 19/02/2010)
0 ulasan:
Catat Ulasan