Ahad, 21 Februari 2010

Pemuda Pas selar SIS

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Dewan Pemuda Pas mahu Sisters in Islam (SIS) berhenti mempertikaikan pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita Islam atas kesalahan melakukan persetubuhan haram kerana ia boleh ditafsirkan bahawa pertubuhan itu menentang hukum asal.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebarang penentangan terhadap hukum asal boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau berkata, SIS secara konsisten telah menentang pelaksanaan empat hingga enam sebatan sedangkan hukuman asal sebanyak 100 kali (bagi mereka yang belum berkahwin) tidak kira lelaki atau wanita.

"Enam rotan pun dipertikai apatah lagi jika dilaksanakan seratus kali rotan terhadap mereka yang berzina. Ini hukum asal dalam Islam. Penentangan terhadap hukum asal boleh membawa kepada kekufuran.

"Saya juga mahu bertanya adakah perbuatan minum arak dan berzina tidak menjatuhkan maruah. Perbuatan ini lebih menjatuhkan maruah kerana ia dilarang oleh Allah berikutan sifatnya yang jijik dan kotor," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin mendedahkan tiga wanita yang disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) telah disebat di Penjara Wanita Kajang.

Ekoran itu, SIS mengutuk langkah tersebut kerana berpendapat ia boleh menjatuhkan maruah wanita berkenaan dan tidak berkesan bagi menyedarkan pesalah yang terbabit dengan jenayah seks serta kekerasan.

Nasrudin berkata, di peringkat ini SIS seharusnya merujuk isu tersebut kepada pihak yang lebih berautoriti kerana terbukti kenyataan mereka tidak bersandarkan agama.

"Saya bercadang untuk berdialog dengan mereka supaya mereka lebih faham mengenai hukuman dalam Islam. Saya terfikir mungkin mereka tidak faham apakah bentuk serta manfaat hasil daripada pelaksanaan hukuman Islam.

"Merotan dalam Islam bertujuan mendidik dan menginsafkan. Jenis rotan yang digunakan sangat berbeza berbanding rotan dalam undang- undang sivil," ujarnya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 21/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...